728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday 3 June 2018

    Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Calon Presiden UMNO?





    Barisan Nasional (BN) sudah kalah. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan sesiapa. Walau apapun penyebabnya, kalah tetap kalah. Itulah sifir dan hukum dalam politik.

    Sebagai parti tonggak BN, Umno perlu menyusun langkah baharu untuk menjadi sebuah pembangkang paling berani dan menyulitkan pihak pemerintah untuk membuat onar.

    Umno tidak lagi boleh menjadi jaguh di gelanggang sendiri atau sekadar 'syok sendiri' dengan segala mak nenek pujian dan report yang sedap telinga mendengar sahaja.

    Inilah masanya untuk Umno membuktikan bahawa parti keramat itu benar-benar keramat. Jika Umno menjadi pemerintah, ia akan menjadi pemerintah yang berjaya. Jika Umno menjadi pembangkang, maka ia akan menjadi pembangkang yang membuatkan kerajaan tidak tidur malam.

    Bagi berhadapan dengan ketua kerajaan yang telah berpengalaman luas seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno perlu meletakkan pucuk pimpinannya yang betul. Jangan tersilap percaturan lagi.

    Ya, mungkin ramai yang mahu Umno diremajakan kembali. Namun dalam bentuk dan gaya apa Umno itu harus diremajakan? Takkanlah istilah remaja itu sekadar merujuk kepada pemimpin muda sahaja?

    Persoalannya, mampukah pemimpin yang berusia muda mampu menentang Dr Mahathir yang pernah mentadbir Umno dan kerajaan untuk berdekad lamanya? Jika Umno sudah diremajakan, namun ia tidak mampu melawan 'kezaliman' lawannya, jadi apa guna semua itu?

    Oleh sebab itu Umno harus mencari tokoh yang benar-benar mampu menjadi persaing sebenar atau 'buku bertemu ruas' untuk melawan Pakatan Harapan.

    Dalam mencari penuh kesamaran, antara nama yang dianggap cukup cocok untuk mentadbir Umno adalah bekas pencabar Dr Mahathir sendiri iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

    Lihat dulu ketika pemilihan Umno tahun 1987, Ku Li hampir-hampir menang menentang Dr Mahathir. Jika tidak kerana Dr Mahathir mengharamkan parti, tidak mustahil Ku Li sudah bergelar Presiden Umno pada waktu itu.

    Ku Li tidak pernah jemu berjuang

    Tengku Razaleigh merupakan putera raja dari Kelantan dan juga merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid. Dikhabarkan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra membahasakan Tengku Razaleigh dengan panggilan ‘Ayahanda’.

    Dilahirkan kepada Tengku Muhammad Hamzah bin Raja Muda Long Zainal Abidin Ibni Sultan Muhammad III yang lebih dikenali sebagai Tengku Seri Maharaja, Tengku Razaleigh mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Padang Garong, dan kemudiannya di Kolej Sultan Ismail (SIC) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Bapa kepada Tengku Razaleigh iaitu Tengku Seri Maharaja, Tengku Muhammad Hamzah pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan sebelum kemangkatan baginda. Tengku Razaleigh Hamzah juga telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London. Tetapi hasratnya untuk menjadi peguam terbantut apabila bapanya sakit dan beliau terpaksa menguruskan perniagaan bapanya. Pada tahun 1959, Tengku Razaleigh mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen, Ireland.

    Semasa Tengku Razaleigh memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada Julai 1974, Tengku Razaleigh menjadi Naib Presiden UMNO setelah kematian Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Beliau menjadi Naib Presiden UMNO selama tiga penggal berturut-turut sehingga 1978.

    Pada 5 Mac 1976 hingga Julai 1984, Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM. Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun.Beliau merupakan menteri kewangan kedua dari UMNO selepas Hussein Onn. Beliau merupakan Menteri Kewangan yang paling lama sebelum diambil alih oleh Dato Daim Zainuddin dalam rombakan kabinet pada tahun 1984. Dalam rombakan tersebut, Tengku Razaleigh dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian(MITI).

    Pada 24 April 1987, Tengku Razaleigh bersama Dato Musa Hitam mencabar regu Dr Mahathir dan Ghafar Baba dalam pemilihan parti sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti UMNO. Malangnya, beliau ditewas 43 undi di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kekalahan tersebut merupakan titik pusing kerjaya politiknya.

    Selepas kekalahan ini, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Datuk Rais Yatim. Semangat 46 bekerjasama  dengan PAS dan DAP dalam Pilihan Raya Umum tahun itu tetapi gagal memenangi untuk membentukkan kerajaan. Cuma PAS berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan PBS berjaya menguasai kerajaan negeri Sabah. Selepas Semangat 46 dibubarkan 1996, Tengku Razaleigh dan Dato Rais Yatim menyertai UMNO semula.

    Pada tahun 2000, beliau menawarkan diri untuk bertanding melawan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden dalam pemilihan parti UMNO namun kuota pencalonan sebanyak 30 peratus tidak mencukupi dari bahagian-bahagian UMNO. Pada masa yang sama, beliau juga cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan Timbalan Presiden, namun juga gagal atas kuota. Selain itu, beliau juga gagal menepati kuota apabila ingin bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

    Pada tahun 2004, beliau cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebagai Presiden ketika itu, namun hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya. Oleh itu beliau gagal menepati kuota.

    Sekali lagi pada 2009, setahun selepas Pilihanraya Umum, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang sama menentang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengundurkan diri, kerana keputusan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang merosot. Setakat ini hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya.

    Bermula dari pertengahan tahun 1960-an, dengan sokongan dari Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak, beberapa usaha untuk meningkat pembangunan negara telah diterajui oleh Tengku Razaleigh secara langsung dan tidak langsung. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilancarkan ialah program pengambilan semula di dalam industri-industri tempatan yang masih dipegang oleh pihak-pihak dari luar negara.

    Bagaimanapun, ahli Umno juga pasti ada pilihan tersendiri untuk jawatan berkenaan. Selain daripada Ku Li, mungkin juga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding bagi merebut jawatan berkenaan sekali gus meneruskan legasi kepimpinan sedia ada.

    Jika Zahid Hamidi yang dipilih majoriti ahli Umno, maka Ku Li juga molek untuk dipanggil sebagai mentor bersama-sama Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan parti keramat ini.

    Yang penting, sifat Wala' yang seringkali diseru oleh Najib ketika menjadi Presiden Umno itu harus diteruskan walau siapapun yang diangkat menjadi Khalifah Umno tidak lama lagi. - KAKI PALU

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Calon Presiden UMNO? Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top