728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 16 March 2017

    Raja Salman Sudi Datang, Tanda Malaysia Tak Gagal




    Lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini melenyapkan tuduhan palsu pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa Malaysia kononnya negara gagal, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana menteri berkata lawatan yang mempunyai kepentingan dari pelbagai sudut itu, nyata membuktikan maklumat salah mengenai Malaysia yang disampaikan kepada kerajaan Arab Saudi, adalah tidak berasas.

    Katanya lawatan Raja Salman amat signifikan dari pelbagai sudut, iaitu ia merupakan pengiktirafan terhadap Malaysia yang terpilih sebagai negara pertama (di Asia Tenggara) yang baginda lawati.

    “Kalau ada pihak yang menidakkan kononnya kita negara gagal, ekonomi tak stabil yang menyebabkan maklumat-maklumat salah disampaikan kepada pihak Arab Saudi terutama Aramco (Saudi Arabian Oil Company), kononnya KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) bankrap, tak ada duit nak bayar gaji penjawat awam.

    “Bila Raja Salman melawat Malaysia, lenyap segala tuduhan palsu yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya pada sesi pertanyaan menteri, dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Najib menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu impak dan kepentingan lawatan Raja Arab Saudi itu ke Malaysia, baru-baru ini.

    Menurut beliau, semasa lawatan itu sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan Arab Saudi telah dimeterai, melibatkan potensi perdagangan dan pelaburan merentas sempadan yang bernilai RM9.75 bilion.

    “Perjanjian antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi tersebut membabitkan pelbagai sektor seperti tenaga, kesihatan, pembinaan, pendidikan, industri kecil dan sederhana juga industri halal,” katanya.

    Najib menegaskan bahawa kemuncak lawatan itu adalah pelaburan ekuiti yang membabitkan syarikat minyak kedua-dua buah negara iaitu Petronas dan Saudi Aramco bagi penyertaan Aramco dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid).

    “Nilai pelaburan tersebut membabitkan RM31 bilion yang merupakan pelaburan terbesar pernah dibuat oleh sebuah syarikat Arab Saudi di Malaysia,” katanya.

    Najib, yang juga anggota parlimen Pekan, berkata hasil lawatan itu juga, Raja Salman telah berkenan menambah kuota haji, jemaah Malaysia.

    “Alhamdulillah, hasil perbincangan saya dengan Raja Salman ketika lawatan tersebut baginda telah berkenan untuk meningkatkan kadar kuota rasmi haji Malaysia daripada 27,900, kini meningkat kepada 30,200 orang jemaah,” katanya.

    Selain itu, katanya, baginda juga akan mempertimbangkan secara mendalam permohonan Malaysia untuk menyewa tanah, bagi tujuan pembinaan kompleks penginapan untuk kemudahan jemaah Haji Malaysia, pada masa hadapan.

    Najib berkata Raja Salman juga menaruh keyakinan penuh terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia, sekaligus meletakkan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi berada pada kedudukan terbaik, serta tahap yang tertinggi.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baru) yang mahu tahu adakah Malaysia sedia bekerjasama dalam bidang lain terutama usaha mengurangkan indeks jenayah, Najib berkata Malaysia boleh bekerjasama meliputi semua aspek termasuk soal menangani jenayah.

    “Kita bersedia bekerjasama dalam pelbagai aspek, kita sedia beri kerjasama kepada Arab Saudi,” kata perdana menteri.

    Raja Salman mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 26 Feb lalu, negara pertama yang dikunjunginya dalam rangka lawatan baginda ke Asia Tenggara, sejak menaiki takhta pada 2015.

    Baginda yang diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan itu berada di Malaysia sehingga 1 Mac. ― Bernama

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Raja Salman Sudi Datang, Tanda Malaysia Tak Gagal Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top