CALIFORNIA: Syarikat teknologi Yahoo akan menghentikan aplikasi pesanan firma itu, Yahoo Messenger selepas 20 tahun ia pertama kali dilancarkan.
Mail Online yang memetik kenyataan Yahoo sebagai berkata, mereka yang masih menggunakan aplikasi itu yang pernah mencapai kemasyhurannya pada sekitar tahun 2000 mempunyai tempoh sehingga 17 Julai depan sebelum ia ditutup.
Namun, tiada aplikasi segera yang menggantikan aplikasi berkenaan dan Oath, sebuah unit di bawah syarikat Verizon yang mengendalikan Yahoo mencadangkan pengguna Yahoo Messenger bertukar kepada aplikasi pesanan baharu mereka digelar, Squirrel.
Yahoo Messenger dianggap sebagai perintis industri dalam bidang perisian sembang yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna internet bersama satu lagi perisian AOL Instant Messenger yang kini tidak lagi aktif.
“Yahoo Messenger tidak lagi berfungsi selepas 17 Julai 2018 dan sehingga itu, anda boleh terus menggunakan perkhidmatan terbabit seperti biasa.
“Kami tahu kami mempunyai banyak peminat setia yang menggunakan Yahoo Messenger sejak ia mula beroperasi.
“Oleh kerana landskap komunikasi terus berubah, kami sedang memberi tumpuan terhadap pembinaan dan memperkenalkan alat komunikasi baharu yang menarik dan lebih sesuai dengan keperluan pengguna,” jelas firma berkenaan.
Yahoo dalam kenyataan itu menambah, pengguna boleh memuat turun sejarah perbualan mereka dari laman web firma berkenaan.
Selepas 17 Julai, pengguna tidak akan dapat masuk ke aplikasi Yahoo Messenger sama ada melalui telefon atau komputer mereka.
Walau bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan ID Yahoo anda.
- Utusan Online
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci