Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak cukup terharu sehingga meremang bulu roma menyaksikan semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung UMNO 2017.
Memulakan ucapan dasar beliau pagi ini, Perdana Menteri nyata ikut teruja menyaksikan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi venue perhimpunan kali ini dipenuhi ahli dan penyokong UMNO yang jelas tidak mahu ketinggalan mendengar amanat Presiden sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Bagi kali yang ke-68, kita berasa sungguh bersemangat melihatkan Pusat Dagangan Dunia Putra ini penuh sesak dengan ahli UMNO serta para tetamu, yang berduyun-duyun, tidak pernah suasana meriah sebegini, hingga membuatkan kita sungguh teruja, sampai amat merinding dan berdiri tegak bulu roma, bahawa semangat United Malays National Organisation atau UMNO, selagi hayat kita dikandung badan, akan marak, teruk bernyala-nyala.
“Hidup UMNO! Hidup UMNO!,” laung beliau disahut dengan sorakan sama oleh 5,628 orang perwakilan dari 191 bahagian seluruh negara yang memenuhi setiap ruang Dewan Merdeka, PWTC di sini.
Hadir sama Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri iaitu Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi parti.
Sememangnya perhimpunan hari ini menurut Najib sungguh berbeza auranya dengan catatan rekod kehadiran paling ramai jumlah perwakilan, ahli, para pemerhati dan media yang dikhabarkan sekitar 30,000 orang. - UTUSAN ONLINE
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci