Selepas Malaysia dikejutkan dengan berita pembunuhan Kim Chol di KLIA2, secara tidak langsung negara kita terlibat dalam masalah rumit ini. Namun jika diambil dari sudut yang positif, banyak pengetahuan baharu yang kita peroleh tentang negara tersebut yang mana sebelum ini kita langsung tidak menghiraukannya.
Pada minggu lepas, klip video Yeonmi Park, pelarian dari Korea Utara mula menjadi begitu viral di media sosial dan perkara ini turut tidak terlepas mendapat perhatian rakyat Malaysia. Dalam video tersebut, Yeonmi berkongsi detik-detik menyedihkan sepanjang bergelar rakyat Korea Utara.
Apa yang bakal anda baca ini sedikit sebanyak pasti akan membuka fikiran anda tentang negara aneh Korea Utara. Ada di antara undang-undang di negara tersebut yang mana jika kita fikir memang langsung tidak masuk akal dan kerana hal inilah membuatkan saya fikir Malaysia adalah sebuah negara yang jauh lebih bagus dari Korea Utara.
“Ini, bukan suara saya seorang, tetapi suara kami, rakyat Korea Utara. Kami ingin dunia tahu.” itulah kata-kata yang terkeluar daripada Yeonmi di awal bicaranya. Luahan penuh perasaan yang inginkan perlindungan dan kebebasan.
Tiada internet, hiburan dan larangan berkomunikasi dengan dunia luar
“Korea Utara sebuah negara yang tidak dapat dibayangkan. Di sana hanya ada satu siaran televisyen. Tiada internet. Kami tidak bebas menyanyi, bercakap, berpakaian atau berfikir tentang apa yang kami mahu.
“Sepanjang saya membesar di Korea Utara. Tidak pernah sama sekali kami terdedah dengan cerita cinta antara lelaki dan perempuan. Tiada buku, tiada lagu, tiada ungkapan cinta, tiada cerita cinta. Tiada Romeo, tiada Juliet. Yang ada hanya cerita propaganda tentang kehebatan pemimpin tertinggi,” katanya.
Menurut Yeonmi, Korea Utara adalah satu-satunya negara di dunia ini yang menghalang rakyat berkomunikasi dengan negara luar. Cuba anda bayangkan, dengan perkembangan dunia teknologi yang semakin canggih seperti hari ini, anda terperangkap dalam satu peraturan yang langsung tidak memajukan. Serius teruk.
Jadi mangsa culik
“Saya dilahirkan pada 1993 dan menjadi mangsa culik ketika saya masih tidak tahu apa itu erti kebebasan dan hak kemanusiaan. Ketika umur saya 9 tahun, saya melihat sendiri, ibu sahabat saya ditembak depan orang ramai. Kesalahannya hanya menonton cerita Hollywood,” katanya lagi.
Kritik pemerintah bakal dipenjara, diseksa dan dibunuh
Di awal usianya empat tahun, ibu Yeonmi melarang mereka berbisik kerana pemerintah boleh mendengarnya. Jika mengkritik pemerintah yang berkuasa, maka tiga generasi keluarga akan dipenjara, diseksa, dibunuh.
“Bapa saya meninggal dunia di China selepas dia berjaya keluar dari Korea Utara. Saya sendiri menguburkannya pada jam 3 pagi secara rahsia. Masa itu, umur saya 14 tahun. Saya tidak boleh menangis, saya takut akan di hantar pulang ke Korea Utara.
Ibu diperkosa depan mata
“Pada hari saya lari dari Korea Utara, ibu saya diperkosa depan saya. Mereka juga cuba perkosa saya. Masa itu umur saya baru 13 tahun. Ibu sekali lagi membiarkan dirinya diperkosa untuk lindungi saya,” katanya.
Tambah Yeonmi, rakyat Korea Utara sangat terdesak melarikan diri. Mereka lari menuju Gurun Gobi, kompas menjadi petunjuk arah. Apabila kompas rosak bintang-bintang menjadi panduan perjalanan mereka demi menyelamatkan diri.
Tiada yang harapan besar yang dimahukan, apa yang diminta hanyalah mahu hidup sebagai manusia. Tambah Yeonmi lagi.
Inilah kisah hidup seorang gadis dari Korea Utara 3 tahun dahulu, kini Yeonmi Park bergelar aktivis dan semakin gembira dengan kehidupan barunya. Namun disebalik penderitaan ini, jauh disudut hatinya masih tertanam mahu pulang ke tanah air.
Pada tahun 2015, dia menerbitkan autobiografi hidupnya berjudul ‘In Order To Live: A North Korea Girl’s Journey to Freedom’. Yeonmi Park kini menyambung pelajarannya di Universiti Colombia dalam jurusan ekonomi disamping meneruskan misi untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan masyarakat dunia mengenai pencabulan hak asasi manusia di Korea Utara.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci