728x90 AdSpace

  • Latest News

    Saturday 21 March 2020

    Akhirnya kau kena tahan juga

    POLIS menahan dua lelaki untuk membantu siasatan kes tular membabitkan individu yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan dengan menikmati kenduri, termasuk makan kepala kambing di sebuah kampung di Langgar, Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya menahan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 60 tahun untuk membantu siasatan, petang semalam.

    Beliau berkata, lelaki berusia 49 tahun dipercayai merakam video berkenaan manakala seorang lagi dipercayai penganjur majlis kenduri itu.

    “Kedua-duanya menetap di Langgar dan ditahan di rumah masing-masing untuk membantu siasatan.

    “Mereka ditahan 5.15 petang oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah,” katanya selepas ditemui pada sidang media ketika sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Bendahara di Alor Setar, hari ini.

    Mohd Rozi berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB)) 2020, Seksyen 7(1) PPPB 2020, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

    “Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok (hari ini).

    “Ini adalah kes tangkapan pertama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak Rabu lalu dan ianya sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mempertikaikan tugas pihak berkuasa dalam mengekang penularan (koronavirus baharu) Covid-19,” katanya.

    Mohd Rozi berkata, hasil ujian saringan awal mendapati negatif dan pihaknya turut merampas telefon bimbit untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata, siasatan juga mendapati majlis kenduri itu diadakan pada Rabu lalu, 12 tengah hari ketika hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

    “Anggaran jemputan yang hadir adalah sekitar 25 hingga 30 orang berusia 20-an hingga 30-an yang dipercayai kenalan penganjur kenduri berkenaan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan polis minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penularan seorang lelaki di Facebook yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan berikutan penularan Covid-19.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Akhirnya kau kena tahan juga Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top