728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday 11 April 2017

    Serangan Ke Atas Syria Satu Jenayah Perang?




    UNTUK sekian lamanya ­Syria telah menjadi satu zon ­peperangan. Pakar undang-undang melihat negara itu dan rakyatnya sebagai mangsa satu perang proksi antara dua kuasa besar yang masing-masing ada agenda tersendiri.

    Dalam masa sama, tidak boleh dinafikan ­Syria kekal sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat (independent and sovereign state) dan masih lagi menjadi ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Tidak hairanlah selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan 59 Tomahak peluru berpandu (cruise missiles) ke lapangan terbang (pangkalan tentera) di al-Shayrat, di wilayah Homs, Syria, pada Jumaat lalu, Kremlin segera mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan ketenteraan Presiden Donald Trump itu (tanpa mendapat mandat PBB dan Kongres Amerika sendiri) adalah satu serangan ke atas sebuah negara berdaulat, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa (aggression against sovereign state in violation of international law).

    Jurucakap Pentagon, Jeff Davies, menyatakan bahawa serangan itu adalah satu tindakan balas seimbang (proportional response) kepada tindakan Presiden Bashar al-Assad. Assad menggunakan senjata kimia terhadap rakyat Syria pada 4 April lalu.

    “Serangan ini adalah untuk menghalang rejim Assad dari ­terus menggunakan senjata kimia itu di masa depan”, kata jurucakap lagi. Dalam insiden tragis pada 4 April di wilayah Khan Sheikun itu, 93 orang awam terkorban.

    Davies mengesahkan bahawa sebelum serangan udara itu dilancarkan, pihak berkuasa Rusia telah pun dimaklumkan terlebih dahulu. Beliau juga mengesahkan bahawa 59 peluru berpandu itu dilancarkan dari dua kapal pemusnah USS Porter dan USS Ross dari Laut Mediterranean Timur.

    Dakwaan bahawa Syria ada menggunakan senjata kimia ini kemudian dijawab oleh jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, yang menegaskan tentera Syria tidak miliki apa-apa simpanan senjata kimia kerana kesemuanya telah dimusnahkan sebagaimana di­rekod dan disahkan oleh Organisasi Menghalang Senjata Kimia (Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons).

    Peskov menambah bahawa serangan terbaharu AS terhadap Syria ini adalah satu cubaan meng­alihkan pandangan masyarakat antarabangsa daripada ribuan kes kehilangan jiwa orang awam yang berlaku di Iraq disebabkan tindakan ketenteraannya selama ini. AS sebenarnya terlebih dahulu merancang serangan udara ke atas Syria ini, lama sebelum insiden tragis di Khan Sheikun itu berlaku.

    Menteri Luar Syaria, Walid Muallem, menegaskan bahawa pengganas al-Qaeda, Daesh dan kumpulan lain masih memiliki senjata kimia yang kini disimpan di beberapa tempat di kawasan bandar dan tapak perumahan.

    Mengutuk serangan udara AS itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Ghassemi, berkata: “Kami mengutuk semua tindakan ketenteraan secara unilateral dan serangan dari kapal pemusnah AS ke atas pangkalan udara al-Shayrat atas alasan kononnya Syria ada menggunakan senjata kimia di Khan Sheikhun”.

    Tindakan unilateral Trump tidak disenangi beberapa pihak di Kongres, yang mengatakan bahawa hanya Kongres yang ada kuasa tunggal untuk mengisytiharkan peperangan. Mereka mendesak agar Trump mendapatkan mandat Kongres terlebih dahulu sebelum melancarkan apa-apa tindakan ketenteraan terhadap sebuah negara asing.

    Mengikut Senator Rand Paul (dari Parti Republikan): “Perlembagaan negara ini jelas sekali menyatakan bahawa kuasa mengisytiharkan perang adalah di ta­ngan badan perundangan”.

    Paul menyatakan bahawa serangan ke atas Syria pada 7 April lalu itu adalah menyalahi perlembagaan AS. Serangan Tomahak terbaru ini sewajarnya men­gingatkan kita kepada satu insiden serangan lain yang berlaku pada 16 Mac lalu.

    Dalam serangan udara itu, yang dilancarkan ke atas sebuah masjid di luar bandar Aleppo sewaktu orang mengerjakan solat Maghrib, 42 nyawa terkorban dan puluhan orang lain cedera. Penduduk tempatan memberitahu wartawan Al-Jazeera bahawa pada ketika itu masjid dipenuhi jemaah, ­dianggarkan berjumlah 300 orang.

    Sasaran serangan udara tentera AS pada petang itu adalah satu tempat di seberang jalan masjid tersebut. Mengikut Rami Abdel Rahman, jurucakap sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di UK (Syrian Observatory for Human Rights) kebanyakan yang terkorban adalah orang awam, bukan ahli mana-mana kumpulan pengganas.

    Kembali kepada serangan terbaru pada Jumaat lalu, Kremlin menegaskan bahawa sera­ngan unilateral AS ini adalah ­menyalahi perjanjian antara Rusia dan Amerika yang dimeterai di bawah Memorandum of Incident Prevention and Security 2015 (bagi maksud mengawal operasi ketenteraan di ruang udara). Saluran televisyen rasmi Syria, al-Ikhbariyah, melaporkan bahawa dalam serangan terbaharu ini enam orang awam terkorban dan beberapa orang lain cedera.

    Jurucakap tentera Syria, Ali Mayhoub, dipetik sebagai berkata Washington telah menggunakan insiden serangan senjata kimia di Khan Sheikhon itu sebagai alasan untuk melakukan serangan terhadap Syria, tanpa mengetahui sebenarnya apa yang berlaku di situ.

    Sementara itu, masyarakat antarabangsa terus memerhati apa yang akan berlaku selepas ini di Syria, hendaknya kita tidak lupa bahawa pada satu masa lalu apabila Amerika mahu menjustifikasikan serangannya terhadap Iraq, Presiden Bush mendakwa Saddam Hussein ada menyimpan weapons of mass destruction (WMD) dan terlibat dalam sera­ngan 9/11.

    Dunia sudah pun tahu semua itu satu pembohongan, satu cerita yang sengaja direka untuk mengaburi mata dunia dan menipu seluruh rakyat Amerika.





    Datuk Salleh Buang ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW).

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Serangan Ke Atas Syria Satu Jenayah Perang? Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top