Sewaktu kemuncak pergerakan anti-Malayan Union pada tahun 1946, sebanyak 41 pertubuhan Melayu berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di Kuala Lumpur untuk membincangkan masa hadapan mereka bersama.
Mesyuarat itu membawa kepada pembentukan Umno.
Kini, 72 tahun kemudian, satu lagi pertemuan akan diadakan di kelab bersejarah itu untuk Umno membincangkan masa depannya selepas mengalami kekalahan pilihan raya pertama ketika PRU14, pada 9 Mei lalu.
Majlis pada malam 11 Jun ini akan menampilkan calon veteran Umno - dan calon potensi presiden - Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pembicara utama.
Bual bicara yang bertajuk 'Dilema Melayu Pasca PRU14' bertujuan untuk menjadi platform buat Razaleigh memulihkan semangat Umno.
'Anak raja jaya perjuangan Umno'
"Kini Umno di uji dengan pelbagai ujian selepas kekalahan Umno dan BN pada PRU14 yang lalu. Selepas meniti hari-hari menuju 100 hari pengisian kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) ahli Umno akar umbi seakan resah dengan halatuju kerajaan baru ini terutama dari segi hak dan keistimewaan-keistimewaan Melayu.
"Umno di pulih untuk tuntut merdeka lepas Dato Onn letak jawatan maka di sambut oleh Tengku Abdul Rahman.
"Kini juga selepas kehilangan presiden apakah sekali lagi anak raja atau Ku Li boleh membantu menjayakan perjuangan Umno," jelas penganjur majlis, Syahrin Md Jamaluddin memberitahu Malaysiakini.
Ceramah itu anjuran Persatuan Belia Generasi Merdeka dan penasihatnya Bastien Onn yang bertanding untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno - bakal berucap sebelum Razaleigh.
Umno dijadualkan mengadakan pemilihan parti pada 30 Jun 2018 akan datang. Walaupun Razaleigh belum membuat sebarang pengumuman, namun terdapat permintaan supaya beliau bertanding jawatan presiden.
Pada masa ini, satu-satunya pesaing untuk jawatan nombor satu parti itu ialah pemangku presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan blogger Rahmat Azim Abdul Aziz.
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci