SEHINGGA hari ini Janna Nick masih lagi sibuk dengan penggambaran drama Dia yang dijangka selesai penggambarannya selepas raya nanti. Menerusi drama arahan Eoon Shuhaini dan Omar Ali Adly, Janna berlakon sebagai Aira.
Drama 60 episod terbitan Orange Tree Production Sdn. Bhd, itu menggabungkan artis tempatan dan Indonesia yang dijangka disiarkan pada November nanti.
Bercerita pengalamannya berlakon di samping Irwan Syah, Janna berkata, dia tidak menghadapi masalah kerana pelakon sangat ramah.
“Walaupun drama ini menggandingkan pelakon tempatan dan Indonesia, saya banyak adegan dengan Irwan Syah yang berlakon sebagai Adit. Selain itu saya juga ada adegan dengan Kevin Andrean yang melakonkan watak Micah.
“Berlakon dengan Irwan ni seronok sebab perangai dia sama dengan saya iaitu gila-gila. Sebab itu kami mudah dapat keserasian apabila berlakon.
“Selalunya kami akan berbincang dulu sebelum penggambaran dan persahabatan itu tidak terbatas sewaktu di lokasi sahaja. Kiranya saya senang berkawan dan semua pelakon dalam drama Dia, tak kiralah dari seberang atau sini,” katanya kepada Mega HITS.
Sikap Jannah yang suka menegur orang juga membuatkan dia disenangi ramai dan Irwan sewaktu ditemu bual sebelum ini juga pernah berkata yang dia senang bekerjasama dengan aktres itu.
Bangga dapat beli rumah
PEMILIK nama sebenar Nurul Jannah Munier kini sudah mampu tersenyum bangga kerana baru saja memiliki rumah hasil daripada pendapatan sebagai pelakon.
Janna yang bakal menyambut hari lahir ke-22 tahun pada 1 Jun depan berkata, rumah yang dimiliki kini adalah hasil daripada usahanya sebagai anak seni.
“Memang saya bangga apabila dapat membeli rumah pada usia muda. Seperti orang lain saya pun ada impian dan salah satu impian adalah miliki rumah sendiri. Alhamdulillah, berkat kumpul wang saya dapat beli.
“Saya ada sasaran apabila bergiat dalam seni selain mahu mempertingkat kredibiliti diri, sudah tentu saya mahu kumpul harta dengan titik peluh sendiri. Rumah ini merupakan perjuangan saya dalam bidang seni kerana pada awal pembabitan, keluarga tidak berapa memberi izin tapi sekarang saya sudah buktikan yang saya tidak main-main dalam bidang ini,” katanya.
Kata heroin Syurga Nur dan Kau Aku Kita itu, setiap orang boleh memiliki rumah idaman jika tetapkan impian dan berusaha ke arah tersebut. Dia bercadang untuk mendiami rumah tersebut pada tahun ini.
“Saya belum fikirkan konsep untuk dekorasi dalaman kediaman itu. Kalau boleh nak cipta dekorasi sendiri tapi belum ada masa nak tengok-tengok hiasan dalaman secara terperinci kerana sibuk di lokasi.
“Kalau boleh saya nak konsep yang sederhana saja, tak mahu terlalu sarat dengan perabot. Nak beli perabot pun bukan boleh beli sekali gus, saya akan beli yang perlu dulu,” jelas pelakon yang juga popular dengan lagu Mungkin Saja itu lagi.
Mungkin Janna antara artis yang bertuah kerana selain berlakon dan menyanyi, dia juga kerap mendapat tawaran untuk menjadi duta beberapa produk termasuk Farmasi Colour Cosmetic (FCC) dan K-Colly.
Selain menjadi duta produk, Janna juga ada produk sendiri iaitu minyak argan yang menggunakan jenama Sephia by Janna Nick sejak setahun lalu.
“Alhamdulillah, setakat ini perniagaan minyak argan Sephia by Janna Nick mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna. Insya-Allah pada waktu terdekat ini saya juga sedang merancang untuk menambah satu lagi produk.
“Pada usia muda inilah saya perlu bekerja keras untuk masa hadapan kerana saya jenis yang tidak suka bergantung kepada orang.
“Bagi saya selagi terdaya, baik buat sendiri,” katanya.
Tolak banyak tawaran
SUDAH empat bulan Janna memberikan tumpuan kepada penggambaran drama Dia dan pada waktu yang sama ada juga menerima beberapa tawaran lain.
Kata Janna, dia terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana tidak mampu untuk melakukan dua kerja pada satu masa.
“Kalau nak kata menyesal kerana terpaksa menolak beberapa tawaran yang diberi kepada saya sepanjang penggambaran drama Dia, rasanya tak kerana saya lebih fikirkan masa depan. Tidak dinafikan ada tawaran yang saya benar-benar berkenan dengan watak yang ditawarkan tapi buat apa saya terima kalau menyusahkan orang nanti.
“Saya bukan jenis yang suka terkejar sana terkejar sini, nanti penat badan. Silap hari bulan menyusahkan orang lain pula. Biarlah saya tumpukan perhatian pada satu kerja saja, kalau ada rezeki mungkin saya akan bekerjasama lagi dengan produksi yang terpaksa ditolak sebelum ini. Saya suka ambil sikap, jangan tamak,” akuinya.
Untuk bersikap rasional, kata Janna, dia hanya akan terima tawaran lain selepas selesai satu projek dan untuk tahun ini tumpuanya hanya kepada drama. Kalau ada tawaran filem, mungkin untuk tahun depan.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci