Kementerian Belia dan Sukan akan mengkaji dengan teliti sebelum membuat keputusan sama ada bersedia atau tidak menganjurkan Sukan Komanwel 2022.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, menjadi tuan rumah bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan perbelanjaan yang amat besar.
Menurutnya, walaupun temasya berkenaan akan dianjurkan pada 2022, tempoh berkenaan sebenarnya tidaklah terlalu lama.
"Saya kena kaji dengan lebih teliti dulu sebab menjadi tuan rumah bukan perkara kecil dan ia perlu peruntukan besar.
"Saya akan kaji terlebih dulu sama ada cadangan itu boleh dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penajaan Bola Keranjang Westport Malaysia Sdn Bhd dan PRG Holding Berhad di sini, sebentar tadi.
Kelmarin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan badan induk itu bersikap terbuka untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022, andainya kerajaan berminat dan bersetuju menjadi tuan rumah bagi menggantikan Afrika Selatan yang dilucutkan hak mengelolakan temasya kedua terbesar dunia itu.
Khairy menjelaskan, pihaknya juga masih belum membawa cadangan itu kepada Kabinet kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk mendapatkan persetujuan.
Ditanya sama ada lebih baik menganjurkan Sukan Asia berbanding Komanwel, Khairy berkata Sukan Asia juga memerlukan kos yang amat tinggi.
"(Kos) Sukan Asia lagi tinggi, kita kena fikir banyak perkara. Berbaloi atau tidak Malaysia anjurkan dan sama ada peruntukan itu boleh kita gunakan untuk kegunaan sukan yang lain.
"Ada juga cadangan kita bida Sukan Olimpik bersama Singapura tetapi biarlah kita selesaikan dulu Sukan SEA," katanya.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci