PELUANG NAJIB MEMBERSIHKAN DIRI
oleh Ab Jalil Backer
Kejutan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas buat kali pertama di peringkat Persekutuan dan hanya mampu mengekalkan tiga kerajaan negeri iaitu Perlis, Pahang dan Sarawak.
Kejutan ini memang memeritkan kepada BN dan juga Perdana Menteri keenam Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Mohd Najib menjadi Perdana Menteri pertama memimpin parti pemerintah dan tewas dalam pilihan raya umum.
BN memasuki PRU-14 dalam satu keadaan yang sangat getir. Ia berhadapan dengan cabaran negarawan Tun Mahathir Mohamad, kemarahan sebahagian rakyat kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “serangan” ke atas keluarga Mohd Najib dalam dan luar negara.
Akhirnya majoriti rakyat membuat keputusan “enough is enough”! Mereka merasakan tidak rugi apa-apa jika mengundi Pakatan Harapan. Hanya masa akan menentukan sama ada perasaan itu benar atau mereka telah membuat keputusan yang salah.
Namun berdasarkan undi diperoleh bagi ketiga-tiga parti utama bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 ia bukanlah satu kemenangan yang terlalu selesa bagi Pakatan Harapan (PH). PH memperoleh keseluruhan 5,685,252 undi atau 50.1 peratus (%), BN 3,624,921 undi (32%) dan PAS sebanyak 2,043,159 undi (18%).
Ada hampir 6 juta lagi yang layak mengundi (berdaftar dan tidak berdaftar) tidak melaksanakan tanggung jawab mereka. Ini bermakna, di sebalik janji pelupusan GST, penurunan harga petrol, penurunan harga barang dan pelupusan tol, lebih separuh pengundi tidak mempercayai Pakatan Harapan.
Kesukaran Barisan Nasional ialah usaha transformasi ekonomi negara yang dibuat oleh Mohd Najib bertujuan menjadikan ekonomi negara mampan dan berdaya saing telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada cara hidup mewah golongan pertengahan dan generasi muda negara ini.
Dunia mengakui Malaysia berada pada landasan betul di bawah transformasi ekonomi Mohd Najib namun rakyat dihasut. Rakyat dihasut bahawa kekayaan ekonomi negara ini mencukupi membiayai pembangunan dan subsidi berpuluh bilion tanpa kutipan GST. Rakyat diindoktrinasi bahawa negara ini tidak memerlukan GST jika pemimpin negara tidak membazir.
Hasutan ini menjadi barah yang merebak dengan pantas. Rakyat menjadi marah dengan persepsi penindasan GST, kehilangan berbilion ringgit duit 1MDB, negara bakal muflis dan keborosan sebahagian keluarga Mohd Najib di luar negara. Maka akhirnya kemarahan tersebut diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini.
Dalam pada itu, UMNO sendiri pasti mengetahui bahawa sebahagian besar kekalahan calon-calonnya kerana sabotaj dalaman parti dan kegagalan sayap pemuda dan wanita melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pemuda sungguhpun diberi kuasa dan kedudukan melalui Kementerian Belia dan Sukan gagal menarik sokongan generasi muda. Program seperti “Fit Malaysia” hanya program suka-suka tanpa indoktrinasi agenda kerajaan Barisan Nasional. Hasilnya, Khairy Jamaluddin menjadi popular tapi BN tidak menerima tempias populariti tersebut.
Mahalan populariti Khairy juga adalah populariti buih-buih di permukaan sahaja kerana beliau sendiri hampir tewas di Parlimen Rembau. Dari majoriti lebih 18 ribu undi pada 2013 tinggal 4,364 undi pada 2018. Jika dicampur keseluruhan undi calon-calon yang menentangnya, beliau sudah kalah kali ini.
Kita tahu generasi muda terkenal dengan aliran “anti-establishment” namun tindakan mengurangkan peranan persatuan-persatuan belia yang pro-Kerajaan telah menyebabkan jurang itu lebih besar.
Ketua Wanita UMNO juga perlu bermuhasabah diri. Kaji selidik dan culaan Jalinan Rakyat Wanita UMNO meleset 100 peratus. Ini menyebabkan Barisan Nasional dan UMNO tidak nampak kekalahan ini.
Apa pun sesuatu yang sangat indah dalam keputusan PRU ke-14 ini ialah ia memberi peluang kepada Mohd Najib membersihkan dirinya dari segala tuduhan dan tohmahan. Hari ini Mohd Najib disiasat oleh Kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.
Tidak timbul lagi persepsi kerajaan cuba melindungi beliau. Cuma timbul persoalan baharu, apakah kerajaan hari ini mampu berlaku adil dan memastikan keadilan ditegakkan.
Tindakan melantik mereka yang mempunyai agenda peribadi ke atas Mohd Najib seperti Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dan Tan Sri Abdul Ghani Patail sebagai pasukan penyiasat tidak memberi gambaran keadilan akan ditegakkan.
Apa pun ini adalah peluang Mohd Najib dan keluarga membetulkan persepsi dan bermuhasabah diri. Mungkin ini juga rahmat Allah untuk meletakkan seseorang itu di landasan yang betul setelah terbuai dengan nikmat dunia.
artikel ini pertama kali diterbitkan dalam Sinar Harian 28 Mei 2018
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci