Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan kekal bersama Muafakat Nasional selagi ia berfungsi untuk menyatukan umat Islam, selepas kenyataan beliau hari ini yang mengecam pihak yang tersasar daripada perjanjian piagam yang ditandatangani bersama Umno pada 2019.
Katanya, PAS komited dengan piagam yang dimeterai tersebut, tetapi Umno dilihat mengingkari ikrar untuk membawa Bersatu sebagai parti ketiga dalam kerjasama tersebut.
Katanya, beliau dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah menandatangani surat yang mengundang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk bergabung dengan mereka.
“Kita dah bersetuju, sudah tandatangani. Saya dah tandatangan, Zahid Hamidi dah tandatangan, menjemput Muhyiddin dalam Muafakat Nasional. Itu yang perlu dilaksanakan.
“Saya boleh tunjukkan surat itu kepada anda,” katanya kepada pemberita selepas kuliah mingguannya di Rusila, Terengganu hari ini.
Awal hari ini, Hadi menulis sebuah kenyataan panjang mendesak semua organisasi Islam untuk bersatu di bawah Perikatan Nasional.
Beliau turut berkata partinya tidak akan bersama dengan pihak yang menyeleweng dari tujuan asal Muafakat Nasional.
Kenyataan Hadi itu adalah respons terhadap gesaan berulang kali dari Zahid yang mengingatkan PAS bahawa kedua-dua parti itu terikat dengan piagam MN, sebuah persetujuan politik yang dimeterai bersama PAS dan Umno.
Semalam, Zahid berkata PAS harus berfikir sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.
Zahid turut meminta rakan politik Umno untuk belajar daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah bersama DAP, dan Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurutnya, kesemua permuafakatan politik itu gagal kerana gabungan politik itu dibentuk secara tidak jujur dan “genuine’.
Hadi berkata PAS sudah memikirkan situasi politik terkini dengan sebaik-baiknya mengenai komitmen parti itu dalam gabungan PN.
“Kami sudah banyak pengalaman. Semua pihak kami dah kerjasama. Kamu baca sejarah sejak 50-an dan 60-an,” katanya
Beliau berkata sepanjang kerjasama yang dilakukan PAS, parti itu terus hidup sementara mereka yang bersama PAS sudah pun berkecai.
“Saya tak mahu sebut namalah.”
“Baca sejarah. Waktu 50-an PAS sudah kerjasama dengan Parti Negara, sekarang di mana Parti Negara? PAS ada lagi.
“Kemudian kami kerjasama dengan sosialis, mana dia sekarang, PAS masih ada lagi. Kerjasama dengan Semangat 46, PAS masih ada, mana (parti) itu sekarang?” jelasnya.
Ketika ini, tambahnya, Umno negeri juga masih berbeza hala tuju mengenai pendirian presiden parti itu mengenai kerajaan PN.
“Menteri Umno pun belum letak jawatan. Apa yang penting sekarang kita nak lawan Covid-19,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci