728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 31 March 2020

    Tangani COVID-19 dengan pendekatan luar biasa – Raja Muda Perlis

    Situasi hari ini amat membimbangkan di mana kita dapat melihat perkembangan penularan pandemik Covid-19 ini yang semakin menular di seluruh dunia dan perlu ditangani dengan pendekatan yang luarbiasa dan berbeza, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Baginda melahirkan kebimbangan itu apabila menyaksikan trend penambahan kes yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

    “Kita kini sedang berperang dengan musuh yang bernama COVID-19. ‘Musuh’ yang begitu ‘licik’ di mana orang biasa setakat ini belum mampu untuk memikirkan sebarang strategi bagi menanganinya”, tambah baginda.

    Ini bukanlah peperangan ‘biasa’ kerana virus ini juga mampu menyebabkan kemelesetan ekonomi global yang drastik, melumpuhkan sistem sesebuah negara dan mengakibatkan angka kematian yang sangat tinggi di seluruh dunia. Sehingga pada satu ketika semalam sebanyak 723,732 kes positif dan 34,000 kes kematian direkodkan.

    Banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar sedang mengalami krisis kewangan, perkhidmatan dan bekalan barangan termasuk perubatan yang meruncing akibat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dan ditambah dengan sekatan pergerakan yang terpaksa dilaksanakan.






    “Kita perlu bertindak dengan cara yang berbeza malah luar biasa bagi mengekang penularan pandemik ini demi keselamatan semua pihak dan dalam masa yang sama bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh negara dan rakyat dari pelbagai sudut.

    Usaha meningkatkan aspek kawalan di seluruh pelusuk negara perlu dilaksanakan bagi memastikan arahan kawalan pergerakan dan ‘Penjarakan Sosial’ dipatuhi oleh semua penduduk di Malaysia, sekaligus memutuskan rantaian virus ini. Semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi menjayakan usaha memerangi pandemik ini,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

    Sekatan jalan raya besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja di jalan-jalan utama tetapi juga di plaza tol, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa buah lokasi yang mencatatkan jumlah kes positif yang tinggi, penggunaan dron bagi tujuan tinjauan dan pemantauan di kawasan-kawasan yang dikenakan PKPD dan tindakan tegas ke atas pihak yang ingkar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

    Sehingga semalam juga difahamkan terdapat 94 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara, manakala 62 pesakit terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Angka ini amat membimbangkan, malah menakutkan dan usaha menyeluruh perlu dilaksanakan oleh semua bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan segera.

    Dalam hubungan itu, Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitah maklumkan bahawa pihak MAIPs telah megambil langkah proaktif bagi menangguhkan pelaksanaan Solat Jumaat bermula 13 Mac 2020 lalu, serta menghentikan serta-merta majlis-majlis dan program agihan zakat yang memerlukan pengumpulan khalayak bagi memenuhi arahan PKP selain melaksanakan inisiatif agihan terus ke akaun penerima asnaf tanpa perlu berkumpul.

    Penangguhan aktiviti di masjid dan surau di seluruh Perlis yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020, dilanjutkan sehingga ke tarikh yang bakal ditentukan serta diumumkan kelak oleh pihak Kerajaan demi kepentingan dan maslahat bersama.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Tangani COVID-19 dengan pendekatan luar biasa – Raja Muda Perlis Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top