KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil kira beban pengguna yang dijangka menanggung bil elektrik lebih tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan Kontraktor Tenaga Malaysia (PKTM), Datuk Seri Erwan Tahir, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan kerajaan kerana akan berlaku peningkatan penggunaan elektrik sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.
Erwan berkata, menerusi pakej itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi pelaksanaan diskaun bil elektrik secara berperingkat selama enam bulan bermula bulan ini.
“Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri itu sangat tepat pada masa sekarang dengan keadaan ekonomi kurang memberangsangkan berikutan COVID-19 antaranya diskaun bil elektrik secara berperingkat antara 15 hingga 50 peratus.
“Oleh itu, pengguna tidak perlu risau dengan peningkatan bil elektrik mendadak sepanjang tempoh PKP kerana semua pengguna akan menerima manfaat seperti diumumkan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Erwan berkata, seramai 3.3 juta pengguna di seluruh negara akan menerima manfaat menerusi inisiatif terbabit.
“Saya percaya kita akan berjaya menempuh keadaan sukar ini dalam sedikit masa lagi,” katanya.
-Berita Harian
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci