Adun Gadek G Saminathan adalah antara sembilan lelaki yang hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kaitan mereka dengan kumpulan Harima Pembebasan Tamil Elam atau LTTE yang kini tidak lagi beroperasi.
Mereka dibawa ke dua Mahkamah Sesyen yang berasingan dan didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.
Undang-undang itu membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Selain Saminathan, turut didakwa adalah ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38, juruteknik S Arivainthan, 27, penjaga stor SThanagaraj, 26, pengawal keselamatan M Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52 tahun.
Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Tamilarasan Sivam’, ‘Pumagan Tamilan’ ,’Chandru Suparmaniam’ dan ‘Elilan Elilan’.
Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Jan dan 11 Okt lepas.
Kesemuanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.
Pada 29 Okt lepas, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala peguam Ramkarpal Singh, Gan Chen Kiong, Damian Yeo dan RSN Rayer mewakili tertuduh.
Muhamad Iskandar tidak menawarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah SOSMA tidak dibenarkan jaminan.
Peguam Ramkarpal memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan dan turut memohon agar permohonan jaminan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan jaminan.
-Malaysiakini
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci