Tinggal tiga hari lagi, 39 perwakilan dan anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membuang undi memilih presiden baharu bagi badan induk tersebut, sekaligus menjamin bahawa individu yang dipilih mereka itu merupakan calon paling tepat untuk mengubah masa depan bola sepak negara.
Hanya dua nama, sama ada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ataupun Tan Sri Annuar Musa, segalanya terserah kepada perwakilan dan ahli gabungan kerana suara penyokong buat masa ini tidak akan membantu untuk keputusan tersebut.
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar memetik laporan Bernama semalam menegaskan bahawa hala tuju bola sepak tanah air kini bergantung kepada pengundian yang dibuat pada Sabtu ini.
“Minggu ini adalah penting untuk bola sepak negara dalam menentukan siapa barisan kepemimpinan baharu FAM. Saya menyeru kepada semua perwakilan supaya memilih secara matang dan tidak terbawa-bawa dengan kepentingan peribadi.
“Saya harap semua perwakilan dapat mengenal pasti calon terbaik untuk mengetuai FAM dan saya yakin perwakilan kali ini lebih memahami kehendak bola sepak negara,” katanya, sambil melahirkan harapan bahawa pemilihan eksekutif bagi penggal 2017-2021 ini tidak boleh bersikap berat sebelah.
Kedua-dua calon ‘kerusi panas’ tersebut, Tunku Ismail dan Annuar sebelum ini sudah pun membentangkan misi dan visi masing-masing sekiranya salah seorang daripada mereka dipilih memegang jawatan presiden FAM.
Tunku Ismail, yang juga merupakan pemilik skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diketahui umum mempunyai keghairahan yang tinggi untuk mengubah mutu bola sepak negara – yang mana telah diperjelaskan dalam pertemuan beliau bersama penyokong bola sepak pada Februari lalu.
Malah, keyakinan penyokong bola sepak untuk melihat putera raja itu mengemudi FAM nampaknya semakin kuat apabila Tunku Ismail sekali lagi mengulangi pendiriannya dan mendedahkan 11 manifesto beliau menjelang pemilihan presiden pada Kongres FAM ke-53 ini.
Menurut Tunku Ismail dalam kenyataan dikemaskini di laman Facebook Johor Southern Tigers, manifesto yang dikemukakan beliau ini telah dikaji dengan penuh teliti melalui perundingan, penyelidikan dan pengalaman, selain menetapkan beberapa objektif utama bagi sebuah organisasi yang akan diketuai olehnya.
“Sebaik sahaja inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan bola sepak di negara ini.
“Rakyat Malaysia telah menyaksikan sendiri dalam tempoh empat tahun yang lalu, kejayaan dan kemajuan JDT telah dicapai di bawah kepimpinan saya dan kini masanya untuk kemajuan ini dilakukan di seluruh negari,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Antara manifesto yang terus kekal menjadi keutamaan Tunku Ismail adalah memastikan FAM tidak digunakan untuk kepentingan politik, yang mana tegasnya, bola sepak Malaysia akan terus berada dalam kancah permasalahan untuk tempoh 30 tahun lagi sekiranya badan itu ditadbir oleh individu salah.
“Memastikan bola sepak tidak jatuh ke tangan orang-orang yang akan menggunakan permainan bola sepak ini atas sebab-sebab politik. Jawatan Presiden FAM tidak boleh
Ringkasan manifesto yang dikemukakan Tunku Ismail adalah seperti berikut;
– Mengubah budaya bola sepak Malaysia. FAM dirombak sepenuhnya, dimana ia telah terbelenggu selama lebih tiga dekad.
– Pembaharuan Urus Tadbir dan Pentadbiran – Untuk mengubah struktur organisasi kebangsaan.
– Meningkatkan nilai komersial Liga Super dan Liga Premier.
– Pembangunan Permainan – Keseluruhan Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia.
– Pendekatan global dalam pembangunan bola sepak di Malaysia: Kepakaran antarabangsa dan perancangan pengambilalihan.
– Penstrukturan semula pasukan kebangsaan.
– Program Pembangunan Pengadil.
– Fasiliti-fasiliti.
– Pendekatan dalam melakukan semua tugasan.
Sepertimana yang ditekankan oleh Tunku Ismail sebelum ini bahawa perkara pertama yang akan dilakukan oleh beliau andainya memenangi jawatan presiden FAM adalah mengubah keseluruhan struktur FAM.
Maka, menerusi manifesto “pendekatan dalam melakukan semua tugasan”, ikrar tersebut ditegaskan lagi oleh beliau.
“Saya akan menjadi presiden yang melakukan kesemua tugas dan kepimpinan serta pengetahuan saya tentunya banyak membantu semua pihak yang berkepentingan dalam proses perubahan penting ini.”
Sementara, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa seperti dilapor Harian Metro hari ini menggesa para perwakilan dan ahli gabungan supaya berani melakukan perubahan.
Katanya, kesemua perwakilan tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri sebaliknya sedar sudah tiba masanya untuk badan induk bola sepak itu melakukan perubahan drastik khususnya dalam urus tadbir organisasi.
“Saya berharap mereka yang diberi mandat membuat keputusan tepat. Mereka tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri di mana mereka tidak mempunyai keyakinan untuk menghadapi gaya kerja baharu di FAM jika teraju badan induk itu berubah.
“Jika ini berlaku, selamanya bola sepak kita tidak akan berubah,” katanya memetik akhbar tersebut.
Jadi, segalanya terpulang kepada perwakilan dan ahli gabungan. Pastinya pemilihan pada 25 Mac ini bukan sahaja penyokong mahu melihat titik permulaan kepada perubahan dalam sukan bola sepak, bahkan, kebijaksanaan dan profesionalisme para perwakilan dalam membuat keputusan.- mD
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci