Satu kegiatan penjualan air ketum yang menawarkan perkhidmatan pandu lalu kepada pembelinya berjaya dibongkar Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dalam serbuan di Alor Redis dan Bintong di sini semalam.
Modus operandi itu membolehkan penagih membeli air ketum daripada atas motosikal yang dihulur melalui tingkap rumah dengan waktu kemuncak jual beli bermula pukul 5 petang sehingga tengah malam setiap hari.
Harga segelas atau sebungkus air ketum pula dijual antara RM2 hingga RM3 dengan pembelinya bukan sahaja datang dari kawasan ini tetapi Arau dan Kuala Perlis.
Dalam Op Sarang dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) pada pukul 6 petang itu, seramai tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 48 tahun ditahan.
Menurut Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif methamphetamine.
Katanya, operasi itu diketuai oleh Penolong Pegawai AADK negeri, Mohd. Hafiz Suhaili dengan dibantu 21 anggota AADK dan Aksem negeri bertujuan membersihkan sarang penagihan ketum di kawasan terbabit.
“Kawasan yang dipilih adalah berdasarkan risikan. Kita juga dapati penagih ketum ini turut menagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azizah sehubungan itu menasihatkan masyarakat membantu menyalurkan maklumat kepada agensi penguat kuasa untuk membanteras kegiatan itu.
“Ini kerana selepas AADK menjalankan operasi, sarang-sarang penagihan ketum ini kembali aktif,” katanya.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci