728x90 AdSpace

  • Latest News

    Friday, 17 March 2017

    “Kalau kepala bayi sudah keluar, mana boleh kau nak tolak masuk balik”




    By Dr. Anna Liza Roslani

    Saya ingin memberi pandangan tentang kes viral baru-baru ini berkenaan seorang ibu yang telah kehilangan anaknya sewaktu proses bersalin. Saya tidak mengenali si ibu tersebut, dan saya tidak mengetahui butiran berkenaannya melainkan apa yang dia sendiri ceritakan di Facebooknya.

    Namun saya terpanggil untuk memberi pendapat kerana saya percaya, kita harus mendegar cerita kedua-dua belah pihak sebelum netizen mengecam dan menokok-nambah kisah tersebut. Saya juga percaya, telah timbul beberapa salah faham antara si ibu itu dan pihak hospital. Tambahan pula, si ibu mungkin berada dalam keadaan tertekan dan sedih atas kehilangan bayinya.



    `Air ketuban pecah’ ataupun `spontaneous rupture of membranes’ adalah dianggap proses semulajadi untuk wanita yang bakal melahirkan anak jika ia berlaku melebihi usia kandungan 37 minggu.

    Kebanyakkan wanita yang telah pecah air ketubannya, akan mengalami kontraksi dalam masa 24 jam setelah air ketuban pecah. Ada yang mengalami kontraksi terus, ada yang memakan masa.

    Jika selepas 24 jam wanita tersebut masih belum bersalin, doktor akan `memaksa’ wanita itu bersalin (induce labaour) kerana didapati risiko jangkitan kuman adalah lebih tinggi selepas 24 jam. Tidak timbul keadaan dimana `air ketuban langsung kering’ atau `terlalu banyak air ketuban keluar’ jika bayi sihat, kerana air ketuban adalah air kencing bayi yang sentiasa dihasilkan olehnya.

    Juga, bayi bukan seperti ikan, yang memerlukan air yang banyak untuk berenang supaya ikan tidak lemas. Bayi mendapat bekalan oksigen daripada ibunya melalui tali pusat. Bayi tidak mempunyai insang seperti ikan dan mengambil oksigen daripada air ketuban. Jangan ketawa, tetapi saya mengenali ramai ibu hamil dan suami yang mempunyai kepercayaan tersebut! Jika air ketuban kurang disebabkan bayi atau uri tidak sihat (bayi mengalami intrauterine growth restriction) barulah boleh dikatakan air ketuban tidak mencukupi.

    Dalam kes viral itu, daripada penceritaan si ibu itu, air ketuban telah pecah sekitar sejam sebelum dia sampai di hospital. Semasa dia sampai, si ibu tidak mengalami sakit kontraksi yang kuat. Si ibu itu sendiri mengatakan bahawa dia risau banyak air ketuban keluar. Dia tidak pun kata kontraksinya terlalu sakit pada masa itu. Oleh itu, wajarlah jika misi menyuruhnya menunggu doktor datang dalam masa sejam lagi.

    Pada pukul 12 tengah malam (16 jam selepas air ketuban pecah) pun, si ibu masih selesa dan dapat bermanja dengan `papa’nya. Ini juga menunjukkan tiada masalah pada janin pada waktu tersebut. Hanya selepas papanya dah pulang, barulah dia merasakan kelainan iaitu keluar darah yang banyak secara tiba-tiba. Saya mengesyaki waktu itu, dia sebenarnya telah mengalami `abruptio placenta’ atau `uri lekang’ atau `uri tertanggal’. Uri biasanya melekat pada bahagian dalam dinding rahim, dan biasanya hanya akan tanggal selepas bayi dilahirkan. Tetapi dalam kes abruptio placenta, uri (atau sebahagian daripada uri) telah tertanggal dari dinding rahim SEBELUM bayi dilahirkan.

    Petanda-petanda abruptio placenta ialah pendarahan yang banyak melalui faraj, bersama dengan sakit kontraksi yang sangat kuat dan kerap (hyperstimulation).

    Bila kontraksi terlalu kuat dan kerap, si ibu akan rasa seperti hendak meneran walaupun pintu rahim belum buka penuh.

    Abruptio placenta boleh berlaku dengan tiba-tiba tanpa diduga. Dan jika ia berlaku, bayi boleh kehilangan punca oksigennya dalam beberapa minit atau saat. Itulah yang boleh membawa maut jika bayi tidak dilahirkan serta merta.

    Abruptio placenta boleh berlaku setelah air ketuban pecah kerana apabila air keluar, berlakunya pengurangan tekanan (decompression) dari air ketuban ke atas uri.
    Oleh itu, uri pun akan lekang atau separa tanggal. Penanggalan ini yang menyebabkan pendarahan yang banyak dan kekurangan oksigen kepada bayi.

    Tentang dakwaan misi menolak kepala balik……wow! Misi itu mungkin superhero dan mempunyai kuasa di luar dugaan. Sebagai doktor pakar yang telah lama berkhidmat, saya tidak pernah berjaya untuk menolak balik kepala bayi yang sudah dilahirkan. Saya berpendapat sebenarnya misi hanya memeriksa pembukaan pintu rahim, dan apabila didapati darah banyak terkeluar dan si ibu sedang meneran, dia menyuruh si ibu rapatkan pehanya supaya misi dapat menghantarnya ke labour room (bukan level room ya!) dan supaya dia tidak meneran. Misi itu tidak mahu si ibu terkangkang untuk tatapan orang ramai semasa dihantar ke labour room.

    Ataupun, mungkin misi risau si ibu terbersalin di wad biasa kerana nanti diviralkan pula `Saya bersalin di atas katil di wad biasa sebab misi lambat!’

    Setelah dikenalpasti bahawa keadaan pendarahan si ibu itu serius dah boleh meragut nyawa kedua-dua ibu dan anak, doktor telah membuat keputusan untuk melakukan caesarean section.

    Untuk melakukan caesarean section dengan selamat, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 30-40 minit untuk membuat persediaan rapi.

    Persediaan seperti – pemeriksaan darah untuk mengetahui berapa banyak darah yang si ibu telah kehilangan, jika tekanan darah ibu rendah harus masuk air melalui drip terdahulu, untuk mendapatkan darah yang sesuai untuk transfusi darah, untuk doktor bius memberi bius tanpa memudaratkan lagi si ibu etc.

    Jika benar kepala bayi sudah pun nak terkeluar, sudah pastinya doktor akan cuba lahirkan bayi itu melalui forceps atau vakuum yang jauh lebih cepat daripada melakukan pembedahan caesarean.

    Si ibu/ si penulis telah membuat berbagai dakwaan terhadap pihak hospital yang tidak tepat. Saya memahami si ibu sedang trauma atas kehilangan bayinya, tetapi ini bukanlah cara untuk merawat hati yang trauma.

    Mungkin ada kekurangan yang dapat diperbaiki daripada pihak hospital, tetapi itu bukan bererti pihak hospital adalah cuai.

    `Kelewatan’ doktor adalah pendapat si ibu. Berapa lama yang dianggap lewat? Bagaimana jika doktor tersebut sedang merawat pesakit lain sewaktu beliau dipanggil?

    There are always two sides to a story. Jika tidak puas hati, minta untuk diberi penjelasan daripada pihak hospital. Kepada netizen-netizen yang tidak tahu kisah sebenar, janganlah memandai-mandai nak tambah asam, garam dan kicap.

    Bolehkah bayi itu diselamatkan? Mungkin ya. Jika semua wanita yang mengalami air ketuban pecah terus dihantar ke dewan bedah untuk kelahiran caesarean, maka jawapannya boleh.

    Dan susulan daripada itu, doktor akan difitnah pula sebagai ‘suka sangat membedah orang’ dan ‘malas’ untuk menjaga wanita bersalin. Ataupun ‘anti – gentlebirthing’.

    Silalah faham kerja doktor, misi dan lain-lain staf kesihatan. Mudah untuk netizen menuding jari setelah berlakunya keadaan yang tidak diingini. Kenapa tidak pula memuji kami bila beribu-ribu wanita melahirkan dengan selamatnya?

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: “Kalau kepala bayi sudah keluar, mana boleh kau nak tolak masuk balik” Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top