728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, 13 April 2017

    LIMA 17 Dan Iktibar Dari Korea




    PADA Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA 2017) kali ini, pasukan aerobatik Black Eagle Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF) dan Jupiter Aerobatic Team, Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) berpeluang menunjukkan aksi mereka.

    Kedua-dua pasukan menerbangkan kapal terbang buatan Korean Aerospace Industries (KAI) iaitu Black Eagle menggunakan jenis T-50B (FA-50)dan Jupiter Aerobatic Team dengan pesawat model KT-1B Wongbi. Tentera Udara Filipina secara berperingkat-peringkat juga sedang menerima 12 buah kapal terbang FA-50 KAI untuk memperkukuhkan lagi pertahanan udara negara tersebut. Korea Selatan mutakhir ini dilihat menjadi pilihan pembeli peralatan ketenteraan, berbanding dengan pengeluar pesawat udara dari negara-negara barat.

    Selain pertunjukan udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah selesai me­nerima kesemua pesawat pe­ngangkut jenis A400M Atlas yang ditempah. Pembelian aset baharu TUDM yang berfungsi sebagai kapal terbang pengangkut jarak jauh membuktikan kerajaan prihatin tentang nasib warganegara Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, malah di mana-mana tempat di dunia.

    Jika berlaku bencana alam atau kecemasan, pesawat se­perti inilah yang akan membawa bantuan atau menyelamatkan rakyat Malaysia di seberang laut. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein ada menyatakan bahawa: “Sebarang pembelian aset ketenteraan mengambil kira keperluan rak­yat terlebih dahulu dan bukannya untuk memenuhi kehendak pihak-pihak tertentu.”

    Malaysia kini telah bersedia untuk menjadi pusat penyenggaraan A400M memandangkan buat masa ini tiada negara lain di rantau Asia yang menggunakan pesawat tersebut selain Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom. Sesungguhnya pemilikan pesawat logistik terkini bukanlah bertujuan me­nunjukkan kekuatan pasukan tentera udara, apatah lagi mengancam keselamatan negara jiran.

    Sepanjang LIMA 2017 berlangsung, pertunjukan udara tempatan dipersembahkan oleh pesawat pejuang SU-30MKM daripada No.11 Skuadron (11 Skn) yang berpangkalan di Gong Kedak. 11 Skn pada akhir 1960-an sehingga awal tahun 1970-an pernah mengoperasikan jet pejuang jenis CAC (Avon) Sabre. CAC Sabre sebenarnya berasal daripada model jet tempur buatan Amerika Syarikat (AS) F-86 Sabre. Kapal terbang F-86 digunakan secara aktif oleh AS semasa Peperangan Korea dari 1950-1953 menentang Korea Utara dan sekutunya.

    Persengketaan antara Korea Utara dan Korea Selatan tidak berkesudahan sehingga kini sejak peperang­an bermula pada 1950. Sebenarnya kedua-dua buah negara berkongsi satu bahasa, kepercayaan dan asal keturunan yang sama.

    Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan terperangkap dalam permainan kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rusia dan AS, apabila Perang Dingin berada di kemuncaknya selepas Perang Dunia Kedua tamat. Korea Utara berbangga sebagai sebuah negara berfahaman komunis berteraskan pemerintahan tentera yang memiliki senjata nuklear. Korea Selatan pula pesat membangun dengan menjadi salah sebuah kuasa ekonomi pasaran bebas yang terkenal dengan produk-produk ternama di seluruh dunia seperti jenama Samsung dan Hyundai.

    Selagi kedua-dua negara masih bermusuhan, selagi itulah bajet ketenteraan mereka akan sentiasa meningkat walaupun peperang­an besar tidak berlaku.

    Lebih malang lagi bagi Korea Utara apabila penumpuan yang dilakukan terhadap kemudahan teknologi nuklear tentera serta penyelenggaraan senjata strategik yang lain telah mengabaikan pembangunan kemudahan asas kepada wanita dan kanak-kanak dalam sektor kesihatan, pendidikan serta sosial.

    Jika pemimpin kedua-dua buah negara mengutamakan penyelesaian secara rundingan dan diplomasi pada peringkat awal, pepe­rangan mungkin boleh dielakkan.

    Selain CAC Sabre dan SU-30MKM yang menjadi jet tempur utama TUDM, pesawat pengebom strategik jenis Vulcan milik Tentera Udara Diraja British (RAF) pernah beroperasi di barisan hadapan pertahanan negara selepas Malaya merdeka pada 1958 (Darurat), 1963-1966 sewaktu Konfrontasi, sehingga akhir 1960-an.

    Berdasarkan buku bertajuk, Vulcan Units of the Cold War karya Andrew Brookes, ketika konfrontasi sedang berlangsung antara Malaysia dan Indonesia, pesawat Vulcan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya perlu.

    Mujurlah Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein tidak menyimpan perasaan dendam yang mendalam terhadap Indonesia. Pastinya mereka berfikir panjang serta mengamalkan sikap wasatiyah dalam me­laksanakan dasar luar Malaysia sejak kita merdeka, bukan sahaja kepada Indonesia tetapi juga kepada mana-mana negara di luar rantau ASEAN.

    Sesungguhnya apabila berlakunya peperangan atau konflik berdarah antara dua negara, tiada siapa yang mendapat keuntung­an. Malah akan ada pihak ketiga yang akan masuk campur serta mengapi-apikan lagi permusuhan, sekali gus mendapat hasil daripadanya.

    Walaupun kedua-dua negara Korea memiliki pelbagai teknologi ketenteraan, namun kita harus bersyukur kerana Malaysia dan Indonesia memiliki pemimpin yang mengutamakan keamanan dan penyelesaian masalah melalui rundingan sebagaimana yang telah dibuktikan oleh sejarah sebelum ini.

    Penyelesaian konflik secara aman setelah konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia boleh kita bandingkan dengan permasalahan di Semenanjung Korea yang tidak menampakkan tanda-tanda penyelesaian dalam jangka masa pendek ini.

    Sesungguhnya bukan mudah untuk memelihara keamanan sesebuah negara di samping jiran-jirannya yang berdekatan. Dasar-dasar negara dirancang serta dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang layak dan berkepakaran termasuk penjawat awam dalam bidang masing-masing. Bukannya oleh ‘askar upahan media sosial’ yang hanya tahu menularkan fitnah 24 jam sehari di depan skrin telefon atau komputer untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang mahu melihat negara ini hancur.

    PENULIS ialah seorang perunding bebas dan bekas pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: LIMA 17 Dan Iktibar Dari Korea Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top