728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 29 October 2019

    ADUN Gadek, Seremban Jaya hadapi tuduhan sokong LTTE

    AYER KEROH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34, dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60 antara tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, di atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), November tahun lalu.

    Selain Saminathan dan Gunasekaran, turut didakwa atas pertuduhan yang sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, 38.

    Saminathan yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Melaka, turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan berkenaan.

    Ketiga-tiga tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan pertuduhan berasingan, Saminathan, Gunasekaran dan Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, jam 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

    Perbuatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan dirampas mana-mana harta digunakan atau niat digunakan, jika sabit kesalahan.

    Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit, di pejabat EXCO Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Seri Negeri, jam 10.25 pagi, pada 10 Oktober lalu.


    Perbuatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak item itu, jika sabit kesalahan.

    Prosiding pendakwaan berlangsung kira-kira setengah jam bermula 9 pagi itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias.

    Ketiga-tiga tertuduh diwakili sepasukan lima peguam diketuai Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

    Elesabet dalam penghakimannya menetapkan 16 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh.

    Terdahulu, petugas media dihalang memasuki kamar mahkamah bagi mengikuti prosiding kecuali hanya membenarkan keluarga dan pemimpin tertinggi dibenarkan.

    Iskandar ketika ditemui pemberita selepas prosiding, berkata tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh Bab VIA (6A) atas kesalahan berkaitan keganasan.

    Ketiga-tiga tertuduh yang diiringi anggota polis tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 7.40 pagi tadi.

    Turut kelihatan di pekarangan mahkamah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, keluarga tertuduh dan kira-kira 100 penyokong.

    -BERITA HARIAN



    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: ADUN Gadek, Seremban Jaya hadapi tuduhan sokong LTTE Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top