728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 9 April 2020

    COVID-19: Sub-kluster baharu dikesan di Rembau

    PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sub-kluster baharu di Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya di beberapa lokaliti dalam daerah berkenaan iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

    Beliau berkata setakat 12 tengah hari ini, terdapat 27 orang dikenal pasti positif COVID-19, termasuk dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    "Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

    "Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ia dihadiri kes indeks (kes ke-448) yang merupakan seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.


    Menurutnya, beberapa guru dan kakitangan sekolah itu yang positif COVID-19 telah menjangkiti ahli keluarga mereka serta penduduk kampung sehingga menyebabkan tiga generasi jangkitan.

    "Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan jumlah kes jangkitan terbaharu daripada kluster Itali adalah seorang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 41 kes.

    Beliau berkata kes jangkitan persidangan gereja di Kuching pula mencatatkan peningkatan sebanyak 24 kes; kluster tabligh sebanyak 25 kes; manakala kluster kenduri di Bandar Baru Bangi mencatatkan pertambahan dua kes, hari ini.

    Mengulas mengenai 69 kes sporadik yang dikesan, beliau berkata terdapat kemungkinan kes itu mendapat jangkitan daripada komuniti.

    "Kemungkinan kes-kes tersebut dijangkiti virus itu daripada komuniti. Terdapat pelbagai kluster di sini, jadi mungkin 69 kes itu mendapat jangkitan daripada komuniti," katanya. - Bernama

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: COVID-19: Sub-kluster baharu dikesan di Rembau Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top