728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday 3 June 2018

    Harga Barang Masih Tak Turun Walau GST Sudah 0% ?





    TANGGAL 1 Jun 2018, tamatlah polemik berkaitan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) apabila ditetapkan pada kadar 0%. Ramai yang berasa lega dan gembira.

    Namun wujud juga tanda tanya dan keliru kenapa tidak dihapuskan terus GST seperti yang dijanjikan dalam manifesto oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari akan menghapuskan GST.

    Pengumuman Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaab, Tun Daim Zainuddin, rejim cukai SST akan kembali selepas dua atau tiga bulan. Iaitu pada Ogos atau September, adakah harga barang turun atau naik dengan penghapusan GST nanti?

    Ramai terfikir jika SST diwujudkan kembali, adakah kadar 12% dalam bentuk cukai tersembunyi akan dikenakan kembali? Malah ramai buat masa ini menganggap bahawa jika SST dilaksanakan, maka kadar yang dikenakan lebih tinggi berbanding dengan GST hanya 6%. Semua persoalan ini perlu diterangkan dengan jelas kepada pengguna dan masyarakat.

    Walaupun GST pada masa ini tidak lagi dihapuskan namun kadar sifar menunjukkan seolah-olah suatu ketika nanti ia akan meningkat. Sejauh mana kadar sifar dapat mengurangkan harga barang sekarang ini?

    Namun yang penting pada pengguna adalah persoalan kenaikan harga barang yang sering dikaitkan dengan GST. Maka benrkah GST sifar menyebabkan harga barang berkurangan?

    Sehingga kini apabila pelaksanaan GST ditetapkan pada kadar sifar, kenapa pula tidak berlaku penurunan harga barang? Malahan pada sesetengah barang seperti keperluan harian dan menjelang raya banyak pula berlaku kenaikan harga barang.

    Maklumlah sebagai perubahan sistem percukaian yang baharu, sudah tentu ramai yang panik, risau, malah tertipu dengan helah peniaga di peringkat awal operasi dan pelaksanaannya.

    Masalah yang berlaku ini sebenarnya adalah perkara biasa bagi mana-mana sistem baharu sebelum operasinya berjalan lancar selepas itu. Dalam isu GST kadar sifar ini, masalah operasinya boleh diatasi dan orang ramai boleh meminta penjelasan dan menyampaikan aduan sekiranya terdapat kekeliruan.

    Namun persoalannya sekarang ramai yang keliru dan dengan taktik peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati. Kedai makan berskala kecil pun turut menaikkan harga barang di hampir semua tempat terutama di kawasan bandar.

    Tinjauan penulis mendapati beberapa peniaga dengan berani menaikkan harga dengan alasan kerana stok barangan lama semasa barangan jualannya dikenakan GST 6%. Malah menuduh pihak kerajaan memberi notis yang singkat dengan perubahan kadar GST. Sedangkan sesetengah barang berkenaan tidak pun dikenakan GST/

    Malah peniaga dengan berani mencetak dalam resit bayaran GST 0% tetapi tiada nombor rujukan GST yang sahih. Banyak lagi taktik peniaga yang mengaut untung atas nama GST walaupun tidak mendaftar di bawah GST.

    Justeru, ramai yang membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana tidak berpuas hati. Namun kebanyakan peniaga apabila ditanya kenapa menaikkan harga barang walaupun tiada nombor pengenalan (ID) dan pendaftaran GST memberi jawapan: "ikut arahan bos", "saya tak tahu", "saya pekerja sahaja", "saya peninglah dengan sistem baru" dan sebagainya.

    Terdapat juga peniaga yang menyalahkan pihak berwajib kerana merubah sistem GST dan tidak sempat memberi sistem resit bercetak rasmi GST dan pelagai alasan lagi.Ternyata di sini, GST bukannya persoalan sistem percukaian, baik kadar sifar atau 6%. Tetapi lebih pada kerenah peniaga yang menaikkan haraga barang sesuka hati dan lebih kepada persoalan pelaksanan dan pemantauan.

    Bolehkah kita masih mengatakan lagi bahawa puca kenaikan harga barangan sebenarnya disebabkan GST? Kita juga mengharapkan agar pihak kerajaan menunjukkan senarai penurunan harga barang semasa dengan kadar sifar bagi menyakinkan rakyat atas penambahbaikan yang diperkenalkan.

    Peniaga yang melanggar peraturan GST kadar sifar dan menyalahi undang-undang perlu didenda dan didedahkan dalam media supaya menjadi pengajaran kepada peniaga lain agar tidak lagi sewenang-wenangnya menaikkann harga dan menipu atas nama GST.

    KPDNKK dan pihak berwajib perlu mencontohi pelaksanaan sijil halal. Contohnya, peniaga yang telah mendaftar di bawah GST 0% perlu mempamerkan sijilnya di premis perniagaan berserta dengan nombor pendaftaran atau pengenalan GST. Bermakna premis yang tidak meletakkan sijil berkenaan secara automatik tidak berdaftar dan pengguna mudah mengenalinya.

    Walau apa kadarnya, rakyat mengharapkan agar penurunan kepada sifar atau penghapusan GST dapat mengawal dan menurunkan harga barang serta dpat mengurangkan bebanan kos sara hidup secara keseluruhan.



    * Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, UiTM


    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Harga Barang Masih Tak Turun Walau GST Sudah 0% ? Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top