728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday, 19 June 2017

    1MDB Sifatkan Dokumen DoJ Tiada Bukti Kukuh





    1MDB hari ini berkata dokumen terbaharu yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bagi merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) kerana berkait dengan wang dilarikan daripada syarikat itu tidak disertakan dengan bukti jelas.

    “1MDB mengambil maklum yang permohonan sivil itu tidak mempunyai lampiran yang menyatakan bukti bertulis dan kenyataan saksi untuk menyokong dakwaan DoJ,” kata syarikat itu dalam kenyataan ringkas hari ini.

    Pendirian itu dilihat seiring dengan respon Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Pejabat Perdana Menteri, yang menganggap dokumen itu hanya ulangan tanpa disertakan bukti.

    Dokumen lebih 200 muka surat itu difailkan DoJ semalam di sebuah mahkamah di California, bagi merampas pelbagai aset dan hartanah mewah yang menurutnya dibeli menggunakan wang yang dilarikan daripada syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

    Ia termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood terbitan sebuah syarikat diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

    Permohonan terbaharu itu berkait dengan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. DoJ dalam siasatannya yang diumumkan tahun lalu mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

    Dokumen DoJ semalam dikritik Apandi yang berkata pihaknya tidak dimaklumkan DoJ, sementara setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menyifatkannya mempunyai agenda politik kerana menamakan pihak tertentu walaupun tidak perlu berbuat demikian.

    1MDB berkata pihaknya tidak ada kena mengena dengan permohonan di AS itu, dan tidak pernah dihubungi oleh DoJ.

    Syarikat itu bagaimanapun berkata ia bersedia memberikan kerjasama “dengan mana-mana pihak berkuasa luar negara, berdasarkan protokol antarabangsa mengenai perkara itu dan nasihat pihak berkuasa tempatan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 1MDB Sifatkan Dokumen DoJ Tiada Bukti Kukuh Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top