Anggota penyiasat pencabulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Korea Utara menggesa siasatan bebas diadakan bagi merungkai kes pembunuhan abang pemimpin negara tersebut, Kim Jong-nam.
Gesaan itu dibuat oleh anggota penyiasat PBB, Tomas Ojea Quintana pada mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva yang turut menyifatkan pembunuhan Jong-nam mempunyai kaitan dengan isu hak asasi manusia.
“Saya menggesa semua pihak terlibat bekerjasama dalam menjalankan siasatan yang telus, bebas dan tidak berat sebelah serta mematuhi garis panduan mengenai perlindungan saksi.
“Sekiranya siasatan mengesahkan penglibatan ejen Korea Utara, Jong-nam dilihat menjadi mangsa pembunuhan yang melanggar undang-undang dan langkah-langkah perlu diambil untuk melindungi mangsa lain daripada pembunuhan terancang ini,” jelas Quintana.
Sehingga semalam, tiada waris tampil menuntut mayat Jong-nam, mencetuskan spekulasi bahawa isteri dan anak-anak mangsa kini hidup dalam ketakutan kerana bimbang menerima nasib yang sama.
Menurut portal berita New York Times, pegawai Korea Utara dilaporkan enggan bertemu dengan Quintana dan turut memulaukan pembentangan usul itu di mesyuarat berkenaan kerana menyifatkan siasatan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan PBB adalah tidak berasas.
Pada sidang akhbar di ibu pejabat PBB di New York, Duta Korea Utara, Kim In-ryong memberi maklum balas terhadap dakwaan Quintana dengan terus menafikan penglibatan negaranya dalam pembunuhan itu.
In-ryong turut menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mendalangi pembunuhan tersebut dan mendakwa agen saraf VX yang digunakan dalam kes itu dibekalkan dari dua negara berkenaan.
“AS telah mengumpul banyak stok senjata kimia di Korea Selatan. Terdapat banyak kemungkinan bahawa bahan kimia tersebut mungkin datang dari Korea Selatan, kerana agen saraf VX hanya boleh dibuat di beberapa negara, termasuk AS.
“Pembunuhan tersebut juga adalah hasil tindakan melulu pihak berkuasa AS dan Korea Selatan bertujuan memenuhi tujuan politik yang berbahaya untuk memburukkan dan menjatuhkan sistem sosial Korea Utara,” katanya.
Dalam pada itu In-ryong turut menggesa penganjuran forum pakar undang-undang antarabangsa bagi membincangkan undang-undang yang digunakan Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan sekatan ke atas negaranya.
Korea Utara kini dikenakan enam sekatan resolusi termasuk dua pusingan sekatan daripada tahun lepas yang masih dikekalkan oleh PBB sebagai tindak balas terhadap ujian senjata nuklear di Pyongyang.
Pyongyang menegaskan bahawa program senjata nuklearnya hanya sebagai tindak balas kepada dasar permusuhan dari Washington dan disasarkan untuk menghentikan latihan ketenteraan bersama yang dilakukan oleh AS dan Korea Selatan.
“Selagi AS dan sekutunya berterusan mengugut dan tidak menghentikan latihan perang itu, selagi itulah kami juga akan terus meningkatkan keupayaan pertahanan menggunakan kuasa nuklear,” katanya.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci