728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, 10 July 2018

    Jangan Iktiraf UEC - Pemuda UMNO



    KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO tidak bersetuju sebarang pengiktirafan ke atas Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) dan mendesak kerajaan mempertahankan sistem pendidikan sedia ada.

    Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pengiktirafan UEC hanya akan menyebabkan Malaysia gagal mewujudkan nilai kenegaraan bagi membina identiti bangsa yang bersepadu.

    "Kita harus melihat kepada kepentingan negara dan sebab itu saya tertarik ulasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya mengutamakan Malaysia dahulu, baru bangsa dan atas semangat itu kita harus pertahankan sistem bersifat nasional dan bukan bersifat perkauman.

    "Jika kita membenarkan ruang berasaskan kaum atau bangsa, kita tidak dapat mewujudkan nilai kenegaraan sebagaimana yang kita hasratkan, atas semangat itu, Pemuda UMNO tidak bersetuju mengiktiraf sijil UEC," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini. Yang turut hadir, naibnya, Shahril Sufian Hamdan dan EXCO pergerakan itu.

    Mengulas mengenai desakan bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin supaya kerajaan menutup sekolah tahfiz, Asyraf menyifatkan pandangan itu sebagai dangkal.

    "Apa sahaja seruan untuk menutup sekolah tahfiz, mereka harus jelas dengan kuasa Majlis Raja-Raja dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

    "Apa juga keputusan, harus rujuk Majlis Raja-Raja. Saya rasa hujah untuk menutup sekolah tahfiz tidak kuat, bahkan amat dangkal," katanya.

    Asyraf berkata, kerajaan sebaliknya harus memperkasakan lagi sekolah tahfiz kerana kewujudannya bukan bersifat politik.

    "Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu sudah merangka 'blueprint' yang jelas untuk pelajar tahfiz kerana kita bukan sahaja mahu melahirkan generasi tahfiz yang hanya tahu menghafal al-Quran sebaliknya generasi mempunyai pelbagai kemahiran lain.

    "Kita mahu pelajar tahfiz ini tidak ketinggalan dalam sistem pendidikan negara," katanya.



    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: Jangan Iktiraf UEC - Pemuda UMNO Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top