728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday 12 April 2017

    Buat Keputusan Ikhlas Kerana Allah




    Setiap perkara yang dilakukan bersandarkan kepada Ilahi membawa kebaikan kepada diri. Justeru, setiap keputusan menentukan keadaan diri kita. Ustaz Pahrol Mohd Juoi di IKIMfm menjelaskan usah biarkan orang lain mengawal dan membuat keputusan hidup kita. Prinsip utama ialah membuat keputusan dengan ikhlas kerana Allah SWT.

    Orang Mukmin yang beriman adalah mereka yang hari ini lebih akrab dan lebih bertakwa kepada Allah SWT daripada hari sebelumnya. Sebagai Mukmin, kita perlu sentiasa ada sikap untuk menambah keimanan kepada Allah SWT, kerana itu perkara penting perlu diamalkan.

    Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan, Mukmin yang dalam hatinya memiliki Allah SWT, umpama memiliki segala-galanya. Mukmin yang memiliki segala-galanya, tetapi dalam hati tidak ada Allah SWT bererti tidak memiliki apapun.

    Justeru, sebesar manapun kejayaan yang diraih dalam hidup ini, tetapi tidak disandarkan kepada Allah SWT, ia tidak memberi makna. Oleh itu, apa yang kita lakukan hendaklah membabitkan Allah SWT kerana setiap perbuatan kerana Allah SWT akan membawa kebaikan kepada kita.

    Seni membuat keputusan juga berkait rapat dengan cara kita membuat keputusan yang betul, cepat dan akhirnya mendatangkan kejayaan. Jika kita tidak mampu mencapai keputusan yang betul pastinya ia akan membuahkan kegagalan.

    Menurut ahli psikologi, dalam tempoh 24 jam kita akan membuat sekurang-kurangnya 200 keputusan. Ini bererti setiap hari kita membuat banyak keputusan, sama ada kecil atau besar keputusan itu bergantung kepada keadaan.

    Jika daripada 200 keputusan itu dilakukan dengan betul dan tepat, kita akan menjadi orang yang bahagia, tetapi jika kita mengambil keputusan yang salah, kesannya bukan sahaja kepada kita barangkali akan membabitkan orang lain.

    Membuat keputusan yang betul, cepat dan tepat adalah kemahiran yang perlu dipelajari. Seni membuat keputusan mesti diketahui setiap orang kerana keputusan yang kita ambil mempengaruhi kehidupan hari ini, esok dan akan datang.



    Kawal kehidupan berdasarkan keimanan

    Contohnya, untuk merebut peluang dalam kehidupan memerlukan kita membuat keputusan. Bagaimana untuk mencari solusi terbaik dalam hidup juga memerlukan keputusan. Bagaimana membuat pilihan dalam hidup juga memerlukan kita membuat keputusan yang tepat.

    Mukmin perlu sedar untuk mengawal kehidupan perlu bersandarkan kepada keimanan, syariat dan kehendak Allah SWT. ‘Alat kawalan’ kepada kehidupan berada dalam tangan kita sendiri.

    Jangan biarkan orang lain mengawal dan membuat keputusan yang menentukan keadaan diri kita.

    Marah, sedih, bahagia, kecewa dan apa sahaja ditentukan dan pilihan kita sendiri. Juzuk kehidupan ini harus ditetapkan oleh kita sendiri berdasarkan keimanan dan petunjuk Allah SWT, bukan ditentukan atau dikawal oleh orang lain.

    Hidup ini adalah untuk menyelesaikan masalah atau ujian. Justeru, memahami seni membuat keputusan penting kerana ia menentukan bagaimana kita membuat keputusan saat berdepan ujian atau masalah.



    Usah takut buat keputusan

    Seandainya kita tidak mampu membuat keputusan, ia bakal mengundang kegagalan dalam hidup. Cerdik pandai menyebut, lebih baik membuat keputusan kemudian gagal daripada gagal membuat sebarang keputusan, kerana ia mengundang kepada keadaan lebih buruk.

    Jangan sesekali takut untuk membuat keputusan kerana hidup ini ditentukan oleh keputusan yang dibuat. Apa sahaja keputusannya, ia sebahagian daripada proses kehidupan.

    Prinsip utama dalam membuat keputusan adalah berdasarkan keikhlasan kerana Allah SWT. Setiap keputusan yang ikhlas kerana Allah SWT membantu kita memperoleh keputusan yang tepat dan benar. Justeru, hadirkan Allah SWT dalam hati semasa ingin membuat sebarang keputusan.




    Penulis adalah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Buat Keputusan Ikhlas Kerana Allah Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top