Saturday, 21 October 2023

Ummu Nidal – Ibu Syuhada’ Palestin





Maryam Yusuf Muhsein atau lebih dikenali sebagai Ummu Nidhal dilahirkan di Gaza pada 24 Dis 1949. Beliau adalah seorang pendakwah, pendidik, pejuang dan tokoh pimpinan wanita Palestin bersama Hamas.

Beliau juga dikenali sebagai Khansa’ Palestin, seorang ibu hebat yang telah menyerahkan 4 anak lelakinya untuk menentang penjajah zionis. Tiga daripada anaknya telah syahid, manakala seorang lagi ditahan dalam tempoh yang panjang di penjara Israel.

Keberanian Ummu Nidhal sangat luar biasa. Beliau mengambil risiko yang tinggi untuk melindungi Komander al Qassam yang paling ditakuti Israel, Emad Akel yang dipanggil sebagai “Tujuh Roh” di rumahnya sehingga rumahnya beberapa kali dikepung Israel sehinggalah dibunuh di rumahnya pada 12 Nov 1993 selepas telah bertindak pertempuran dengan Israel.

Pada 2002 beliau telah menghantar anaknya, Muhammad Fathi Farhat, 17 tahun untuk menjalankan operasi serangan istisyhad sehingga berjaya membunuh 9 orang tentera penjajah dan 25 yang lain cedera. Sebelum berpisah, beliau mengucup anaknya dan mengucapkan selamat tinggal sebelum anaknya pergi ke medan dan syahid dalam pertempuran.

Setahun kemudian, 2003, anak sulungnya Komander al Qassam, Nidal Farhat, 31 tahun yang merupakan seorang jurutera peluru berpandu yang telah dibunuh oleh penjajah Israel ketika cuba melengkapkan dron al Qassam (Ababil1), Ummu Nidhal terus bersyukur atas kesyahidan anaknya.

Pada 2005, anak lelakinya yang ke-2, Ruwad Farhat syahid selepas pesawat perang zionis mengebom keretanya di Gaza.

Manakala anak lelaki ke-4, banyak menghabiskan masanya berbelas tahun di penjara Israel.

Rumah Ummu Nidhal sendiri telah 4 kali dibom Israel dan beliau sentiasa menolak tawaran kerajaan Ismail Haneyya untuk membina rumahnya semula.

Ummu Nidhal adalah seorang pendakwah dan guru yang gigih mendidik masyarakat. Beliau juga merupakan seorang tokoh politik wanita Palestin dan pernah diberikan posisi dalam Majlis Perundangan Palestin.

Beliau meninggal dunia pada 17 Mac 2013 ketika berumur 64 tahun, dan jenazahnya telah disembahyangkan oleh Ismail Haneyya, PM Palestin dan para mujahiddin al Qassam serta ribuan rakyat Palestin.

Sebuah sekolah telah dinamakan oleh Kementerian Pendidikan dengan nama Sekolah Maryam Farhat bagi mengingati sumbangannya yang besar dalam perjuangan menentang penjajahan zionis Israel terhadap Palestin.

Semoga semua para ibu bapa dan wanita di luar sana turut mengambil iktibar dan akan bersama berganding bahu untuk membina generasi pejuang yang akan memertabatkan kedudukan Islam dan umatnya di persada tertinggi.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci