728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 31 October 2019

    1MDB: Amerika capai penyelesaian untuk peroleh semula aset bernilai lebih US$700 juta

    KUALA LUMPUR: Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat telah mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih US$700 juta yang diperoleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Dalam satu kenyataan, DoJ berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

    Dengan muktamadnya penyelesaian itu, bersekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih US$1 bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB, menurut kenyataan itu.


    Kenyataan itu menyebut ini merupakan pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemerolehan Aset Kleptokrasi jabatan berkenaan dan pelucutan hak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh DoJ.

    "Perjanjian penyelesaian ini mengakibatkan Low dan keluarganya terpaksa melepaskan beratus-ratus juta dolar yang diperoleh secara haram, yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia," Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Keadilan itu dipetik sebagai berkata.

    Benczkowski menegaskan ia memberi isyarat bahawa Amerika bukanlah tempat yang selamat bagi pelaburan yang diperoleh melalui rasuah.

    Dalam kenyataan berasingan, Jho Low mengesahkan penyelesaian telahpun dicapai dengan kerajaan Amerika berhubung kes pelucutan hak sivil.


    Menurutnya, ia "menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika berkaitan dengan aset defendan yang menjadi isu itu di Daerah Tengah California.

    Jho Low, bagaimanapun, menegaskan perjanjian itu tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan bersalah, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku oleh beliau atau pemilik aset.

    Dalam kenyataan DoJ itu, peguam Amerika Nicola T. Hanna daripada Daerah Tengah California menegaskan jumlah wang yang begitu besar diseleweng daripada 1MDB dengan kesannya ditanggung oleh rakyat Malaysia, dilaburkan secara haram melalui pembelian aset mewah di Amerika dan beberapa negara lain.

    "Hasil daripada penyelesaian ini, seorang daripada lelaki yang didakwa berada di tengah-tengah skim besar-besaran ini akan kehilangan semua akses kepada beratus-ratus juta dolar," kata Hanna.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Terry Wade berkata penyelesaian dengan Jho Low itu membuktikan komitmen berterusan FBI untuk membanteras habis-habisan penipuan dan sikap mementingkan diri individu yang berkonspirasi untuk memberi rasuah serta memindahkan secara haram dana kepunyaan rakyat Malaysia.

    Kenyataan DoJ itu menyebut berdasarkan aduan pelucutan hak sivil, dari 2009 hingga 2015, lebih US$4.5 bilion dana kepunyaan 1MDB didakwa diseleweng oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka, termasuk Jho Low, menerusi konspirasi jenayah membabitkan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah.

    Berdasarkan terma penyelesaian itu, Jho Low, anggota keluarganya dan FFP, sebuah entiti Kepulauan Cayman yang bertindak selaku pemegang amanah yang menyelia aset yang menjadi isu dalam tindakan pelucutan hak ini, bersetuju untuk melepaskan semua aset, tertakluk kepada penyelesaian aduan pelucutan hak, yang mana mereka mempunyai potensi kepentingan.

    Aset yang tertakluk kepada perjanjian penyelesaian itu termasuk hartanah di kawasan mewah di Beverly Hills, New York dan London, sebuah butik mewah di Beverly Hills serta berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk pelaburan perniagaan yang didakwa dilakukan oleh Jho Low menggunakan dana yang boleh dikesan asalnya daripada wang 1MDB yang diseleweng. - Bernama

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 1MDB: Amerika capai penyelesaian untuk peroleh semula aset bernilai lebih US$700 juta Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top