India merancang untuk mengehadkan jumlah pengunjung harian ke Taj Mahal di Agra, Uttar Pradesh dekat sini kepada 40,000 orang selain tempoh setiap lawatan hanya tiga jam.
Ia dalam usaha untuk melindungi khazanah negara yang berusia hampir 400 tahun itu daripada rosak selain cegah insiden kemalangan sesama pelawat terutama ketika waktu puncak, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.
Tinjauan Arkeologi India (ASI) membuat cadangan itu kepada Kementerian Kebudayaan selepas berlaku satu insiden rempuhan terburuk di pintu masuk ke Taj Mahal yang mencederakan lima orang pada 28 Disember lalu.
Menurut agensi tersebut, jumlah terkini pengunjung ke Tapak Warisan Dunia itu ialah kira-kira 40,000 orang pada hari biasa (Isnin hingga Jumaat) serta boleh mencecah 70,000 orang pada hujung minggu dan musim cuti umum.
Sebaik sahaja langkah sekatan tersebut berkuat kuasa kata ASI, penjualan tiket harian secara tempahan dalam talian atau pembelian luar talian akan dihentikan apabila jumlah pelawat yang dihadkan itu berjaya habis dijual.
Namun, sekatan itu hanya terpakai kepada pas berharga 40 rupee (RM2.50) yang dibeli pengunjung domestik. Jumlah pengunjung asing pula, yang dikenakan bayaran sebanyak 1,000 rupee (RM63.20), tidak akan dihadkan.
Satu lagi langkah yang dicadangkan oleh pihak ASI termasuk penjualan tiket masuk berasingan untuk melawat kawasan kripta, di mana replika makam Maharaja Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal, ditempatkan.
Monumen itu, yang dibina bagi memperingati kisah cinta abadi maharaja Mughal dan merupakan satu daripada “Tujuh Keajaiban Dunia”, mengalami kesesakan dan pencemaran udara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali mengambil langkah-langkah ini,” kata Menteri Kebudayaan, Mahesh Sharma kepada The Indian Express selepas bermesyuarat dengan pegawai ASI dan kakitangannya pada Selasa.
Mercu tanda ini dibangunkan Shah Jahan, yang memerintah dari tahun 1628 hingga 1658 sebagai makam untuk isteri tersayangnya, Mumtaz Mahal. Kisah cinta suci baginda malahan diperakui ramai sejarawan dunia sendiri.
Sejak 1983, Taj Mahal diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan kemudian pada 7 Julai 2007 ia dinobat menjadi antara tujuh pemenang dalam inisiatif 7 Keajaiban Dunia Baharu. – Agensi
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci