Sunday, 31 December 2017
Bayar Tebus Mangsa Culik Dengan Bitcoin
Sekumpulan penculik di Ukraine telah membebaskan seorang pengurus firma urus niaga bitcoin yang berdaftar di United Kingdom setelah mendapat bayaran lebih daripada AS$1 juta (RM4.06 juta) dalam bentuk mata wang bitcoin sebagai wang tebusan.
Perkara itu didedahkan oleh penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine kepada Reuters semalam.
Pavel Lerner, seorang penganalisis terkemuka dan pakar rantaian blok telah diculik oleh enam lelaki bertopeng yang tidak dikenali pada 26 Disember lalu, menurut kenyataan syarikatnya, EXMO Finance, di laman sesawangnya.
“Ini adalah kes pertama di Ukraine yang dikaitkan dengan bitcoin,” kata penasihat Menteri Dalam Negeri, Anton Gerashchenko menerusi satu pesanan ringkas.
Namun tidak dapat dipastikan siapa yang membayar tebusan tersebut tetapi syarikatnya menjelaskan menjelaskan bidang tugas Lerner di EXMO tidak melibatkan akses kepada aset kewangan para penggunanya.
“Pada masa ini, dia selamat, dan tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang dikenakan kepadanya.
“Namun, Lerner kini berada dalam keadaan tertekan, oleh itu, dia tidak dapat memberikan apa-apa ulasan rasmi dalam tempoh terdekat,” jelas syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
Berita mengenai Lerner mengejutkan ramai ketika bitcoin dan mata wang kripto kembali pulih selepas berdepan kerugian selama dua hari ekoran pengawalseliaan yang diperketat terhadap mata wang digital itu dalam usaha untuk mengekang spekulasi berlebihan.
Banyak mata wang digital menyaksikan nilainya melonjak pada tahun ini. – REUTERS
Tak Tahan Bali Dipenuhi Sampah, Isytihar 'Darurat' Segera
Pusat pelancongan Kuta di Bali sememangnya menjadi kawasan tumpuan pelbagai aktiviti termasuk luncur air dan menikmati keindahan matahari terbenam di tepi pantai.
Namun kini, garis pantainya bagaikan ‘hilang seri’ dengan timbunan sampah-sarap terutama plastik dan bungkusan makanan berselerak di tepi pantai di sebalik ancaman letusan gunung berapi Agung di pulau peranginan itu.
“Apabila saya mahu berenang, keadaan tidak begitu baik. Saya nampak banyak sampah di sini setiap hari. Sampah-sarap ini dihanyutkan ke pantai, amat ‘ngeri’,”kata seorang pelancong dari Austria, Vanessa Moonshine.
Sering digelar sebagai ‘syurga Bumi’, kawasan percutian utama Indonesia itu dengan 4.2 juta penduduk itu kini amat memalukan bagi sistem pengurusan sampah apabila disaksikan lebih tiga juta pelawat antarabangsa setiap tahun.
Republik terbesar Asia tenggara itu yang memiliki lebih 17,000 pulau ini dilaporkan sebagai negara kedua terbesar selepas China penyumbang sampah di laut dengan perkiraan 1.29 juta metrik tan sampah dihasilkan setahun.
Sampah plastik yang memenuhi sungai dan laut menyebabkan masalah selama bertahun-tahun seperti saluran air tersumbat di bandar, meningkatkan risiko banjir dan menyebabkan kecederaan serta kematian hidupan laut.
Masalah itu semakin memburuk di Bali yang terpaksa pemerintah wilayah itu mengisytiharkan ‘darurat sampah’ di sepanjang enam kilometer kawasan pantai termasuk destinasi popular di Jimbaran, Kuta dan Seminyak.
Pihak berkuasa juga telah mengerahkan 700 pekerja pembersihan dan 35 buah trak untuk operasi pembersihan kawasan pantai dan mengangkut 50 tan sampah setiap hari ke tapak pelupusan berdekatan secara berterusan.
“Pekerja berbaju hijau mengutip sampah setiap hari tetapi keesokannya situasi sama berlaku. Tiada siapa mahu duduk di pantai menghadap semua sampah ini,”kata Claus Dignas dari Jerman. – Agensi
Radhi OAG: Dari Ketagih Dadah Ke Ketagih Muzik Pula
Sebagai seorang pendosa yang bertaubat, Radhi berazam mahu melupakan waktu silamnya dan kini berbakti sepenuhnya melalui kumplan OAG.
Bagi Radhi, OAG memang bukan kumpulan muzik biasa-biasa. Justeru dia menaruh harapan menggunung pada kumpulan yang ditubuhkan ketika dia baru berusia 15 tahun dulu.
Malah Radhi adalah insan yang paling bersyukur apabila OAG menyambut ulang tahun ke-25 baru-baru ini.
Sambutan itu kata Radhi adalah titik mula untuk dia benar-benar bebas daripada dadah buat selama-lamanya.
“Saya berjuang tanpa henti sepanjang 25 tahun ini. Walaupun ia tempoh yang lama, bagi saya, ia macam 20 minit 25 saat saja.
"Alhamdulillah 25 tahun ini saya anggap sebagai permulaan kepada hidup baru," katanya.
Di sebalik sikap optimis itu Radhi bagaimanapun mengakui dia masih dalam proses pemulihan dan bertekad enggan menjadi penagih selepas berusia 40 tahun.
“Muzik antara satu perkara yang boleh menghilangkan tekanan, justeru kita tidak perlu mengambil dadah,” kata pemilik nama penuh Mohd Radhi Razali itu.
Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu seperti 60’s TV, Slumber, Name Of The Game dan Generasiku itu berkata pengakuan berkenaan bukan bertujuan sengaja ingin mengaibkan diri sendiri.
Sebaliknya kata Radhi dia berhasrat dapat dijadikan contoh kepada generasi muda.
Ingatan buat peminat
“Memang kena ada keyakinan diri untuk terus berjuang dan jangan sesekali berputus asa walaupun sebelum ini sekejap masuk sekejap keluar (pusat pemulihan).
“Ini adalah satu proses pemulihan yang saya kongsikan dengan peminat. Dulu memang susah nak beritahu,” katanya.
Selain nekad untuk bebas daripada belengu dadah, Radhi juga memaklumkan mengenai rancangannya untuk mengetengahkan OAG supaya kembali mewarnai dunia muzik pada 2018.
“OAG bercadang mengadakan konsert jelajah tetapi masih di peringkat perbincangan, dan tertakluk kepada lokasi serta persediaan yang bersesuaian,” katanya.
Bagi Radhi, selagi ada permintaan, selagi itulah juga dia tidak akan bersara daripada OAG yang turut dianggotai oleh Lam (bass), Ivan (gitar) dan Qi (dram) itu.
“Masih ada peminat yang setia sanggup datang dengan kaset dan CD demo yang pernah dikeluarkan sewaktu kali pertama dulu (semasa showcase ulang tahun ke-25). Saya ingat sudah tak ada orang simpan lagi.
“Tanpa diketahui ramai, kami masih lagi bermain gig di universiti dan kolej kolej, mereka ini adalah akar umbi kepada perkembangan industri kita, kerana anak muda masih bersemangat dengar muzik.
"Baru saja dua minggu lepas kami buat persembahan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang,” katanya.
Pada malam persembahan ulang tahun itu berlangsung, OAG turut melancarkan buah tangan terbaru kumpulan berkenaan sebagai mengubat rindu peminat.
Ia adalah single berjudul Snowball dalam bentuk kaset bagi edisi khas yang dikeluarkan dengan jumlah sebanyak 100 unit saja.
Saturday, 30 December 2017
Tahun Yang Baik Untuk Ekonomi
Pasaran Asia bakal mengakhiri 2017 dengan suasana positif hari ini, apabila tahun ini menyaksikan pertumbuhan global meningkatkan keuntungan korporat dan harga komoditi.
Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun merekodkan kenaikan tiga minggu berturut-turut yang menyaksikan ia menghampiri kemuncak satu dekad.
Indeks itu naik 33 peratus setakat ini.
Hong Kong mengetuai dagangan dengan keuntungan sebanyak 36 peratus untuk tahun ini, manakala Korea Selatan mencatatkan 22 peratus dan India 27 peratus.
Nikkei Jepun dan S & P 500 kedua-duanya mendahului hampir 20 peratus, sementara Dow meningkat sebanyak satu perempat.
Di Eropah, DAX Jerman mencecah hampir 14 peratus, walaupun FTSE United Kingdom tertinggal sedikit dengan peningkatan sebanyak tujuh peratus. - Reuters
Israel 'Sogok' Negara Miskin & Lemah
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu didakwa sedang menyediakan dana berjumlah AS$50 juta (RM203.37 juta) sebagai ‘wang sogokan’ kepada negara-negara miskin dalam usaha untuk meraih sokongan diplomatik untuk menguasai Baitulmuqaddis.
Dana berkenaan akan digunakan untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan di negara-negara berkenaan yang kemudiannya disasar memberi sokongan diplomatik kepada negara Yahudi itu.
Tindakan Israel yang dilaporkan oleh Channel 2 dan media tempatan lain, sekiranya disahkan diambil selepas hanya seminggu Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima sokongan yang besar daripada 128 buah negara untuk menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dalam usul yang dibawa oleh Turki dan Yemen, lapor AlJazeera.
Dalam pengundian di PBB itu, hanya lapan buah negara bersama-sama Israel menyokong cadangan AS manakala 35 memilih untuk berkecuali.
Israel dilihat menyasarkan untuk menjalin hubungan baik dengan beberapa buah negara Afrika dalam tempoh beberapa tahun ini.
Langkah itu diambil hasil lawatan Netanyahu ke Afrika Timur sepanjang tahun lepas dan bahagian barat benua itu awal tahun ini.
Pada bulan Julai lalu, pemimpin tersebut juga pernah memuji Afrika dengan berkata: “Saya percaya Afrika mempunyai potensi untuk masa kini dan masa depan. Benua ini sedang membangun.”
Ketika ini juga, beberapa buah negara Afrika termasuk Kenya dan Ethiopia dilaporkan telah mula menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv secara lebih rapat.
Bapa Jadikan Anak Hamba Seks Hingga Lahir 8 Anak Akhirnya Dipenjarakan
Seorang lelaki durjana yang telah merogol anaknya sendiri sehingga melahirkan lapan orang anak sepanjang 22 tahun akhirnya dipenjarakan selama 12 tahun dan lapan bulan.
Domingo Bulacio, 57, bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang emosi ketika hukuman dijatuhkan oleh mahkamah di utara di Santiago del Estero, Argentina.
Dalam perbicaraan itu seramai 50 saksi dipanggil termasuk saudara-maranya.
Bulacio, yang juga dikenali sebagai Vernacho, telah berada dalam tahanan sejak Januari tahun lepas, iaitu selepas 45 hari melarikan diri.
Dia melarikan diri dari rumahnya di Villa Balnearia, selepas mangsa, yang dikenali sebagai Antonia, melaporkan kepada pihak berkuasa dan mendakwa bapanya menjadikan dia sebagai hamba seks sejak berusia 11 tahun, selepas menghalau isterinya.
DNA yang dijalankan mengesahkan lapan anaknya adalah anak Bulacio. Enam daripada lapan anaknya sebelum ini ditempatkan di sekolah berasrama dan kini telah kembali kepada ibunya.
Menurut Antonia, dia telah didera sejak kecil oleh bapanya dan seorang lagi saudaranya dan diugut bunuh jika mendedahkan perkara itu.
“Dari saat ibu saya keluar dari rumah itu, saya menjadi isteri kepada bapa saya. Dia akan memukul saya dengan kayu jika dia melihat saya berbual dengan jiran. Dia akan membunuh saya jika saya menceritakan segalanya,” katanya.
Friday, 29 December 2017
Terengganu Akan Anjur Kursus Khas Untuk Golongan Mak Nyah
Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan kursus kesedaran kepada golongan 'mak nyah’ di seluruh negeri ini setelah jumlah sebenar mereka yang terjerumus ke dalam gejala itu diperoleh.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata perangkaan berkenaan dijangka diperoleh setelah bancian secara menyeluruh dilakukan bermula Januari nanti.
"Kita akan jalankan bancian pada minggu ketiga Januari di mana kita tidak akan bersandarkan jumlah 17 orang yang sedia ada di Flat Petani, Kuala Terengganu (ketika ini).
"Kita akan bekerjasama dengan ketua komuniti, seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi-agensi seperti polis, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan lain-lain lagi mengenal pasti golongan mereka ini tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama di majlis penyerahan bantuan Jom Ke Sekolah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, di Hulu Terengganu semalam.
Turut hadir Presiden GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Datuk Tengku Putera, dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.
Sejumlah 150 orang murid sekolah rendah DUN berkenaan menerima bantuan satu set kelengkapan persekolahan bernilai RM200 daripada peruntukan sumbangan Yayasan Taqwa berjumlah RM30,000.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai isu golongan mak nyah yang didapati menjadikan kawasan Flat Petani, di pinggir bandar Kuala Terengganu sebagai sarang maksiat dan pelacuran
Katanya, kursus kesedaran dijangka diadakan selama tiga hari dua malam itu akan memfokuskan bagaimana membantu mereka untuk kembali kepada kehidupan yang sebenar.
"Saya tahu memang agak sukar tapi kita akan mencuba sebaik mungkin. Setelah itu kita akan jalankan kajian untuk melihat kecenderungan dan minat mereka sama ada jahitan, gubahan, memasak atau hiasan.
Jika mereka berminat, bantuan akan disalurkan MAIDAM jika mereka ini daripada golongan layak dan miskin. Jika yang tidak layak mendapat zakat, kita akan cuba salurkan bantuan dadipada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membantu mereka ini membina hidup baru," katanya.
- Bernama
Wednesday, 27 December 2017
4 Keistimewaan Fattah Amin Di Mata Fazura
Umum mengetahui pelakon cantik Fazura seorang yang kuar bekerja dan baginya perkahwinan bukanlah satu keutamaan Namun, tanggal 27 November lalu, Fazura sah menjadi isteri kepada pelakon kacak Fattah Amin.
Mesti ramai yang tertanya-tanya apa istimewanya Fattah Amin sehingga mampu meleburkan tembok kedegilan Fazura.
Dalam satu temubual baru-baru ini, Fazura kongsikan 4 perkara istimewa tentang Fattah Amin.
1. Seorang lelaki yang berani
“Bila jumpa dengan Fattah, dia seorang lelaki paling berani pernah saya jumpa. Dia memang sangat consistent, sampai bagi bunga dekat KL Fashion Week tu something yang Wow. Saya sendiri tak sangka.”
2. Seorang lelaki yang sayangkan keluarga
Umum mengetahui, Fattah Amin sangat utamakan keluarganya dalam setiap perkara. Baru-baru ini, Fattah Amin, merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH menerima hadiah kereta Peugeot 408 dan menghadiahkan kereta tersebut kepada ibu bapanya.
3. Seorang yang setia, baik hati & beragama
“Sekarang ni bukan senang nak cari lelaki yang setia dan yang ada agama.Boleh membimbing kita. Allah telah mengejutkan saya bahawasanya selama ni jodoh saya adalah orang di dalam industri. Sebagai isteri saya bangga kerana mempunyai seorang suami yang baik seperti dia.”
4. Seorang lelaki yang penyayang
“Cara dia menyayangi saya, cara dia melindungi saya. Dia melayan saya macam seorang permaisuri. Saya sangat bahagia.”
Caj Air: Walaupun Dilarang Kerajaan Pusat, P.Pinang Tetap Berkeras Mahu Naikkan
Kerajaan DAP Pulau Pinang sekali lagi membuat permohonan menaikkan caj tarif air di negeri berkenaan sungguhpun permohonan sama ditolak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) awal tahun ini.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi kenyataan semalam berkata telah mengemukakan permohonan cadangan surcaj penjimatan air (WCS) bagi menaikkan caj penggunaan air domestik melebihi 35,000 liter daripada RM0.48 sen kepada RM1.00 bagi setiap lebihan 1,000 liter.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya telah mengemukakan lima permohonan semula kepada SPAN dalam tempoh lapan bulan lepas untuk mendapatkan 'lampu hijau' pelaksanaan tarif baru berkenaan.
"Sejak itu, SPAN telah meminta PBAPP untuk menghantar semula permohonan sebanyak lima kali. Penghantaran semula bertarikh 20 dan 23 Jun, 8 Sept, 25 Okt dan 20 Nov lepas," katanya dipetik Bernama.
Tambahnya, PBAPP perlu mendapatkan kelulusan SPAN terlebih dahulu sebelum melaksanakanya diperingkat negeri seperti tertakluk dibawah Akta SPAN 2006 dan WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air) 2006.
"Tanpa kelulusan kerajaan persekutuan, PBAPP tidak boleh melaksanakan WCS RM1 secara sah," katanya.
Permohonan PBAPP untuk menaikkan caj air kali ini adalah untuk menaikkan tarif bagi kali ke-4 semenjak DAP memerintah Pulau Pinang semenjak 2008.
"Walaupun berulang kali Pakatan menuduh kerajaan BN bertanggungjawab menaikkan kos sara hidup, ini adalah contoh kerajaan BN cuba untuk menaikkan harga yang dikehendaki DAP.
"Kerajaan DAP telah mengenakan bayaran tambahan kepada kadar air semenjak 2010 dimana tiada caj seumpamanya sebelum ini. Mereka menggandakan surcaj tersebut pada 2013. Dua tahun kemudian, mereka naikkan tarif air seluruhnya," kata penganalisis politik/ blogger Lim Sian See (LSS).
Ujarnya, kini kerajaan Pulau Pinang sekali lagi membuat permohonan untuk menaikkan caj penggunaan air yang mana harganya sudah meningkat 70% semenjak negeri diperintah DAP.
"Jadi sekarang anda tahu siapa yang mahu naikkan harga. Ianya DAP - bukan BN," kata LSS lagi.
- mD
Pembangkang Dihentam Kerana Cuba Mengaitkan PM Dengan Skandal Tanah Felda
Tulisan asal oleh:
Malaysia Today, 27 Disember 2017
(NST) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh diseret ke skandal pemindahan hak milik tanah FELDA, kata ahli jawatankuasa eksekutif Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin, pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa Felda, khususnya anak syarikatnya Felda Global Ventures Holding Sdn Bhd (FGV), adalah agensi yang mempunyai struktur pentadbirannya sendiri dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya.
"Ianya tidak patut untuk melibatkan Perdana Menteri kerana FGV adalah badan korporat yang mempunyai lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan pengurus besarnya sendiri.
"Semua yang dilantik adalah mereka yang mampu, dan mereka juga mempunyai pengerusi sendiri," tambah Nazir.
Beliau mengulas mengenai usaha berterusan oleh pihak berkaitan pembangkang untuk mengaitkan Najib dengan skandal itu.
Nazir berkata agensi yang mengamalkan tadbir urus yang baik biasanya akan merujuk kepada ketua pegawai eksekutif, lembaga pengarah dan pengerusinya untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul.
"Kami berharap orang ramai sedar akan perkara ini, dan nampak bahawa pembangkang akan sentiasa cuba untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan sebarang skandal dan menyalahkannya untuk segala-galanya. Malah, mereka akan cuba untuk menyalahkannya kerana ribut petir dan banjir.
"Kita perlu adil dan menilai perkara itu dan bukan hanya menyalahkan sahaja Perdana Menteri," katanya.
Nazir berkata beberapa portal berita dalam talian telah memetik para pemimpin pembangkang yang mengaitkan Najib dengan skandal itu, walaupun ia merupakan isu dalaman Felda.
Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/opposition-blasted-for-trying-to-link-pm-to-felda-land-scandal/
Tuesday, 26 December 2017
Ada Nabi Dari Kalangan Wanita?
PANGKAT Nabi atau Rasul tidak boleh dilobi atau dibeli. Ini kerana ia adalah amanah yang berat lagi mencabar. Jawatan ini tidak sesuai untuk wanita sebagaimana sesetengah peranan yang tidak mampu dilakukan oleh lelaki. Apabila prinsip ini difahami, tidak timbul lagi cemuhan bahawa Islam mendiskriminasikan wanita apabila pangkat nabi dan rasul tidak diberikan kepada mereka.
Begitu juga dengan lelaki, jangan sesekali marahkan Allah SWT jika fisiologi tubuh mereka ‘tidak istimewa’ seperti kaum wanita yang dijenterakan untuk mengandung atau melahirkan anak. Usahlah kerana tiada keistimewaan seperti wanita, maka lelaki menubuhkan persatuan ‘Brothers In Islam’ yang cuba menuntut hak sama rata dengan wanita!
Sudah jelas lagi nyata bahawa Allah SWT hanya melantik para nabi dan rasul dalam kalangan lelaki manusia. Lelaki jin atau manusia wanita tidak dipilih untuk menjadi nabi. Allah sangat sayangkan wanita kerana tugas dan tanggungjawab utusan-Nya itu sangat mencabar minda serta fizikal.
WANITA DIDATANGI JIBRIL
Pun begitu, jika dijelajahi ayat-ayat al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menunjukkan seolah-olah wanita juga mendapat wahyu atau didatangi Malaikat Jibril a.s. Jika sudah didatangi Jibril, pasti wanita istimewa itu seorang nabi! Perhatikan kisah Maryam:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikanmu, dan memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu),” (Ali ‘Imran [3:42]).
Juga firman Allah: “Dan bacakan (wahai Muhammad) dalam Kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya daripada mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh daripada Kami (Jibril) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya,” (Maryam [19:16-17]).
Tambah ketara apabila Allah menggunakan perkataan “Kami wahyukan kepada ibu Nabi Musa a.s.” dalam ayat berikut:
“Dan Kami wahyukan (ilhamkan) kepada ibu Musa: Susukan dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (daripada angkara Firaun), maka (letaklah dia dalam peti dan) lepaskan dia ke laut; dan janganlah engkau rasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi seorang daripada para rasul Kami,” (al-Qasas [28:7]).
JANGAN MUDAH PERASAN!
Orang awam yang tidak mahir dengan seni bahasa Arab, tafsir al-Quran atau rahsia agama pasti keliru dengan ayat yang disebut. Oleh itu, isu ini wajib dirungkai supaya jangan ada wanita pelik di luar sana membuat sidang akhbar mendakwa baru mendapat ‘watikah wahyu atau didatangi Jibril a.s.’ kerana melihat ayat tersebut daripada teropong nafsu yang ditunggang syaitan.
Secara tuntas, prinsip kerasulan seseorang manusia dinyatakan jelas oleh Allah dalam ayat ini.
“Dan Kami tidak mengutus Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki dari penduduk bandar yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?,” (Yusuf [12:109]).
Apabila al-Quran berbicara tentang kedatangan Jibril a.s. kepada wanita maka ia bukan merujuk kepada pangkat kenabian sebaliknya kedudukan mereka yang mulia. Buktinya Rasulullah SAW mengukuhkan kisah kunjungan Jibril a.s. dengan sabda yang menobatkan kedudukan tinggi Maryam di seluruh alam:
“Ramai lelaki mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian tanpa pangkat kenabian atau kerasulan), akan tetapi tidak (ramai) mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian) selain Maryam binti ‘Imran dan Asiyah isteri Firaun. Dan sesungguhnya kelebihan Aisyah berbanding sekelian wanita seperti daging yang terbaik berbanding semua jenis makanan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
Dalam kerohanian, wanita memang tidak dapat mencapai pangkat nabi tetapi mereka boleh mencapai tahap Wali Allah dan Siddiqah (wanita yang benar imannya). Maryam dinobatkan pangkat tertinggi ini oleh Allah dalam firman-Nya:
“Tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu),” (al-Ma’idah [5:75]).
Dalam kes ibu Nabi Musa a.s. pula, perkataan Kami wahyukan itu lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘Kami ilhamkan’. Jika masih ada yang degil mahu mengatakan ia adalah wahyu hakiki dan bukannya ilham, maka sudah pasti ‘lebah dan bumi’ juga selayaknya menjadi nabi kerana Allah turut menggunakan perkataan ‘wahyu’ kepada kedua-duanya:
“Dan Tuhanmu memberi wahyu (ilham) kepada lebah, hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok kayu, dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia,” (al-Nahl [16:68]).
Lihat juga firman Allah pada bumi ketika ia bergegar pada saat kiamat berlaku: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya dan bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: bahawa Tuhanmu telah mewahyukan padanya (memerintahnya berlaku demikian),” (al-Zalzalah [99:1-5]).
Mudahnya, apabila al-Quran menggunakan perkataan wahyu dalam bicaranya kepada makhluk selain para nabi, maka ia membawa maksud ilham atau fitrah yang dicipta pada makhluk itu. Marilah kita dalami al-Quran menurut laluannya yang betul bagi mengelakkan sebarang pemesongan daripada maksud sebenar yang mahu disampaikan Allah.
Ya Allah! Berikan kami semua ketepatan dalam memahami kalam-Mu!
Perlu Pertahankan Hak Melayu Dalam Perang Siber
Oleh : Dr Muhammad Arif Mohd Hashim
Gerbang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dianggap ibu kepada segala pilihan raya semakin kita hampiri. Parti didominasi oleh orang Melayu yang secara tegas memperjuangkan kelangsungan Islam dan bangsa Melayu tidak boleh leka lagi.
Orang Melayu mesti memiliki mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep dan falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan. Orang Melayu perlu diingatkan bahawa mereka tidak ada pilihan lain kecuali bersatu, mengukuhkan perjuangan dan mengelakkan perpecahan sesama mereka. Mereka perlu disedarkan PRU-14 yang dihadapi tidak lama lagi akan menjadi penentu kepada kedudukan agama Islam, masa depan orang Melayu dan hak orang Melayu untuk terus dipertahankan.
Mesti ingat, jika kuasa yang dimiliki oleh orang Melayu kini terlepas dari genggaman yang ampuh, walaupun Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 secara jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kemenangan besar parti Melayu dalam PRU-14 akan menjamin hak istimewa orang Melayu dan pribumi terus dimuliakan serta diperkasakan.
Kemenangan dalam PRU-14 menjadi pemangkin kepada kedudukan sembilan Raja Melayu agar terus didaulatkan. Kedudukan Raja Melayu yang menjadi 'payung' kepada orang Melayu dan ketua agama Islam bagi negeri yang dinaunginya perlu terus dipertahankan. Kini, ada cubaan untuk menghakis peranan Raja Melayu melalui pandangan negatif di alam siber sebagai alat untuk memecah-belah ummah. Tidak mustahil jika orang Melayu tidak lagi memegang tampuk kuasa, peranan Raja Melayu sedikit demi sedikit akan dikurangkan.
Orang Melayu tidak boleh lagi sekadar bertahan dan menerima sahaja segala tohmahan dari berbagai sudut oleh kumpulan pengkhianat yang berusaha untuk melemahkan perpaduan kita melalui alam siber. Jika dibiarkan, kita bimbang lebih ramai rakyat akan terpengaruh dengan fakta tidak benar, songsang dan ramai orang Melayu akan berpegang kepada keyakinan bahawa pendekatan liberal atau pentadbiran politik tanpa berpaksi Islam boleh menjamin kebajikan ummah selepas PRU-14.
Alam siber digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu untuk menyerang tanpa rasa bersalah apa juga perancangan, pelaksanaan, keputusan kerajaan daripada aspek agama, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dipimpin oleh orang Melayu. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga pihak pendusta memberi fakta palsu dan fitnah di alam siber. Tentera siber ini yang dikenali dengan identiti sebenar atau hanya berselindung dengan nama tertentu bergerak dan beroperasi secara individu atau berkumpulan.
Perlu tindakan tegas
Tentera siber ini bergerak dengan licik dan tindakan mereka ini tidak boleh dipandang remeh. Mereka tidak boleh dibiarkan menyerang dengan fitnah palsu yang sengaja disensasikan. Tindakan tegas mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu dikenakan terhadap mereka tidak bertanggung jawab ini. Fitnah dan tafsiran isu negara dengan mengemukakan fakta palsu, sengaja diselewangkan di alam siber untuk mempengaruhi orang ramai dan memecahkan ummah.
Orang Melayu tidak boleh lagi mengamalkan pendekatan bertahan secara pasif, iaitu hanya sekadar menafikan dan menjawab dengan lesu segala tuduhan palsu serta fitnah yang tidak berasas di alam siber. Generasi muda Melayu perlu menunjukkan semangat kepahlawanan bangsa sebagai hulubalang siber di barisan hadapan untuk menghadapi medan perang siber ini bagi menghadapi PRU-14. Generasi muda Melayu perlu rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan maruah orang Melayu agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain yang ingin mengetepikan hak Bumiputera dan pribumi.
Ada beberapa tumpuan perlu digunakan untuk membalas balik serangan daripada tentera siber yang tidak bertanggung jawab dan tidak pernah rasa bersyukur dengan suasana hidup yang aman di bumi ini. Kita perlu membentuk pasukan khas wira siber yang rasmi dan bersikap adil. Mereka perlu dianggotai oleh pakar dalam kalangan orang Muslim dan Melayu yang menyalurkan kepada ummah maklumat tepat dan adil di alam maya. Ia bagi menangkis segala fitnah, penghinaan, membetulkan fakta salah dalam aspek yang berkaitan Islam, hak Bumiputera, Raja Melayu, pendidikan, ekonomi dan fitnah kepada pemimpin Melayu.
Pasukan hulubalang siber ini perlu berbeza dengan pasukan siber yang sedia ada daripada berbagai parti politik dan kumpulan yang sentiasa berat sebelah, rasis dan tidak boleh dipertanggungjawabkan pada faktanya. Hulubalang siber ini membezakan fakta tulen dan yang direka-reka, mengkaji punca fitnah serta asal usul berita tanpa fakta kukuh dan dikongsi untuk tontonan umum dalam kumpulan blog media yang ditetapkan. Pasukan hulubalang siber ini adalah satu entiti yang sah dari segi undang-undang dan boleh dibawa ke muka pengadilan jika faktanya tidak benar.
Usahawan boleh berperanan dengan menyalurkan infak kepada tabung hulubalang siber ini. Ia bagi memastikan kewangan kukuh dan bagi menjamin kesinambungan peranan pasukan hulubalang siber ini, sekali gus membantu memberi maklumat serta persepsi yang betul dan tepat.
Kita tidak boleh membiarkan orang Melayu selamanya berpecah-belah disebabkan oleh pengaruh alam siber yang memutar belitkan fakta sehingga melemahkan mereka. Orang Melayu bukanlah dicipta Allah SWT sebagai bangsa yang lemah. Orang Melayu adalah bangsa yang berdaulat dan mempunyai kekuatan yang cukup hebat. Tetapi dari semasa ke semasa 'kedaulatan' itu semakin pudar dan kekuatan pula semakin terhakis.
Golongan profesional dan usahawan perlu bersedia menghadapi cabaran besar untuk memberi khidmat terbaik kepada ummah dalam memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu untuk menangkis fitnah di alam siber. Usaha memupuk perpaduan yang lebih erat dan telus mesti diterjemahkan dengan satu matlamat bagi menghadapi PRU-14 yang akan tiba tidak lama lagi. Hikmah perpaduan ini amat bernilai dan memahami erti perpaduan serta ukhuwah sesama umat Islam adalah amat penting. Perpaduan sebegini adalah selari dengan sahsiah dan syariat Islam.
Penulis adalah Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)
Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis, 10 Negara Sudah Sedia
Israel berurusan dengan 'sekurang-kurangnya 10 negara' berhubung kemungkinan memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis selepas Amerika Syarikat mengiktiraf bandar raya itu sebagai ibu kota Israel.
"Kami berhubungan dengan sekurang-kurangnya 10 negara, sebahagiannya di Eropah untuk membincangkan pemindahan itu," kata Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely.
Beliau berkata demikian sehari selepas Guatemala berkata ia akan memindahkan kedutaannya ke bandar raya itu, langkah yang disifatkan pegawai Palestin sebagai 'memalukan'.
Hotovely berkata, kenyataan Presiden Donald Trump akan 'mencetuskan gelombang' tindakan seumpama itu.
"Setakat ini ia baru di peringkat permulaan," katanya.
Beliau tidak menamakan negara berkenaan tetapi radio memetik sumber diplomat Israel sebagai berkata antaranya adalah Honduras, Filipina, Romania dan Sudan Selatan.
Dua pertiga negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Khamis lalu, mengundi resolusi menolak langkah kontroversi Trump itu, menegaskan status Baitulmaqdis perlu diselesaikan menerusi rundingan.
- AFP
Monday, 25 December 2017
Vida Pernah Ditawar Jadi YB
PENGASAS produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman mendedahkan, bahawa beliau pernah ‘dilamar’ sebuah parti politik untuk menyertai dan bertanding mewakili mereka namun ditolak secara baik olehnya.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Seri Vida, berkata, penolakan itu adalah disebabkan beban komitmen yang tinggi jika menjadi ahli politik atau wakil rakyat.
“Ada diajak secara lisan… tapi tak mahulah, saya tak boleh beri komitmen, masa yang ada sekarang juga tak cukup nanti terbelah dua badan saya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian menerusi Live Facebook, semalam.
Dalam pada itu katanya, ketiadaan ciri ketokohan seorang YB dalam dirinya juga membuatkan beliau tidak mahu memasuki gelanggang politik.
“Taklah sayang, saya tak ada tokoh, lagi pun masa saya sibuk, kalau kita lihat ahli politik jadual mereka padat, jadi tak mahulah saya,” katanya lagi.
Dalam pada berbicara mengenai perjalanan kehidupannya kini, beliau berkata, ada beberapa projek yang akan laksanakan.
“Antaranya adalah fokus saya untuk membina sekolah Tahfiz di Tanah Merah, Kelantan. Insya-ALLAH saya akan keluarkan lagu kedua saya, jadi tunggu,” katanya. -Sinar
Cikgu Azizan Dah Trauma
Guru yang dituduh mencederakan murid Azizan Manap mengaku trauma sepanjang kontroversi melandanya.
“Saya akui trauma sepanjang beberapa bulan ini.
“Hanya Allah yang tahu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Akhbar harian itu melaporkan Azizan, 44, tidak menyangka niat baiknya untuk mendidik anak bangsa menjadi titik hitam dalam hidupnya.
Azizan menyedari apa yang berlaku kepadanya melibatkan periuk nasi.
“Saya anak sulung, ibu sudah tua, ayah saya pula lumpuh.
“Semua tanggungjawab keluarga di bahu saya,” katanya.
Minggu lepas, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan, 44, guru penolong kanan hal ehwal murid sekolah berkenaan bersabit pertuduhan mencederakan muridnya pada April lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad memberitahu pihaknya menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu.
Mahathir, PPBM Hadapi Cabaran Getir Dalam PRU14
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) kelihatan berdepan cabaran sukar untuk menjadi relevan kepada rakyat terutama pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, berikutan pergolakan dan krisis yang dialami parti itu sepanjang tahun ini.
Apa tidaknya, dalam tempoh setahun lebih penubuhannya PPBM sudah pun dilanda konflik hilang kepercayaan oleh anggota terhadap kepimpinan tertinggi dan hala tuju parti, sekali gus menyaksikan ramai antara mereka bertindak keluar parti.
Antara yang meninggalkan parti itu termasuklah mereka yang menjadi pengasas penubuhan PPBM iaitu bekas Naib Presidennya Datuk Hamidah Osman, bekas Setiausaha Kerja Kamarul Azman Habibur Rahman dan bekas Ketua Srikandi Anina Saadudin.
Kamarul Azman bertindak keluar PPBM pada April lalu selepas mendakwa ia tiada hala tuju yang jelas dalam membela rakyat, sementara Hamidah dan Anina meninggalkan parti itu pada September kerana dikatakan kecewa dengan kepimpinan parti.
Beberapa lagi individu yang memegang jawatan penting pada peringkat pusat atau negeri turut mengumumkan keluar parti itu termasuk bekas Penolong Setiausaha Srikandi Hasnita Hishamudin pada September lalu dan lima pemimpin Srikandi termasuk seorang Exco Srikandi Malaysia daripada tiga bahagian di Kedah pada awal bulan ini.
Selain itu, tindakan keluar parti beramai-ramai oleh anggota PPBM turut dilaporkan sepanjang tahun ini atas pelbagai alasan yang menjurus kepada isu hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi, antaranya membabitkan kira-kira 500 anggota Bahagian Rembau, Negeri Sembilan, lebih 1,000 anggota di Perak dan 200 anggota di Melaka.
Selain isu anggota keluar parti, PPBM juga seperti berada di awang-awangan apabila berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia jika gagal mengadakan perhimpunan agung tahunan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus berdepan risiko tidak layak bertanding dalam PRU14.
Mungkin itulah realiti yang terpaksa dihadapi Mahathir yang sebenarnya boleh dijangka kerana penubuhan PPBM dibuat tanpa asas yang kukuh dan berlandaskan dendam serta niat semata-mata hendak menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain kemelut yang dilanda partinya, Dr Mahathir juga seperti mempamerkan diri sebagai seorang yang tidak relevan apabila dilihat tidak konsisten dan gemar mengubah pendiriannya mengenai sesuatu perkara sehinggakan digelar ‘juara u-turn’ dan ‘u-turn Mahathir’ oleh Najib.
“Saya yang memulakan pelabelan DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA,” kata Mahathir seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita.
Bekas perdana menteri dan presiden UMNO dari 1981 hingga 2003itu ketika eranya lantang mengkritik DAP sebagai sebuah parti yang cauvanis dan pernah melabelkan penasihat parti itu, Lim Kit Siang, sebagai seorang yang rasis dan pelampau perkauman.
Mahathir juga pernah mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan BN, namun kemudiannya membayangkan hasrat untuk meneruskan bantuan itu sekiranya pembangkang menang pada PRU akan datang.
Pengerusi PPBM itu turut mencetuskan kontroversi lain apabila dikatakan mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat Bugis ketika berucap pada satu perhimpunan Oktober lepas sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa murka dan amat kecewa baginda.
Pada 13 Julai lalu, Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti pembangkang DAP, PPBM, PKR dan Amanah mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum.
Keputusan mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang itu kelihatannya seperti ada keseragaman dan kesepakatan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan, namun isu pokok iaitu calon perdana menteri masih terus menjadi persoalan.
Walaupun Kongres Nasional Tahunan PKR pada Mei lalu sepakat untuk menjadikan Anwar sebagai calon perdana menteri, namun pemimpin itu kini sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat dan tidak mungkin berpeluang untuk bertanding pada PRU akan datang.
Awal bulan ini, timbul pula cadangan untuk melantik Mahathir ke jawatan itu dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalannya yang kononnya hanya menunggu restu daripada Anwar.
Isu calon perdana menteri Pakatan Harapan turut mendapat reaksi daripada Najib semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada 9 Dis lalu, menyifatkan cadangan untuk melantik semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah tidak logik.
“Ada dengar juga ada orang umur 93 tahun berminat nak menjadi Perdana Menteri semula. Yang senja meniti malam, (bekas Presiden) Zimbabwe (Robert Mugabe) pun sudah tidak ada. Sebelah sana (pembangkang) sudah tidak menentu,” kata Najib.
Terbaru, dalam satu sidang media pada 12 Dis lalu, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan belum membuat sebarang keputusan berhubung calon perdana menteri dan menyatakan kesediaannya untuk dicalonkan jika gabungan pembangkang tidak mempunyai calon lain. – BERNAMA
Sunday, 24 December 2017
Yang Namanya Penyokong Pembangkang Itu Tak Pernah Bijak
Bila kebodohan sudah berakar umbi sekian lama, memang akan mengambil masa untuk memulihkannya. “It takes years to nurture a tree, but it takes hundred years to educate people”- kata bestari yang diambil dari cendiakawan China.
Ini adalah satu bukti, bagaimana manusia meminggirkan keupayaan berfikir, dan meletakkan emosi dalam pertimbangannya. Kita faham mereka berpolitik, namun kita tidak boleh terima gara politik seumpamanya.
Motif mereka, hanya untuk mencipta persepsi buruk kepada Perdana Menteri Najib Razak tanpa mempedulikan kesan buruk mengamalkan cara berpolitik sedemikian. “Falyaqul khoiran au liyasmut”, mungkin ayat bahasa Arab ini akan mudah difahami oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda Lajnah Tanah PAS Naraza Muda. Al-maklum sahajalah, nama pun dari parti Islam.
Amanah telah diberikan kepada mereka yang memegang kuasa di dalam skop dan ruang hierarki Felda, sedang Perdana Menteri mempunyai tugas lebih besar terhadap negara. Mana mungkin Perdana Menteri mampu untuk secara peribadi melihat semua urusan dan keputusan GLC dan organisasi-organisasi lain. Jika mampu, lebih baik lantik diri sendiri mengetuai segala jawatan yang ada. Bukan begitu?
Tan Sri Shahrir kini pula dipertanggungjawabkan untuk mengurustadbir Felda dengan baik. Dan isu tukar hak milik tanah Felda baru-baru ini pun telah diuruskan, untuk mengambil semula tanah-tanah tersebut. Dan usaha ini telahpun dijalankan sebelum pendedahan media lagi. Kita tunggu hasil dari penyiasatan dan usaha beliau nanti.
Resmi orang lama yang bijaksana, diam-diam buat kerja seperti yang diamanahkan. Kepada Naraza Muda, cubalah menjadi bijak dalam berpolitik, jangan tiru cara Mazlan Aliman, dan juga Tuan Ibrahim Tuan Man. - Ameen Latiff
Saturday, 23 December 2017
Gaji Paling Rendah Di UAE Adalah RM19,000
Gaji semua penjawat awam di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mula diselaraskan semula dengan kadar paling rendah ditetapkan pemerintah sebanyak RM19,000, lapor media tempatan.
Berita gembira itu diumumkan Dr. Sheikh Sultan bin Mohammed Al Qasimi, Anggota Majlis Tertinggi dan Penguasa Sharjah, menyaksikan kerajaan memperuntukkan tambahan 600 juta dirham (RM666 juta) bagi tujuan tersebut.
Pengumuman luar biasa itu turut disiarkan menerusi stesen tempatan Sharjah TVsemalam dengan disahkan oleh Dr. Tariq Sultan bin Khadim, Ahli Majlis Eksekutif Sharjah dan Pengerusi Direktorat Sumber Manusia UAE.
Ia juga sebagai sebahagian daripada keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan kakitangan awam malahan kenaikan tersebut agak tinggi dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah negara Asia Barat itu.
Semakan semula struktur gaji bermulai pada 1 Januari depan, kata Tariq Sultan dan berdasarkan struktur baharu, kerajaan akan mempunyai lapan gred termasuk pewujudan Gred 8 yang baru ditetapkan sebagai paling rendah.
Penjawat dalam kumpulan berkenaan akan dibayar gaji minimum sebanyak 17,500 dirham (RM19,346) sebulan dan mereka pada kelaziman merupakan pekerja yang tidak tamat pengajian akademik peringkat sijil sekolah menengah.
Gred 7 ditetapkan untuk orang yang ada kelulusan sijil itu dengan gaji terendah 18,500 dirham (RM20,547) sebulan manakala bagi graduan universiti, mereka bermula Gred 4 dengan gaji asas 25,000 dirham (RM27,766) sebulan.
Tariq Sultan berkata, selain beri tumpuan kepada peningkatan taraf hidup penjawat awam, raja sangat berminat jika staf tidak dapat menamatkan pendidikan atau memperoleh sarjana mampu meneruskan pendidikan tinggi mereka.
Struktur Gred 1 ditetapkan 30,500 (RM33,875), Gred 2 pula 28,500 dirham (RM31,653), Gred 3 dengan 26,500 dirham (RM29,432) manakala Gred 5 ialah 21,500 dirham (RM23,879) dan Gred 6 ialah 19,500 dirham (RM21,657).
Beliau menekankan bahawa struktur gaji bulanan baharu itu juga akan dikenakan kepada semua pesara awam yang menerima bayaran pencen mereka daripada Penguasa Bahagian Pencen Am dan Keselamatan Sosial UAE.
Justeru, Tariq Sultan menyeru bekas kakitangan kerajaan yang bersara antara 2003 dan November 2017 untuk mengemaskinikan segala maklumat peribadi mereka di Direktorat Sumber Manusia. – Agensi
Maybank Diiktiraf Sebagai Bank Paling Selamat
Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan anak syarikatnya di Indonesia, PT Bank Maybank Indonesia digelar sebagai bank yang paling selamat, masing-masing dalam negara yang mereka beroperasi.
Ia berdasarkan kepada satu senarai kedudukan antara negara yang diterbitkan oleh majalah kewangan antarabangsa Global Finance berpusat di New York, Amerika Syarikat yang diterbitkan sejak 1987 dan diedarkan di 163 negara.
Bank-bank tersebut dipilih melalui satu penilaian mengikut penarafan jangka panjang mata wang asing daripada Moody’s, Standard & Poor dan Fitch termasuk jumlah aset merangkumi 1,000 bank terbesar di seluruh dunia.
Selain penamaan bank-bank yang paling selamat dalam 106 negara, laporan penuh majalah tersebut memasukkan penyenaraian 50 bank yang paling selamat di dunia dan, 50 bank perdagangan yang paling selamat.
Juga disenaraikan ialah 50 bank paling selamat dalam pasaran baharu muncul, institusi kewangan Islam yang paling selamat dalam Majlis Kerjasama Teluk dan bank-bank yang paling selamat mengikut wilayah.
Pengarah Editorial dan Penerbit Global Finance, Joseph D. Giarraputo, berkata walaupun wujud usaha bagi mengharmonikan peraturan kewangan merentas rantau dan di seluruh dunia, peraturan yang ada tetap kekal unik.
“Ini melibatkan setiap negara, disebabkan oleh risiko tertentu dan sumber. Ia khususnya bagi bank yang beroperasi merentasi sempadan, cabaran yang dihadapi ialah untuk bertindak balas kepada sesuatu situasi pada masa sama.
“Mereka juga perlu menawarkan pengalaman yang konsisten bagi pelanggan korporat yang juga beroperasi dalam beberapa bidang kuasa yang berbeza,” kata Giarraputo. – BERNAMA
Polis Akan Cari Dan Panggil Isa Samad
Polis mengesahkan satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes penipuan urusan pertukaran tanah milik Felda di Jalan Semarak di ibu negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pasukan berkenaan kini sedang mengumpul maklumat dan mengenal pasti individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan polis akan memanggil bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Kita akan tengok dan jika ada keperluan kita akan dapatkan keterangan beliau (Mohd. Isa). Selepas beliau pulang ke Malaysia, kita akan dapatkan keterangannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini malam tadi selepas merasmikan program kayuhan amal anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, setakat ini satu laporan polis telah dibuat oleh pengurusan Felda berhubung perkara berkenaan.
"Kes ini disiasat sebagai penipuan dokumen mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE
Friday, 22 December 2017
Rakyat Malaysia Bersolidariti Bantah Baitulmaqdis Jadi Ibu Negara Israel
Semalam di United Nation, 128 negara menolak cadangan Trump untuk jadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel. Hanya 9 negara yang sokong cadangan Trump itu. 35 negara lagi berkecuali.
Malaysia antara yang paling awal dan konsisten dalam memperjuangkan isu ini. Keberanian Datuk Seri Najib dalam memperjuangkan isu Palestin ini tidak perlu dipersoal lagi oleh pembangkang. Datuk Seri Najib adalah sesatunya Perdana Menteri Malaysia yang memijak kaki ke bumi Palestin.
Hari ini suara rakyat Malaysia bergema menentang tindakan Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Hari ini juga menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi ketegasan pendirian Malaysia yang akan terus teguh dan konsisten menolak keputusan AS itu sampai bila-bila.
Bukan itu sahaja, suara menerusi Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis yang diadakan di Putrajaya ini menyaksikan bagaimana UMNO sedia sepentas dengan pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain atas nama Islam, demi mempertahankan Palestin daripada penindasan oleh rejim Zionis.
Malah bagi Najib sendiri, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merupakan kenalan baiknya namun prinsip pertama maqasid syariah iaitu menjaga agama Islam adalah jauh lebih penting.
``Kita ada maruah kita, sedikit sebanyak kita ada kekuatan kita. Apatah lagi kalau umat Islam di negara ini bersatu padu,'' demikian kata Perdana Menteri.
Ia sekali gus menolak sindiran dan tuduhan pembangkang bahawa beliau tidak berani bertindak disebabkan hubungan baiknya dengan Trump.
Orang yang menulis di blog mengecam Najib itu hadir juga di masjid Putrajaya. Namun ketika himpunan diadakan, Mahathir hilang entah ke mana. Ambil gambar, kemudian bagi Malaysiakini buat "story" dan terus hilang. Barangkali takut sepentas dengan pemimpin Islam lain. Takut kena marah dengan DAP barangkali.
Ternyata apa yang dinyatakan oleh Najib telah membuktikan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada prinsip membawa suara Malaysia yang menentang pengiktirafan Trump yang mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Najib turut menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah mesej yang jelas dan tegas kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Trump itu.
Ironinya ketika Malaysia mengadakan himpunan solidariti ini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula telah memberikan tamparan hebat kepada langkah Amerika Syarikat.
Dalam pengundian pada sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB, 128 buah negara mengundi menyokong resolusi PBB menentang langkah AS itu manakala hanya sembilan menolaknya termasuk Israel dan AS. 35 buah negara lain berkecuali.
Sesi mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan status Baitulmaqdis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Susulan kepada keputusan PBB itu, Trump mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi PBB berhubung isu Baitulmaqdis tersebut.
Namun seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Malaysia tidak mahu terikat dalam tindakannya berdepan ugutan Amerika Syarikat terhadap negara-negara yang memberi undi menolak resolusi pengiktirafan negara itu untuk menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.
Malah Malaysia juga katanya bukanlah penerima bantuan ekonomi yang besar daripada Amerika dan hanya menerima bantuan teknikal dari segi keselamatan dan pertahanan.
Justeru, kepada pembangkang yang sering menipu rakyat dengan menyatakan Perdana Menteri dan kerajaan tunduk kepada Amerika Syarikat, sila betulkan kenyataan anda. Sebaliknya pembangkang yang mengharapkan sokongan AS dalam banyak perkara termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan usaha pembebasan Anwar Ibrahim.
Jangan lupa akan fakta berkenaan. Siapa yang mengharapkan sokongan siapa sekarang? Najib sudah buktikan beliau berpendirian tegas, bagaimana pula dengan pembangkang?
Hendak duduk sama sepentas dengan NGO Islam pun takut. Parti Melayu dalam pembangkang lebih takut pada DAP. Mereka hendak duduk atas pentas pun kena tanya DAP dulu. Sampai begitu sekali mereka takut pada DAP.
Tulisan :
Beruang Biru
BB712, Jumaat
22 Disember 2017
‘Biar Badan Dikerat, Daging Tinggal Seketul Najib Takkan Ganjak’
Membuktikan keberanian dan kesungguhannya demi bumi Palestin, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada pendirian yang ada sekarang.
Berucap dengan nada yang penuh semangat di Masjid Putra, Putrajaya, Najib berkata tiada apa yang dapat mengubah pendirian berkenaan.
Selaku Perdana Menteri, beliau sama sekali tidak akan berganjak dalam usaha mempertahankan bumi Palestin dari Israel. Ini juga bertepatan dengan permintaan Allah terhadap hamba-hambaNya.
“Kita tak akan berganjak, buat apa sekali pun kita tak akan berganjak.
“Macam khutbah mufti tadi di dalam (masjid), kalau dikerat beberapa kali badan saya pun, walau tinggal seketul daging sekali pun saya masih mempertahankan prinsip ini,” kata Najib disambut laungan takbir.
Najib sebentar tadi mengetuai himpunan menyatakan sokongan terhadap Palestin dan membantah tindakan Rumah Putih mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel awal bulan ini.
Arab Saudi & Mesir Pun Mahu Tiru Model BR1M
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah diperkenalkan pada 2012 dengan matlamat utama adalah untuk mengembangkan ekonomi tempatan selain membantu golongan berpendapatan rendah.
Disebabkan keberkesanan BRIM yang dilaksanakan itu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat pujian daripada pada pakar ekonomi termasuk dari luar negara.
Buktinya pada Ogos 2016, 35 pakar ekonomi United Kingdom (UK) mengakui BR1M merupakan kaedah terbaik membantu mengembangkan ekonomi.
Pakar-pakar ini bukan calang-calang orang, mereka termasuklah Andrew Watt dari Macroeconomic Policy Institute, Guy Standing (Universiti London), Josh Ryan-Collins (New Economics Foundation), Iqbal Asaria (Cass Business School), Nigel Dodd (London School of Economics), Ellen Brown (Public Banking Institute), Biagio Bossone (pengerusi Group of Lecce), Matthias Kroll (World Futures Council) dan Laurence Seidman dari University of Delaware.
Pujian itu diberikan disaat pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan BR1M sebagai dedak dan kesilapan terbesar yang dilakukan oleh kerajaan.
Mahathir bagaimanapun menukar rentak serangan dan kemudiannya memberikan bayangan akan meneruskan BR1M jika PH memerintah.
Kini BR1M yang terhasil dari idea Perdana Menteri, turut menjadi ikutan negara luar dan terbaru, dua kuasa benar benua Arab, Mesir serta Arab Saudi dilaporkan berminat dan mahu mencontohi kaedah yang dipelopori oleh Najib itu.
Ia didedahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, bahawa Arab Saudi mahu meniru model BR1M yang dilaksanakan Malaysia dan beliau juga difahamkan Mesir pula sedang mengkaji secara serius untuk melaksanakan bentuk bantuan ini kepada rakyatnya.
Justeru apabila dua negara Islam ini turut berminat dengan BR1M, maka dalam hal ini, tiada lagi istilah memberi dedak seperti yang dituduh oleh Mahathir dan Pakatan Harapan.
Negara-negara berkenaan bukannya bodoh sebaliknya mereka sudah mengkaji bagaimana pemberian wang tunai secara terus kepada isi rumah akan menjadi cara yang lebih baik untuk meningkatkan ekonomi lesu dan menjadi satu kaedah paling efektif.
Bukan sahaja Arab Saudi dan Mesir, malah negara jiran kita, Thailand juga telah melaksanakannya. Pada Disember tahun lepas, kerajaan Thailand mengumumkan imbuhan wang tunai kepada kumpulan sasaran di negara itu yang menyerupai BR1M di Malaysia.
Di Thailand, pemberian wang tunai yang terus dikreditkan ke bank penerima dengan seramai 8.27 juta rakyat Thailand memohon untuk skim tersebut.
Melihat kepada fakta-fakta ini, adalah jelas menunjukkan langkah yang diambil oleh Najib untuk memperkenalkan model ekonomi ini telah membawa Malaysia ke landasan yang tepat sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia negara maju.
Ia berbeza dengan pembangkang yang sering memburukkan langkah yang diambil oleh kerajaan tetapi mereka tidak pernah memberikan cadangan bagaimana untuk meningkatkan ekonomi. Sebagai contoh cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pembangkang sering memburukkan GST, tetapi mereka tidak pula mencadangkan cukai baru bagi menggantikan GST untuk memungut hasil bagi tujuan membangunkan ekonomi. Hakikatnya pembangkang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pernah mencari penyelesaian.
Pengajarannya, jangan percaya kepada pembangkang kerana mereka umpama lidah bercabang. Hari ini mereka membangkang apa yang dilakukan kerajaan, esoknya mereka akan menyokong dan meniru langkah yang diambil kerajaan itu.
Tulisan :
Beruang Biru
BB710, Jumaat
22 Disember 2017
Bekas Pegawai Khas Nazri Ada Saham Dalam Syarikat Kendali Sistem IMAMS?
Kontroversi pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasaik Bersepadu (IMAMS) yang dibatalkan minggu lalu, dijangka akan berterusan apabila hasil carian rekod syarikat mendapati salah seorang pemegang saham dalam syarikat yang diberi kontrak menguruskannya merupakan bekas pegawai khas kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Md Mahathir Md Salleh Huddin, 28, bekas pegawai khas Nazri yang sebelum ini diberikan tugas menguruskan usahawan muda Bumiputra untuk menteri Umno itu, disenaraikan sebagai pemegang saham dalam OPG Global Group Sdn Bhd, syarikat yang diberikan kontrak menguruskan IMAMS.
Manakala seorang lagi pemegang saham dalam syarikat tersebut adalah Pengarah Urusan Smart i Go Sdn Bhd, Sofia Akzan Amir Selamat Amir.
Hasil carian melalui direktori Pejabat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mendapati bahawa Mahathir tidak lagi bertugas sebagai pegawai khas kepada Nazri, namun bapanya, Md Salleh Huddin Abu Hanifah disenaraikan sebagai penasihat kepada menteri itu.
Md Salleh Huddin ketika dihubungi menafikan bahawa penglibatan anaknya dalam urusan kontrak itu sebagai amalan kronisme, selain mendakwa dirinya tidak mempunyai kaitan dengan syarikat anaknya itu.
“Apa yang hendak ditipukan? Dia meniaga lama dah, bukannya baru.
“Itu syarikat anak saya, tidak ada kena-mengena dengan saya,” katanya.
Walaupun menafikan penglibatannya dengan syarikat berkenaan, hasil semakan melalui laman sesawang OPG Global menyenaraikan “Salleh Huddin Abu Hanifah” sebagai Pengerusi Eksekutif kepada syarikat tersebut.
IMAMS yang diumumkan sebelum ini sebagai akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi terpaksa dibatalkan sehari selepas pelancarannya pada 15 Disember lalu setelah mendapat rungutan dan tentangan orang ramai.
Sistem tersebut dicadangkan untuk mengelak penipuan pakej umrah yang sering terjadi, namun caj tambahan RM90.10 yang merangkumi caj sistem sebanyak RM45.00, insurans (RM40.00) dan GST (RM5.10) dianggap membebankan, selain mengaut keuntungan mudah dari jemaah umrah. - SP
Sadis! Seorang Wanita AS Dijumpai Meninggal Dimakan Oleh Anjing Peliharaannya
Pihak polis di Virginia, Amerika Syarikat, menjumpai mayat seorang wanita, Bethany Stephens yang dipercayai meninggal dunia akibat dimakan oleh dua anjing jenis pitbull peliharaannya.
Kejadian itu berlaku ketika Stephens membawa dua ekor anjing peliharaannya itu berjalan ke kawasan hutan.
Selepas empat hari mayatnya ditemui, barulah polis mengadakan sidang media bagi memaklumkan kepada ramai disebabkan ada yang curiga dengan kematiannya.
Menurut polis, ketika dua ekor anjing itu ditemui Jumaat lalu, kedua binatang tersebut berusaha menyembunyikan sesuatu yang mereka sangkakan bangkai haiwan.
Namun rupa-rupanya ia adalah jasad Stephens.
“Saya memperhatikan, begitu juga dengan empat polis lain yang turut menyaksikan, anjing-anjing itu memakan tulang rusuk mangsa.
“Kecederaan akibat trauma yang dialami mangsa ada pada bahagian tekak dan wajah.
“Mangsa seolah-olah jatuh dan tidak sedarkan diri, lalu menjadi makanan kepada anjing-anjingnya hingga mati,” ujar seorang anggota polis, Jim Agnew.
Agnew berkata, pada mulanya dia tidak mahu menceritakan kejadian itu secara terperinci bagi menghormati keluarga Stephens namun setelah khabar angin tersebar luas, beliau tiada pilihan dan terpaksa memaklumkan kepada ramai mengenai kes itu.
Menurut keluarga Stephens, mereka sendiri hairan kerana anjing itu dipelihara oleh wanita itu dari kecil lagi.
Susulan kematian Stephens, dua ekor anjing berkenaan telah dibunuh dengan keizinan daripada keluarga Stephens.
Dua pitbul itu, masing-masing bernama Tonka dan Pacman, dijumpai oleh bapa Stephens, Jumaat lalu ketika mencari Stephens yang hilang.
“Stephens benar-benar cedera, tubuhnya jelas menunjukkan dia telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui,” kata Agnew kepada media sambil memberitahu pakaian Agnew juga koyak rabak.
Selepas Arab Saudi, Kini Mesir Pula Mahu Tiru BR1M
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan sejak 2012 menjadi antara model bantuan terbaik sehingga menjadi panduan Arab Saudi dan terbaharu Mesir untuk melaksanakan konsep sama.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata ini membuktikan BR1M dilihat sebagai program yang murni bukan seperti dituduh pembangkang.
“Arab Saudi mahu meniru model BR1M yang kita laksanakan, terbaharu saya difahamkan Mesir pula sedang mengkaji secara serius untuk melaksanakan bentuk bantuan ini kepada rakyatnya.
“Dua negara ini juga negara Islam, jadi tidak ada istilah memberi dedak kepada rakyat seperti tuduhan pembangkang.
“Takkan rakyat kita terlalu bodoh kerana hanya dapat duit akan mudah terpengaruh, ini semua hanya tohmahan, ia sudah menjadi dasar yang diterima masyarakat terutama golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Back To School Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Parlimen Jerlun’ di Sekolah Kebangsaan Chapa, Pida 3, Jerlun.
Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, selain BR1M, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan turut diperkenalkan di dua negara itu tidak lama lagi dan dijangka lebih tinggi berbanding Malaysia.
Katanya, model ekonomi kita berada di landasan yang tepat kerana sistem cukai dikenakan kepada mereka yang mampu membeli barang yang mempunyai GST dan ia dipulangkan kepada rakyat kurang berkemampuan.
“Setiap tahun ramai penerima BR1M berjaya keluar daripada senarai penerima bantuan itu, ini bermakna model ekonomi kita betul,” katanya.
Sementara itu, Othman meminta rakyat yang layak menerima BR1M mengemaskini segera maklumat mereka samada di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mahupun menerusi laman web agensi terbabit.
“Jangan ingat nama kita sentiasa ada dalam rekod, mungkin ada kesilapan teknikal menyebabkan nama tercicir, bila tercicir nak mengamuk, tak boleh begitu.
“Jadi saya harap penerima sebelum ini peka dan dapat mengemas kini maklumat mereka sebelum akhir tahun ini, kerajaan akan mula salur BR1M 2018 pada Januari ini bagi meringankan beban ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan anak,” katanya.
Terdahulu, Othman menyerahkan 200 set, iaitu pakaian, beg dan peralatan sekolah bernilai RM40,000 kepada 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan dari sekolah terbabit dan kawasan sekitar – BH
DAP Ada Agenda Tersirat Tentukan Calon PM Pakatan
PAS mendakwa DAP ada agenda tersirat dalam isu menentukan siapa bakal calon Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang PRU ke-14 nanti.
Pesuruhjaya PAS Perak Haji Razman Zakaria berkata rakyat khasnya orang Melayu dan umat Islam jangan mudah terpedaya kerana calon PM yang akan ditentukan nanti adalah calon pemimpin yang boleh `dicucuk hidung’.
Beliau berkata yang menentukan calon Perdana Menteri itu nanti adalah Lim Kit Siang.
“Sebab itu kita katakan Pakatan Harapan ini ketuanya adalah DAP…parti-parti orang Melayu di dalam itu adalah boneka kepada DAP dan DAP akan mencari calon Perdana Menteri atau pemimpin yang boleh dicucuk hidung.
“Ini dia punya konsep …konsep yang dok ada …konsep itu dulu …saya pun terkejut mengapa Lim Guan Eng yang akan membuat pengumuman itu…mengapa?…dan kalau betul-betul ikhlas atas pembangunan negara..kita nak bagi kepada negara dan kita nak buat pembangunan negara sepatutnya kita kata `the best’ daripada orang yang terbaik daripada kalangan yang boleh membawa kesejahteraan kepada semua.
“Ini dia punya agenda sekarang …itu yang kita kata demokrasi terpimpin yang dia nak bawa… bahawa sekiranya dia nak menjadikan hasrat asal DAP iaitu Malaysian-Malaysian,” kata Haji Razman.
Semalam Guan Eng dalam kenyataannya berkata, Pakatan Harapan akan mengumumkan calon Perdana Menteri baharu bulan hadapan bagi menggantikan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.
Katanya, pihaknya sudah mempunyai pilihan lain yang akan menggantikan Anwar Ibrahim yang sebelum ini diletakkan sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14 kelak.
Mengenai persiapan pilihanraya, katanya, PAS Perak sudah bersiap sedia bila-bila masa untuk menghadapi PRU ke-14.
“Dengan calon dan sebagainya bertanding cukup untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan insyallah kerajaan Malaysia.
“Di negeri Perak ini setakat ini kita dah ada melebihi 40 kerusi yang kita target untuk bertanding,” ujarnya.
Ditanya sama ada mana mana parti dalam Pakatan Harapan memujuk untuk menjalin kerjasama dengan PAS menjelang PRU ke-14 nanti ini kata beliau:
“Saya daripada asal prinsip bahawa keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat memutuskan tahlul syiasi dengan DAP …tidak ada hubungan apa dengan PAN. . . tidak ada hubungan apa dengan PKR dan dia tak boleh nak pujuk apa..tak ada kerjasama kecuali keputusan Pusat membuat kerjasama ..jadi tetap tidak ada kerjasama.”
Thursday, 21 December 2017
Shahrir Akui FELDA 'Hilang' Status Tiga Aset Tanah
"Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA)," kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengerusi FELDA, 6 Januari lalu.
Beliau yang mengakui agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.
"Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi," katanya dalam pertemuan eksklusif BH.
Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila BH menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.
Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.
Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.
"Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu," katanya.
Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.
Shahrir mengulas BH Bongkar semalam, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.
Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: "Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi," katanya.
Jangan Tak Percaya! Najis Panda Sudah Boleh Hasilkan Tisu
Sebuah syarikat di China melancarkan satu produk berkaitan tisu yang dihasilkan daripada najis beruang panda.
Pengguna kini boleh membeli produk berkenaan yang dikenali sebagai Panda Poo dengan harga 43 yuan (RM26) sekotak, kira-kira 10 kali ganda daripada harga tisu biasa.
Akhbar Chengdu Business Daily melaporkan, tisu luar biasa itu dihasilkan daripada najis panda dan juga daun buluh.
Najis itu diambil daripada panda yang tinggal di tiga kandang milik Pusat Pemuliharaan dan Kajian Beruang Panda China di Dujiangyan, Wolong dan Bifengxia di wilayah Sichuan.
Pekerja akan memilih najis panda yang kemudian dikukus dan disteril bagi mengambil gentian untuk membuat kertas atau tisu.
Produk berkenaan adalah projek usaha sama antara pusat pemuliharaan panda itu dengan syarikat Sichuan Jianwei Fengsheng Paper yang mengeluarkan 60,000 tan kertas setahun.
Seorang pegawai di pusat pemuliharaan panda, Huang Yan memberitahu, seekor panda dewasa memakan 12 hingga 15 kilogram buluh sehari dan mengeluarkan najis dikenali sebagai bola hijau seberat 10 kilogram sehari.
Panda juga tidak makan daun buluh dan pusat berkenaan membuang 50 kilogram daun itu dalam sehari.
Pengerusi Sichuan Jianwei Fengsheng Paper, Yang Chaolin pula berkata, panda hanya menyerap gula pada buluh dan mengeluarkan serat tumbuhan berkenaan.
“Panda menjimatkan usaha pekerja untuk memisahkan serat daripada buluh untuk membuat kertas,” katanya.
Serat itu digunakan syarikat berkenaan untuk membuat tisu tandas, tisu kotak dan tisu poket. – Agensi
Pelaburan ECRL & China, Sekali Lagi Pembangkang Kitar Semula Isu
Satu fakta yang betul dan tidak boleh diragui mengenai pembangkang ialah mereka suka mengitar semula sesuatu isu walaupun mereka tahu ia hanyalah persepsi semata-mata. Hakikat sebenar Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian adalah kerana mereka sudah habis modal.
Mereka tidak lagi mempunyai isu untuk dijadikan serangan. Lihat sahaja kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion. Meskipun agensi berkaitan telah menjalankan siasatan dan mendapati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bebas daripada semua tuduhan, namun mereka tidak berpuas hati.
Mereka putar pula cerita kononnya Najib akan ditangkap oleh FBI apabila ke luar negara, tetapi ia tidak berlaku pun.
Lebih mengecewakan pembangkang apabila isu yang mereka jaja itu tidak berjaya mempengaruhi negara luar malah Najib diberikan sambutan hebat di sana. Sebagai contoh lihat Bahrain, yang telah memberikan anugerah King Hamad Order for Development kepada Perdana Menteri.
Anugerah daripada Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa itu merupakan satu penghormatan tertinggi kepada Perdana Menteri dan lebih bermakna ia menunjukkan Bahrain mengiktiraf sumbangan Najib terutama dalam dunia Islam.
Sebenarnya pemimpin PH suka kitar semula isu dan kemudian ia dijaja dalam ceramah yang mereka adakan. Selain 1MDB dan derma RM2.6 bilion, satu lagi isu yang kerap kali mereka mainkan ialah mengenai pelaburan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).
Terbaru, Tun Daim Zainudin cuba mencetuskan polemik baharu dengan mendakwa ECRL bukan pelaburan, sebaliknya pinjaman kerana kerajaan perlu membayar semula pembiayaannya.
Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan semasa era pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri telah mempertikaikan usaha Kerajaan Pusat itu dan menyifatkan projek berkenaan kononnya akan menguntungkan China.
Ia memaksa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberikan penjelasan sekali lagi bahawa ECRL itu adalah pelaburan domestik yang dibiayai dengan pinjaman dari China dengan kadar yang sangat baik yang lebih rendah daripada kos dana kerajaan.
ECRL yang bakal menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung, distrukturkan sebagai pelaburan domestik dibiayai pinjaman mudah dari China menerusi Export-Import Bank of China (EXIM).
``Kerajaan belajar dari kesilapan lalu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim berada dalam kerajaan di mana meminjam dari Jepun tetapi akhirnya perlu membayar dua kali ganda apabila nilai Yen lebih tinggi.
``Kerajaan kini melaksanakan pinjaman yang lebih mudah dengan China yang mana mempunyai mekanisme terbina dalam mengurangkan risiko kadar pertukaran.
``Perlu diingatkan sama ada ia sebagai pelaburan asing secara langsung atau pelaburan domestik dengan pinjaman asing, matlamat projek ECRL adalah untuk menjana aktiviti ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menghubungkan pantai timur dan barat,” kata Rahman.
Pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik pernah dilaksanakan semasa era pentadbiran Mahathir dan Daim, antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Projek Janakuasa Hidroelektrik Kenyir dan Stesen Janakuasa Port Dickson (Tuanku Jaafar) yang dibiayai oleh Jepun.
Jadi adakah ia bermakna Malaysia telah dijual kepada Jepun ketika itu?
Kalau dilihat kepada serangan demi serangan yang dilakukan oleh PH ini, ia membuktikan bahawa mereka semakin terdesak. Mereka cuba cari kesalahan kerajaan.
Apa sahaja yang dilakukan akan dijadikan isu. Jangan terkejut kerana banyak tuduhan kitar semula akan muncul lagi selepas ini, apatah lagi pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin hampir.
Yang pasti, tuduhan kitar semula ini tidak berasas. Ia lebih kepada usaha mencipta persepsi buruk kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tulisan :
Beruang Biru
BB708, Khamis
21 Disember 2017
Serangan Tidak Kena Tempat Mahathir Terhadap Murad
Tulisan asal oleh:
Salleh Said Keruak, Blog Salleh Said Keruak, 21 Disember 2017
Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Abdul Murad Khalid dan berkata beliau juga harus bertanggungjawab terhadap kerugian forex Bank Negara sebanyak RM31.5 bilion. Mahathir tidak seharusnya marah dengan Murad. Sebaliknya beliau harus marah dengan Lim Kit Siang.
Murad hanya memberi keterangan jumlah sebenar kerugian forex dalam pendengaran RCI, yang menurut beliau berjumlah RM31.5 bilion dan bukannya RM5.7 bilion. Bagaimanapun, Kit Siang yang selama 20 tahun telah meminta untuk RCI diadakan ke atas kerugian forex Bank Negara.
Memangdangkan kini Mahathir memerlukan Kit Siang sebagai sekutu politiknya, manakala Kit Siang memerlukan Mahathir untuk undi Melayu, kedua-duanya telah melakukan pusingan U mengenai skandal forex itu.
Tahap hipokrasi yang ditunjukkan oleh Mahathir dan Kit Siang menunjukkan bahawa mereka menganggap kepentingan politik lebih penting daripada mencari kebenaran. Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Mahathir yang mengatakan bahawa beliau hanya mahukan kebenaran?
Link asal artikel:
https://sskeruak.blogspot.my/2017/12/mahathirs-misplaced-attack-on-murad.html