728x90 AdSpace

  • Latest News

    Friday, 13 July 2018

    UEC: Antara Tidak Tahu Dan Buat Tidak Tahu




    Oleh ARIF ATAN 

    "Saya mengajar homeschool IGCSE. salah seorang pelajar saya bekas aliran UEC. ibu bapa mereka menukar sekolah kerana anak mereka tidak mahir berbahasa English dan Melayu. Sampai sekarang sudah 7 bulan, anak murid saya tidak mahu bercakap dengan saya menggunakan bahasa Melayu. Bersungguh saya mengajar dia bahasa Melayu. Dan dia tidak ada minat langsung dengan bahasa Melayu. Bukankah dengan bahasa, kita akan jadi lebih rapat bukan? dia langsung tidak mahu berkomunikasi dengan saya dan pelajar yang bukan berbahasa mandarin."

    Itu antara reaksi mereka yang bergelumang dan berdepan sendiri dengan hakikat sikap murid asuhan UEC. Mungkin Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak tahu. Mungkin pula Timbalannya, Teo Nie Ching buat-buat tidak tahu. Mungkinlah. Kita pun tidak tahu.

    Mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) sebenarnya satu langkah ke belakang kerana UEC datang dari sistem pendidikan berasaskan perkauman bukan berteraskan kebangsaan bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.

    UEC lahir dari sekolah vernakular Cina warisan zaman penjajah yang tidak diiktiraf pendidikan kebangsaan. Mengiktiraf UEC bersifat kontradik dengan semangat Malaysia Baru dan ketika satu dunia bercakap tentang Revolusi Industri 4.0.

    Mengiktiraf UEC sekaligus memberi isyarat bahawa kerajaan PH akan memberi muka kepada lebih banyak lagi tuntutan perkauman yang hanya meningkatkan lagi darjah prejudis antara rakyat berbilang kaum bahkan mencabar semangat Perlembagaan.

    Syarat mesti lulus mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menghalalkan UEC untuk diiktiraf hanya solekan semata-mata sebabnya kurikulum dan format soalan penguasaan Bahasa Melayu bagi UEC jauh lebih rendah arasnya berbanding Bahasa Melayu SPM.

    Bandingkan saja format Bahasa Melayu UPSR bagi kertas Penulisan dan Pemahaman antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Kalau mata pelajaran Bahasa Melayu bagi SMPC, apa tah lagi.

    Dari segi roh dan praktikalnya, lepasan UEC berkiblatkan semangat Cina melangkaui jati diri sebagai anak Malaysia. Bayangkan bagaimana pemegang sijil UEC mahu hidup di universiti awam (UA) atau bekerja dalam perkhidmatan awam, atau UA dan sektor kerajaan akan datang perlu diubah ikut nilai pemikiran mereka yang tidak fasih berbahasa kebangsaan dan berkiblatkan Taiwan?

    Sudah puluhan tahun Dong Zong menuntut supaya kerajaan memberi ruang lebih luas kepada pendidikan kaum Cina dengan mengenakan tekanan demi tekanan perkauman melalui pelbagai tuntutan menjelang setiap kali pilihan raya.

    Sejarah asal usul lahirnya UEC mesti diketahui apa lagi di pihak kerajaan PH kerana setiap polisi yang hendak dibuat bukan sekadar untuk memancing undi kaum setiap kali pilihan raya tetapi paling penting kestabilan negara dan pengukuhan negara bangsa untuk jangka panjang.

    Jadi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini jangan malas mengkaji sebelum membuat keputusan. Kerajaan PH perlu meneliti susur galur perjuangan pendidikan Cina termasuk bagaimana wujudnya sijil UEC ini yang  merupakan hasil 'perjuangan' menolak sistem pendidikan kebangsaan.

    Itu realiti, kerajaan dan penyokong PH tidak harus nafi. Laungan Malaysia Baru juga tidak ada makna jika kerajaan PH tunduk pada tuntutan perkauman ketika banyak lagi manifesto Harapan belum nampak tunas pun lagi.

    Sebaliknya, jika PH cepat-cepat mengiktiraf UEC sekalipun terang-terang boleh menjejaskan usaha memupuk perpaduan melalui pendidikan kebangsaan, hanya akan membenarkan dakwaan sebelum ini bahawa PH atau pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH adalah alat atau tunggangan DAP.

    Adakah itu yang PH mahu ketika kerajaan pasca PRU-14 terbina pun atas sokongan undi Melayu yang relatif jauh lebih rendah berbanding bukan Melayu?

    Bahkan, kalau PH terpaksa mengiktiraf UEC dengan sebab terhutang budi dengan pengundi Cina pada PRU-14, jelas itu juga anggapan yang terlalu naif politik. PH buat pertama kali berjaya tumbangkan BN di peringkat Persekutuan kerana turut mendapat sokongan pengundi Melayu bukan hanya Cina semata-mata.

    Kalau PH tidak mengiktiraf UEC pun dengan hujah tegas mengutamakan kepentingan kebangsaan dan menumpukan usaha menggilap perpaduan nasional melalui pemerkasaan sebenar sekolah kebangsaan, mustahil PH akan hilang majoriti sokongan bukan Melayu terutama pengundi Cina.

    Tapi kalau PRU-15 nanti, pengundi Cina boleh pula majoritinya menolak PH atas alasan kerajaan tidak mengiktiraf UEC seperti termaktub dalam buku Harapan, itu isyarat jelas untuk kita semua sebagai RAKYAT yang mencintai tanah air ini satu-satunya, BANGKIT tidak memberi muka langsung kepada bermacam-macam desakan perkauman sejak zaman merdeka lagi yang sebenarnya mengancam penerapan nilai-nilai kebangsaan yang telah lama disepakati untuk masyarakat berbilang kaum hidup rukun damai.

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: UEC: Antara Tidak Tahu Dan Buat Tidak Tahu Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top