728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday 12 March 2020

    Perbicaraan 1MDB Najib dilapangkan susulan kebimbangan penularan COVID-19

    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini melapangkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini selepas peguam utama beliau Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pasukan pembelaan dikatakan adalah kontak rapat seorang individu yang disyaki dijangkiti COVID-19.

    Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan hari ini dilapangkan selepas seorang wakil dari Tetuan Shafee & Co iaitu Nur Farhah Mustaffa memaklumkan mahkamah bahawa seluruh pasukan pembelaan 1MDB kini melakukan kuarantin sendiri selepas menghadiri majlis kenduri keluarga yang dihoskan Muhammad Shafee di rumahnya pada 7 Mac.

    “Pada kira-kira 12 tengah hari, isteri Tan Sri telah menerima panggilan daripada iparnya yang bekerja dengan seorang individu yang baru sahaja diuji positif bagi COVID-19 di ibu pejabat Sirim Berhad di Shah Alam.

    “Iparnya dan rakan sekerja yang dijangkiti itu duduk bersebelahan di pejabat. Beliau (ipar) telah diarah untuk menjalani ujian bagi COVID-19 pada pagi ini,” kata Nur Farhah sambil menambah bahawa majlis itu telah dihadiri ipar Muhammad Shafee serta pasukan pembelaan 1MDB.

    Semalam, Sirim telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mengesahkan bahawa seorang kakitangannya telah diuji positif bagi COVID-19.

    Ketika Nur Farhah bercakap, ruang yang dikhaskan untuk pasukan pembelaan Najib kosong dan Muhammad Shafee sendiri tidak kelihatan di mahkamah.

    Najib dilihat sekadar memerhatikan prosiding itu dari kandang tertuduh.

    Sequerah berkata beliau memerlukan dua pucuk surat rasmi daripada pasukan pembelaan, satu yang mengesahkan bahawa ipar Muhammad Shafee telah menjalani ujian bagi COVID-19 manakala satu lagi yang mengarahkan pasukan pembelaan 1MDB diketuai Muhammad Shafee menjalani kuarantin sendiri.
    “Tanpa kedua-dua surat ini, saya tidak nampak sebab perbicaraan tidak boleh diteruskan esok," kata beliau.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang kini mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bagaimanapun tidak membantah penangguhan itu.

    Sri Ram berkata beliau juga telah diminta untuk menjalani ujian itu kerana merupakan kontak rapat dengan dua pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19.




    “Saya dijadualkan menjalani ujian kedua esok. Saya memahami kebimbangan pengamal perubatan susulan penularan virus itu yang begitu pantas,” katanya.

    Sebagai respons, Sequerah bergurau dengan menyatakan bahawa penularan virus itu mungkin lebih pantas daripada perjalanan prosiding perbicaraan 1MDB.

    Apabila perbicaraan bersambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pendakwaan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

    Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

    Perbicaraan bersambung esok. - Bernama


    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Perbicaraan 1MDB Najib dilapangkan susulan kebimbangan penularan COVID-19 Rating: 5 Reviewed By: Kaki Palu
    Scroll to Top