Ribuan penduduk Zimbabwe berkumpul di jalan-jalan utama di sekitar bandar ini bagi meraikan peletakan jawatan Presiden mereka, Robert Mugabe, semalam.
Selain bersorak, ada dalam kalangan mereka tanpa segan silu menyanyi dan menari selepas mendapat tahu perkhabaran itu.
“Ngwena ndizvo (Mnangagwa adalah calon utama),” tertulis pada poster seorang penduduk tempatan merujuk kepada bekas Timbalan Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa yang yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Mugabe ketika ini.
Seorang lagi penduduk, Tinashe Chakanetsa, 18, berkata: “ Saya gembira dengan keputusan itu (peletakan jawatan Mugabe). Tempoh selama 37 tahun bukanlah satu gurauan dan saya berharap Zimbabwe akan ditadbir oleh pemimpin baharu selepas ini.”
Semalam, Mugabe yang memegang tampuk pemerintahan Zimbabwe sebagai Presiden selama 37 tahun akhirnya meletakkan jawatan selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak.
Surat peletakan jawatan pemimpin itu diserahkan kepada Speaker Parlimen, Jacob Mudenda ketika partinya, Zanu-PF sedang dalam proses untuk memecat pemimpin berusia 93 tahun itu termasuk selaku ketua parti berkenaan.
Turut dipecat ialah isterinya, Grace yang merupakan pemimpin utama wanita dalam parti itu.
Dalam suratnya, Mugabe dipetik sebagai berkata, keputusan untuk berundur sebagai Presiden itu dibuatnya secara ‘sukarela’.
“Saya mengambil berat kebajikan penduduk Zimbabwe dan menjadi impian saya untuk melihat peralihan kuasa ini berlangsung dalam suasana aman, lancar dan tiada unsur-unsur keganasan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mnangagwa dilaporkan kembali ke Zimbabwe hari ini selepas lebih dua minggu dipecat daripada jawatannya bagi memberi laluan kepada Grace untuk memegang jawatan berkenaan.
Menurut jurucakap Zanu-PF, Mnangagwa dijangka mengangkat sumpah selaku Presiden Zimbabwe baharu Jumaat ini. – AFP/BERNAMA/AGENSI
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci