728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday, 30 August 2017

    Sukan SEA Serlahkan Patriotisme Rakyat Malaysia





    Semangat cintakan negara dan nilai patriotisme seluruh rakyat jelas dilihat sepanjang penganjuran Sukan SEA ke-29 oleh Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri berkata semangat itu lebih terserlah apabila atlet-atlet negara mencatat kejayaan dan menyumbang pingat untuk Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

    “Apabila pingat emas diraih, bendera negara kita dijulang. Lagu Negaraku berkumandang. Malah, seluruh rakyat Malaysia berkobar-kobar memberi sokongan penuh kepada pasukan negara kita.

    “Bagi seluruh atlet, saya merasakan inilah terjemahan semangat cintakan negara,” katanya dalam klip video ucapan Hari Kebangsaan 2017, yang dimuat naik di laman Twitter hari ini.

    Ahmad Zahid juga berbangga apabila sokongan padu yang diberikan rakyat Malaysia kepada atlet-atlet negara tidak mengandungi sebarang prejudis terhadap mana-mana kaum.

    Katanya sikap itu jelas menunjukkan nilai perpaduan sejati bangsa Malaysia.

    “Kita harus kekalkan semangat ini demi negara. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan. Merdeka, merdeka, merdeka!” katanya.

    Klip video berdurasi 4 minit 51 saat itu dimulakan dengan petikan temu bual bersama Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman, yang menceritakan perjuangannya mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.

    Menurut Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu, setelah melihat usaha British menentang komunis terus gagal, beliau berpendapat satu-satunya cara untuk melawan komunis pada masa itu ialah dengan mendapatkan kemerdekaan.

    “Inilah satu negeri dalam dunia yang berperang dengan komunis dan telah dapat kemenangan.

    “Dengan adanya tuah seumpama itu (kemerdekaan), terpulang kepada rakyat jelata sekalian untuk menjaga dan memelihara negara kita ini supaya sampai akhir zaman dapatlah kita tumpang berteduh, keturunan kita tumpang berteduh dalam Malaysia negeri yang merdeka dan berdaulat,” kata Tunku Abdul Rahman.

    Klip video itu seterusnya memaparkan Malaysia yang semakin berjaya dalam arus kemodenan, serta wajah beberapa rakyat Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang.

    Mereka adalah ahli astrofizik Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman, angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, pakar bioteknologi Dr Mahaletchumy Arujana, penyanyi Yuna dan pelakon Datuk Michelle Yeoh.

    Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. – BERNAMA


    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Sukan SEA Serlahkan Patriotisme Rakyat Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top