728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday, 22 March 2020

    Takut virus atau tuhan?

    KERAJAAN sangat serius mengekang penularan wabak Covid-19, tetapi terpaksa berhadapan dengan kelompok yang enggan memberikan kerjasama melakukan ujian saringan wabak berkenaan.

    Golongan ini dengan bangganya mempersoalkan takut kepada Allah SWT atau virus apabila didesak supaya mengambil langkah pencegahan.

    Tindakan itu secara jelas bertentangan dengan konsep Islam yang menganjurkan umatnya berikhtiar mencari penawar.

    Ikuti wawancara Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid bersama wartawan Nor Asyikin Mat Hayin bagi mengupas isu ini.


    Ada golongan enggan mendapatkan rawatan moden dan sebaliknya hanya bergantung kepada ayat al-Quran meskipun membabitkan penyakit mengancam nyawa. Pendapat Datuk?

    Allah SWT mengurniakan akal kepada manusia untuk berfikir, berusaha dan bertawakal.

    Ia bertepatan dengan sabda hadis Rasulullah SAW. Baginda menyuruh seorang sahabat mengikat kenderaannya (seekor unta) supaya tidak hilang, yang bermaksud: Gunakanlah akal fikiran dan bertawakal (berserah diri) kepada Allah SWT.

    Oleh itu, setiap usaha termasuk rawatan perlu menggunakan dan mendahulu akal fikiran sebelum bertawakal kepada Allah SWT.

    Berusaha ke arah mencapai sesuatu yang lebih baik. Contohnya, seorang pesawah menanam padi perlu gigih berusaha bagi mendapatkan hasil lebih baik.

    Usaha itu merangkumi kerja menjaga, membaja, meracun serangga dan membersihkan rumput liar yang tumbuh bersama tanaman padi.

    Kemudian bertawakal yang disertai doa kepada Allah agar tanaman ini membesar dalam baik, tanpa serangan serangga dan mengeluarkan hasil berkualiti.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘setiap penyakit ada penawarnya’. Oleh itu, kita perlu berusaha mencari ubat sebelum sesuatu penyakit itu merebak menjadi lebih buruk.

    Ubat ini sebagai penyebab untuk menyembuhkan penyakit dan wasilah (perantara) sembuhnya segala penyakit.

    Pada masa sama, banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya setiap penyakit dihidapi sembuh.

    Usaha dan ikhtiar ini tidak bercanggah dengan hukum syarak.

    Golongan ini seperti ‘sengaja’ menyebarkan mudarat kepada orang lain. Apa hukumnya kepada golongan ini?

    Perbuatan ini dikira ‘zalim’ sekiranya individu mengetahui menghidap sesuatu penyakit yang boleh menjejaskan keselamatan diri atau mungkin merebak dan mengancam keselamatan individu lain.

    Dalam Islam, Rasulullah SAW ada menyatakan yang maksudnya tiada sebarang mudarat dan tiada perbuatan membalas kemudaratan.

    Individu berpenyakit yang hanya mahu mengambil pendekatan bertawakkul semata-mata (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa usaha), tanpa bertawakal (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT, selepas berusaha keras) dianggap zalim terhad dirinya sendiri dan boleh menjadi penyebab menzalimi orang lain.

    Menjadi satu kesalahan besar sekiranya individu yang positif dengan virus, tetapi tidak berterus terang dengan perkara itu (penyakit) kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

    Tidak diharuskan (haram) memudaratkan diri sendiri kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (al-Baqarah:195).

    Takut Tuhan atau virus? Ini soalan kerap dilontarkan pihak tertentu?

    Takut kepada Allah SWT kewajipan kepada orang Islam yang perlu dipatuhi. Khatib setiap kali menyampaikan khutbah Jumaat menyatakan ‘takutlah kepada Allah SWT’ dan ia satu daripada lima rukun khutbah wajib diucapkan khatib.

    Virus makhluk ciptaan Allah. Maknanya semua kejadian di muka bumi ini sama ada yang baik dan buruk adalah ciptaan Allah SWT.

    Kita perlu berusaha dan berikhtiar supaya terhindar serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya yang berpunca daripada bakteria atau virus.

    Pada masa sama waspada supaya tidak dijangkiti atau menjadi penyebar jangkitan kepada orang lain. Ini konsep tawakal dalam Islam.

    Semuanya berserah kepada Allah SWT, seolah-olah kita tidak perlu berusaha. Pendapat Datuk?

    Kita boleh berserah kepada Allah SWT tetapi selepas berusaha bersungguh-sungguh (bertawakal). Ini langkah terakhir berserah kepada Allah SWT.

    Contoh mudah, seorang isteri sarat mengandung masuk di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kesukaran untuk bersalin.

    Doktor melakukan pembedahan sebagai usaha terakhir demi menyelamatkan nyawa bayi terbabit.

    Begitu juga dengan penularan Covid-19 dan mereka yang dijangkiti tidak boleh hanya bertawakkul semata-mata. Mereka perlu berusaha dengan mendapatkan rawatan.

    Saya mengingatkan kepada mereka yang mendapatkan rawatan bahawa ubat wasilah (penyebab atau perantaran) tetapi yang menyembuhkan penyakit seseorang Allah SWT.

    Oleh kerana mahu mendapatkan pahala solat berjemaah, jemaah mendirikan solat jemaah dengan jarak saf satu meter ketika wabak Covid-19. Boleh atau tidak?

    Solat berjemaah perlu dilakukan dengan saf yang rapat dan lurus iaitu bahu jemaah saling bersentuhan. Situasi ini dibolehkan jika semua jemaah sihat tanpa sebarang penyakit terutamanya Covid-19.

    Namun, disebabkan wabak Covid-19, maka tidak menjadi kesalahan saf jemaah berdiri pada jarak 0.25 meter bagi mengelak jangkitan wabak itu.

    Tetapi jangan pula disebabkan jarak berjauhan seperti itu membuatkan jemaah menjadi tidak khusyuk dalam solat.

    Hikmah solat jemaah pada jarak rapat ialah membantu kita solat dengan khusyuk yang dibanturasa denyutan panas badan jemaah lain yang berdiri bersebelahan.

    Sebaliknya, jika solat berjemaah bersama ahli keluarga yang diyakini sihat dan bebas daripada penyakit berbahaya, maka boleh merapatkan saf itu.

    Adakah timbul sebarang isu berbangkit susulan penutupan sementara masjid?

    Di Selangor, langkah penutupan ini menyebabkan segelintir masyarakat salah faham dan mengatakan kerajaan negeri melarang mereka datang ke masjid.

    Hakikatnya kerajaan negeri, sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil langkah penutupan sementara dengan menangguhkan aktiviti di masjid, surau dan musala.

    Ini bertujuan mencegah kluster jangkitan menjadi lebih teruk.

    Namun kita masih boleh solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

    Dalam isu berkaitan solat di masjid, surau dan musala, imam bertugas bersama bilal dan noja perlu menunaikan solat fardu berjemaah (sekurang-kurangnya dua orang).

    Azan tetap dilaungkan sebanyak lima kali sehari dengan tujuan mereka dapat melepaskan tanggungan fardu kifayah oleh ahli kariah di kawasan masing-masing.

    Jika solat berjemaah ini tidak dapat dilakukan, maka seluruh ahli kariah menanggung dosa kerana tidak mendirikan solat lima waktu secara berjemaah di surah, masjid atau musala.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Takut virus atau tuhan? Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top