Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyaran pengamal media agar tidak melayani sebarang publisiti dengan menyediakan laporan yang mencerminkan kejahilan, provokasi, tahyul dan informasi tidak berkualiti.
Baginda bertitah sebaliknya media berperanan menyediakan berita yang memberi fokus kepada informasi yang mampu mendidik masyarakat menjadi berilmu, bersahsiah dan memberi inspirasi ke arah generasi yang berminda kelas pertama.
“Berita dan publisiti yang tidak berkualiti banyak merugikan masa rakyat, memalukan negara, dan mencetekkan akal fikiran manusia sehingga dunia sekarang banyak berlaku salah faham tentang banyak hal.
“Salah faham itu juga termasuk yang melibatkan kesucian dan kebenaran agama Islam. Ia bukan sahaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam, malah diburukkan lagi oleh informasi yang tiada nilai lalu menjadikan rakyat jahil, pemimpin serta manusia yang rosak dan mengikut hawa nafsu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Perkampungan Sunnah Siri Keempat di Masjid Alwi, di sini malam tadi.
Turut berangkat pada majlis tersebut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Exco Agama dan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hassan.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk sama-sama menimba ilmu dalam suasana harmoni dan sejahtera selain memupuk nilai masyarakat dengan ketinggian ilmu dari aspek kehidupan, sama ada dari sudut ibadah khusus mahupun sains.
Baginda bertitah program perkampungan sunnah kali ini juga mengangkat martabat keilmuan dan sarjana para imam mujtahid terdahulu yang telah mencapai tahap yang tinggi dalam menyelesaikan pelbagai masalah umat.
“Semua kaedah, tafsiran, pandangan, dan hujah imam mujtahid ini kita raikan dan kita nilai secara kritis dengan melihat perkembangan ilmu dan teknologi semasa untuk diterima pakai sesuai dengan situasi dan masalah umat pada hari ini.
“Dalam meraikan kepelbagaian mazhab, kita hendaklah bebas daripada sikap melampau dalam beragama kerana walaupun agama Islam tegas dalam prinsip dan akidah, tetapi ia sangat fleksibel dan memberi kemudahan kepada keperluan umatnya,” titah baginda. – Bernama
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci