728x90 AdSpace

  • Latest News

    Friday, 20 March 2020

    Serangan Bom Cederakan Berpuluh Orang Di Pejabat Kerajaan Selatan Thailand

    17 March 2020-Sekurang-kurangnya dua puluh lima orang cedera pada Selasa apabila suspek pemberontak disyaki menyerang sebuah pejabat kerajaan di wilayah Yala di Selatan Thailand, kata para pegawai.

    Catatan di laman Facebook yang dipercayai penyokong BRN, kumpulan bersenjata terbesar di wilayah itu, kelihatan seperti memberi amaran mengenai serangan itu yang berlaku pada Sabtu, dan gambar serangan itu kemudian dimuat naik dengan tertera perkataan "seperti yang dijanjikan. "

    Serangan itu berlaku ketika para pegawai sedang bermesyuarat di pejabat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) di bandar Yala untuk membincangkan keputusan Malaysia menutup sempadannya bagi mengekang penularan coronavirus, kata seorang pegawat tempatan.

    Para penyerang menarik perhatian orang ramai untuk ke lokasi kejadian itu dengan melemparkan satu peranti tangan ke halaman bangunan tersebut, sebelum meletupkan sebuah bom kereta dari jarak jauh di hadapan kawasan itu, kata Kolonel Narawi Binwae-arong, ketua stesen daerah Maung di Yala.

    "Semasa pegawai sedang bermesyuarat mengenai COVID-19, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal melemparkan bom menerusi pagar. Kemudian bom kereta diletupkan," kata Narawi kepada pemberita. "Sekurang-kurangnya 25 orang cedera termasuk timbalan pengarah SBPAC."

    "Kamera pengawasan menunjukkan sebuah trak pikap yang membawa muatan kayu diletakkan di lokasi kejadian sebelum letupan itu berlaku," katanya. Pemandu trak itu meninggalkan tempat kejadian bersama-sama seorang lelaki dengan menunggang motosikal, kata pegawai.

    Rakaman kamera itu juga menunjukkan jalan raya di hadapan pejabat SBPAC dipenuhi dengan kepulan asap manakala polis yang cedera cuba menyelamatkan diri. Orang awam, polis, kakitangan kerajaan dan wartawan tempatan adalah antara yang cedera.

    "Ia sangat menakutkan, bunyinya sangat kuat. Saya tidak boleh bayangkan satu letupan besar seperti itu berlaku. Tidak ada tempat yang selamat, walaupun di pejabat SBPAC," kata seorang saksi yang enggan menyatakan namanya kepada BeritaBenar.

    'Bersedia'

    Serangan itu berlaku semasa operasi ketenteraan dijalankan berhari-hari di sempadan wilayah Yala dan Patani, di mana pasukan keselamatan sedang memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertanggungjawab membunuh seramai 15 orang dalam serangan di sebuah kampung di Yala pada 5 Nov, 2019.

    Empat anggota pasukan keselamatan telah cedera sejak pertempuran senjata berlaku pada 12 Mac.

    Pada Sabtu, satu akaun Facebook yang menyiarkan catatan tentang konflik Selatan Thailand berserta video dan kenyataan yang kononnya dihasilkan oleh Barisan Revolusi Nasional, atau BRN, kelihatan merujuk kepada operasi ketenteraan itu dan memberi amaran mengenai serangan pemberontak yang akan dilakukan.

    "Terima kasih kerana menghantar mesej kepada kami selepas mengadakan operasi itu. Tentera BRN akan menunjukkan rasa penghargaan kami ... Angkatan Tentera Thailand harus bersedia untuk berdepan dengan apa yang akan berlaku. "

    Selepas serangan itu, pada Selasa halaman tersebut memuat naik gambar lokasi kejadian pengeboman itu dengan tanda pagar “#seperti yang dijanjikan" dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

    Sumber ketenteraan dan perisikan yang dihubungi oleh BeritaBenar tidak dapat mengesahkan kesahihan laman Facebook itu.

    Seorang individu yang mempunyai kenalan di dalam BRN yang tidak dibenarkan bercakap secara terbuka mengenai perkara itu berkata laman Facebook itu bukanlah platform rasmi kumpulan tersebut tetapi ia dikendalikan oleh beberapa penyokongnya.

    'Kami akan hukum mereka'

    Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap pemerintah tentera di wilayah sempadan selatan Thailand, ISOC-4, mengutuk serangan itu.

    "Penyerang mahu membunuh orang ramai dengan menarik perhatian mereka untuk keluar dari bilik mesyuarat sebelum diserang dengan bom tangan, kemudian meletupkan bom kereta, dengan ini memburukkan lagi kesukaran ekonomi di tengah-tengah ancaman COVID-19," kata Pramote kepada BeritaBenar. "Kami akan menghukum mereka."

    Ketua Polis Negara Jeneral Chakthip Chaichinda berkata penyerang itu adalah pemberontak Selatan Thailand dan pihak tentera telah meningkatkan kesiapsagaan keselamatan di sekitar bangunan kerajaan.

    Selatan Thailand terletak bersempadan dengan Malaysia dan merangkumi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala yang mempunyai penduduk Islam dan berbahasa Melayu, serta empat daerah di Songkhla.

    Lebih 7,000 orang telah terkorban di wilayah itu sejak pemberontak mengisytiharkan penentangan mereka terhadap majoriti penduduk Buddha Thailand sejak 16 tahun lalu.

    BRN kini terlibat dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand, yang diusahakan oleh Malaysia. Beberapa rundingan telah diadakan di Kuala Lumpur pada awal Mac, tetapi keganasan terus berlaku hampir setiap hari di wilayah sempadan selatan.

    Sejak awal tahun ini, seramai 28 orang awam dan anggota keselamatan Thai telah terbunuh dan 32 yang lain cedera dalam keganasan yang berlaku di Selatan Thailand, menurut angka rasmi yang dihimpun oleh BeritaBenar. Sekurang-kurangnya sembilan suspek pemberontak terbunuh.

    https://www.benarnews.org/malay/berita/my-th-bom-200317-03172020202312.html

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Serangan Bom Cederakan Berpuluh Orang Di Pejabat Kerajaan Selatan Thailand Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top