Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam di negara ini, agar menjauhi sifat ketaksuban melampau kerana boleh merosakkan imej Islam dan mewujudkan islamophobia.
Menurutnya, ketaksuban melampau selain kepada ALLAH, Rasulullah dan ibu bapa, dikhuatiri boleh menukar serta mengalih akidah umat Islam itu sendiri.
"Perbuatan salah tafsir ayat Al-Quran dan sunnah, boleh merosakkan agama sendiri. Ini berlaku apabila soal ketaksuban membawa kepada istilah islamophobia.
"Apabila berlakunya prejudis terhadap orang Islam dan wujudnya islamophobia, kita tidak boleh menyalahkan orang lain. Ia wujud bila ada bukan Islam salah tafsir Islam kerana perbuatan segelintir orang Islam yang merosakkn imej Islam," katanya program penerapan nilai-nilai murni di Johor, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Ahmad Zahid berkata, umat Islam diajak untuk memperbetulkan diri dan keluarga masing-masing bersempena bulan ramadan pada tahun ini.
"Ia bermula dari diri kita sendiri. Soal ketaksuban dan islamophobia dapat dihindar daripada berlaku.
"Marilah mendokong apa yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri agar Malaysia menjadi negara Islam yang sederhana, wasatiyyah dan moderate," katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebagai sebuah negara yang majmuk, umat Islam diseru terus menghormati agama lain.
"Saya harap ia dapat dilakukan dengan semangat keharmonian," katanya.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci