Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mempunyai prospek masa depan yang cukup kukuh hasil daripada hubungan amat erat dengan negara serantau dan terbuka selain dasar ekonomi mesra perniagaan yang diamalkannya.
Perdana Menteri berkata, ketika ini banyak pengiktirafan diterima dengan yang terbaharu BAV Consulting and the Wharton School, Universiti Pennsyilvania, Amerika Syarikat meletakkan Malaysia di tempat pertama sebagai negara terbaik untuk melabur menerusi kajian dilakukan tahun ini.
“Dalam tempoh masa yang mencabar ini, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 4.2 peratus pada 2016.
“Kami menjangkakan pertumbuhan pada peratusan yang sama tahun ini dengan jumlahnya diramal meningkat lebih tinggi pada 2018 dan tahun-tahun berikutnya,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.
Malah baru-baru ini, katanya, firma audit, Pricewaterhouse Coopers (PwC) melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berada di kedudukan ke-25 tertinggi di dunia menjelang 2030.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap komitmen untuk sentiasa menaik taraf keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar mempunyai kesiapsiagaan tahap tertinggi, dengan perbelanjaan bagi menaik taraf serta memodenkan kelengkapan pasukan itu dijangka terus ditingkatkan dalam tempoh mendatang.
“Di Malaysia kami memandang serius perkara ini dengan memperuntukkan sehingga RM26 billion dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk cabang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan.
“Pertahanan dan keselamatan adalah perkara terpenting kerana wujud keutamaan untuk mengekalkan integriti serta kedaulatan sesebuah negara.
“Disebabkan itu kita harus mempersiapkan para perwira ini dengan kelengkapan yang berkemampuan untuk berdepan peperangan moden secara simetri atau asimetri,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, negara berbangga dengan penganjuran LIMA yang selama ini membuka laluan efektif terhadap pertumbuhan pasaran maritim dan aeroangkasa sehingga menjadi antara yang terbesar di dunia.
“Dalam edisi ke-14 ini, LIMA telah berjaya mengumpulkan lebih 55 peratus daripada 100 syarikat maritim serta aeroangkasa terbaik dunia.
“Dengan lebih 300 delegasi pertahanan dan keselamatan berkumpul, 55 kapal perang dan bot, 106 pesawat, 467 wartawan dari serata dunia serta 40,000 pelawat perdagangan hadir ke sini, ia bukti betapa LIMA mempunyai keupayaan untuk menghadirkan perniagaan juga minat masyarakat umum,” katanya.
Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci