Standard Chartered Bank Malaysia (Stanchart) hari ini mengumumkan pelaksanaan cuti bersalin 20 minggu bergaji penuh yang merupakan penambahbaikan kepada manfaat pekerja, sejajar sambutan Hari Pekerja.
Ia berkata, manfaat lebih baik itu dan pertama dalam industri perbankan, merupakan sebahagian daripada tumpuan bank untuk menyesuaikan diri dan menyokong perubahan dari segi keperluan tenaga kerja.
Dalam satu kenyataan hari ini, Stanchart berkata, bagi merealisasikan budaya mesra keluarga bank itu, pekerja lelaki akan menikmati cuti 2 minggu jika isteri bersalin, manakala ibu bapa angkat baharu juga berhak mendapat cuti 2 minggu bergaji penuh untuk pengambilan anak angkat yang kini dipanjangkan kepada semua pekerja di bank berkenaan, tanpa mengira tempoh perkhidmatan.
Bersandarkan kepercayaan fleksibiliti membabitkan usaha mengubah cara bekerja dan bukan bekerja lebih atau kurang, bank itu juga akan melaksanakan amalan kerja fleksibel.
Katanya, kakitangan ditawarkan pilihan untuk bekerja separuh masa, memilih waktu kerja anjal atau bekerja dari rumah pada hari terpilih, tertakluk kepada tugasan mereka selepas memperoleh kelulusan daripada pengurus.
Ketua Sumber Manusianya, Florence Foo berkata, dalam usaha menginsankan bank, Standard Chartered memperingati Hari Pekerja dengan mengutamakan kepentingan pekerjanya.
“Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik kebajikan kakitangan kami, selain mengekalkan dan melatih pekerja.
“Kajian dalaman dijalankan menunjukkan motivasi pekerja sudah meningkat dan pekerja menjadi lebih bermotivasi di tempat kerja, setelah mereka memperoleh sokongan lebih baik dalam integrasi kehidupan profesional dan peribadi mereka,” katanya.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci