728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, 5 March 2020

    Pengalaman mahal bekerja dengan 'menteri muda, mentah dan naif'

    KATA MP | Semalam saya menghadiri majlis perpisahan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Selepas 20 bulan menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri, kami berdua kini terpaksa meninggalkan KBS.

    Ramai yang bertanya kepada saya, macam mana rasanya bekerja dengan seorang menteri yang 10 tahun lebih muda daripada saya?

    Saya perhatikan sepanjang perkhidmatan kami, menteri muda, mentah dan didakwa naif itulah yang akan selalu menjadi orang pertama membangkitkan isu kebajikan atlet, orang kuang upaya (OKU), mat motor, banduan, wanita, orang susah, orang terpinggir, dan - secara amnya - golongan yang kurang dipandang masyarakat.

    Itulah sebabnya, kini bekas atlet negara diberikan perkhidmatan rawatan kesihatan percuma sepanjang hayat mereka, jumlah peruntukan untuk sukan dan sukan para ditambah.


    Di KBS ada program Reben Kuning. Saya sendiri pernah masuk ke penjara wanita di Kajang untuk program kementerian. Peruntukan khas disediakan untuk atlet wanita, program #MalaysiaKerja untuk membantu anak muda yang mengganggur dan sebagainya.

    Menteri muda, mentah dan dikatakan naif itulah yang memberi arahan agar semua tawaran pelaksanaan projek KBS dibuat secara tender terbuka.

    Ada juga pegawai kanan yang berttanya kepada saya (mungkin mereka menganggap saya lebih berpengalaman dan kurang naif?): "Macam mana semua nak buat open tender, tak praktikal."

    Kakitangan KBS bukti kemampuan

    Saya jawab, apabila menteri sudah memberi arahan begitu - suka atau tidak - apa yang perlu dibuat adalah melakukannya.

    Kerana melalui open tender jugalah, salah satu program sukan besar kendalian KBS, Le Tour De Langkawi, dapat dijayakan dengan penjimatan lebih 30 peratus.

    Kualiti pertandingan itu tetap sama, malah tahun ini, buat kali pertama dalam sejarah 25 tahun Le Tour de Langkawi, pasukan Malaysia berjaya menjadi juara dan pelumba negara, Nur Aiman Md Zariff, mencipta sejarah sebagai pemenang kategori raja bukit.

    Menteri muda, mentah dan dikatakan naif itulah yang memberi banyak peluang kepada kami semua untuk menonjolkan pemikiran dan kebolehan masing-masing.

    Saya diberi peluang untuk mengepalai beberapa projek KBS, antaranya, penubuhan pusat atlet, dasar perkhidmatan kesihatan percuma untuk bekas atlet negara, Fit Malaysia, program TRACK untuk menempatkan atlet dalam kerjaya kedua mereka, program Inspirasi Anak Muda (untuk pengupayaan belia berisiko), program Sekolah Rukun Negara sebagai platform memupuk perpaduan dan patriotisme anak muda dan sebagainya.


    Saya ingat lagi, semasa merancang Fit Malaysia, saya membuat keputusan untuk menggunakan tenaga kerja penjawat awam KBS dalam penganjurannya.

    Dalam kata lain, kita buat "in-house" dan bukan diserahkan kepada kontraktor lain seperti sebelum ini.

    Ada juga suara-suara menyatakan kebimbangan: "Lebih baik kita lantik saja penganjur acara, nanti program tak cantik, menteri kena marah lagi."

    Saya pun berbincanglah dengan menteri muda, mentah dan dikatakan naif itu. Lalu dia berkata: "Let us trust our own civil service". Jalan terus.

    Hasilnya, kami berjaya menganjurkan program Fit Malaysia dengan kos RM300,000 sahaja di setiap negeri berbanding RM1.3 juta dahulu. Ia adalah penjimatan hampir 80 peratus.

    Banyak boleh dijimatkan

    Kualiti yang sama, penyertaan yang sama (25,000 peserta di Pulau Pinang, contohnya) dan yang paling best, penjawat awam kita terbukti memang hebat dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

    KBS juga berjaya menghapuskan persekitaran toksik yang menyelubungi perkhidmatan awam dahulu apabila mereka jarang mendapat kepercayaan bos-bos politik untuk melaksanakan sesuatu kerja besar 100 peratus secara in-house.

    Malah, apabila penganjuran Le Tour De Langkawi dibuat secara tender terbuka dan membawa penjimatan 30 peratus, ada seorang pegawai kanan KBS yang berbisik kepada saya: "Kalau buat in-house kita boleh jimat sehingga 50 peratus."

    Jelas, prinsip "penjawat awam boleh" sudahpun dibudayakan dalam KBS.

    Saya berasa begitu terharu, rupa-rupanya sebelum PRU ke-14, persekitaran toksik menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasan dan ia secara tidak langsung telah memburukkan tanggapan orang ramai terhadap mereka.


    Apabila menteri-menteri baru memberikan kepercayaan semula kepada penjawat awam, maka mereka itu bangkit untuk menunaikan amanah dengan cemerlang.

    Syed Saddiq - menteri muda, mentah dan dikatakan naif itu - juga bertekad melaksanakan pembaharuan dalam pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang bertanggungjawab, antara lain, menguruskan Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Dari 2014 hingga 2017 - walaupun dengan suntikan dana kerajaan RM130 juta - PSM mencatat kerugian sejumlah RM37 juta.

    Pada 2017 sahaja - dengan dana kerajaan sebanyak RM43 juta - PSM kerugian RM25 juta.

    Selepas PRU ke-14, pada 2018, dengan dana kerajaan sebanyak RM18 juta, PSM berjaya mencatat keuntungan RM3 juta.


    Pada 2019, kerajaan memberikan dana sebanyak RM20 juta dan PSM mencatat keuntungan RM11.8 juta.

    PSM diberi mandat untuk membersihkan pengurusan stadium agar aset-aset awam boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa pulangan positif kepada rakyat.

    Kepemimpinan Bro Syed Saddiq membuka peluang kepada semua warga KBS - terutamanya penjawat awam - untuk menebus kembali profesionalisme mereka dan membuktikan keupayaan masing-masing dengan cemerlang.

    Kami telah berkata pada awal perkhidmatan kami dulu, kami bukan pakar. Justeru, kerja kami ialah untuk memastikan ekosistem yang sesuai agar pakar-pakar sektor belia dan sukan boleh menjalankan kerja mereka.

    Saya dengan bangganya boleh berkata bahawa, kerana kepemimpinan Syed Saddiqlah, kami meninggalkan KBS dengan tangan yang bersih dan nurani yang tulus serta puas.

    Semoga nilai-nilai urus tadbir baik yang telah disemai akan senantiasa dihayati di KBS tak kira siapa jua yang menerajuinya.

    STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam dan bekas timbalan menteri belia dan sukan.
    -Malaysiakini

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Pengalaman mahal bekerja dengan 'menteri muda, mentah dan naif' Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top