Mohamed Khaled Bin Nordin |
PENGUMUMAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO di pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang semalam dijangka memberi sinar baharu kepada parti itu.
Kenyataan itu sebenarnya amat dinanti-nantikan UMNO Johor. Bagi penulis, Mohamed Khaled adalah figura penting, berkredibeliti dan berwibawa dari negeri ini untuk diketengahkan sebagai calon Naib Presiden sekali gus melakukan transformasi.
Beliau merupakan tokoh UMNO Johor yang paling ideal dan karismatik untuk membawa serta menyuntik perubahan dengan formula baharu lebih segar dan berkesan.
Ketokohan beliau tidak boleh dinafikan sama ada oleh lawan atau kawan.
Keputusan bekas Menteri Besar itu wajar disokong UMNO Johor setelah melihat parti berkenaan terbungkam dan longlai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Antara sebab utama beliau mencalonkan diri untuk menyandang jawatan tersebut kerana mahukan perubahan dimulakan dalam kemudi parti. Justeru, satu pasukan baharu yang lebih berani mendepani cabaran pasca PRU-14 perlu dibentuk dan diformulasikan.
Mungkin akan ada suara-suara sinis mengaitkan kekalahan beliau yang teruk semasa bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada PRU-14 dengan kemampuan beliau. kekalahan itu tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan beliau.
Ini kerana Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu sudah melakukan yang terbaik bukan sahaja sebagai wakil rakyat Permas tetapi juga sebagai Menteri Besar.
Beliau kecundang bukan disebabkan kelemahan atau kegagalannya tetapi isu nasional hingga dirinya menjadi korban.
Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar sejak 2013 harus dijadikan rujukan walaupun mungkin ada yang akan berkata, memimpin sebuah negeri yang maju tidak sama memimpin sebuah parti yang seakan sudah berada di hujung nyawa.
Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar ke-15 bagi penggal lalu berjaya memacu negeri ini ke tahap cemerlang dan sukses.
Malah sebelum PRU-14 beliau merangka perancangan yang menakjubkan untuk negeri ini melalui Dekad Baharu Johor.
Segala pembaharuan dan dasar-dasar progresif diperkenalkannya untuk Johor dengan sasaran jelas untuk dicapai.
Pengalaman beliau selaku pemimpin tertinggi negeri melayakkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
Kriteria lain yang ada pada Mohamed Khaled melayakkannya duduk di kerusi Naib Presiden UMNO adalah kelantangan dan keberaniannya. Beliau adalah pemimpin UMNO yang berani menegur kepimpinan tertinggi.
Semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Ogos 2015, beliau tanpa berselindung menyatakan kemelut yang melanda kepemimpinan dan negara pada masa tersebut walaupun di hadapan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau tidak gentar menyampaikan secara berterus-terang mengenai isu-isu besar antaranya 1Malaysia Develoupment Berhad (1MDB), Felda, cukai barang dan perkhidmatan (GST), kejatuhan ringgit dan kos sara hidup tinggi yang menggugat hidup rakyat.
Begitu juga rombakan Kabinet yang kebetulan melibatkan tokoh utama politik dari Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disingkirkan tanpa sebab kukuh turut disentuhnya.
Beliau meminta segala kegelisahan yang berpunca daripada isu-isu itu dirunkaikan.
Ini ciri-ciri kepimpinan yang harus ada terutama untuk menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.
Parti itu tidak memerlukan pemimpin yang kaki bodek dan kuat ‘menjilat’ lebih-lebih lagi dalam proses untuk memulihkan UMNO serta membantu semula ‘kelahirannya’.
Dalam usaha menyembuhkan UMNO untuk kembali pulih, sekiranya Mohamed Khaled dipilih sebagai Naib Presiden UMNO, beliau memerlukan regu yang serasi, mantap dan mampu memberikan sumbangan cemerlang serta membawa perubahan meskipun akan mengambil masa lama.
Apabila Mohamed Khaled menyatakan kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, langkah berkenaan tepat sekali kerana berkait rapat dengan sejarah penubuhan UMNO di tangga Istana Besar Johor pada 1946.
Johor ini yang menjadi kubu UMNO musnah dalam PRU-14 namun kini dalam proses untuk dibina semula.
Penyertaan Mohamed Khaleddiharap akan menjadi pencetus kebangkitan UMNO dengan pengisian roh dan semangat asalnya untuk bangsa, agama dan negara.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci