Kontroversi pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasaik Bersepadu (IMAMS) yang dibatalkan minggu lalu, dijangka akan berterusan apabila hasil carian rekod syarikat mendapati salah seorang pemegang saham dalam syarikat yang diberi kontrak menguruskannya merupakan bekas pegawai khas kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Md Mahathir Md Salleh Huddin, 28, bekas pegawai khas Nazri yang sebelum ini diberikan tugas menguruskan usahawan muda Bumiputra untuk menteri Umno itu, disenaraikan sebagai pemegang saham dalam OPG Global Group Sdn Bhd, syarikat yang diberikan kontrak menguruskan IMAMS.
Manakala seorang lagi pemegang saham dalam syarikat tersebut adalah Pengarah Urusan Smart i Go Sdn Bhd, Sofia Akzan Amir Selamat Amir.
Hasil carian melalui direktori Pejabat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mendapati bahawa Mahathir tidak lagi bertugas sebagai pegawai khas kepada Nazri, namun bapanya, Md Salleh Huddin Abu Hanifah disenaraikan sebagai penasihat kepada menteri itu.
Md Salleh Huddin ketika dihubungi menafikan bahawa penglibatan anaknya dalam urusan kontrak itu sebagai amalan kronisme, selain mendakwa dirinya tidak mempunyai kaitan dengan syarikat anaknya itu.
“Apa yang hendak ditipukan? Dia meniaga lama dah, bukannya baru.
“Itu syarikat anak saya, tidak ada kena-mengena dengan saya,” katanya.
Walaupun menafikan penglibatannya dengan syarikat berkenaan, hasil semakan melalui laman sesawang OPG Global menyenaraikan “Salleh Huddin Abu Hanifah” sebagai Pengerusi Eksekutif kepada syarikat tersebut.
IMAMS yang diumumkan sebelum ini sebagai akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses kedutaan Arab Saudi terpaksa dibatalkan sehari selepas pelancarannya pada 15 Disember lalu setelah mendapat rungutan dan tentangan orang ramai.
Sistem tersebut dicadangkan untuk mengelak penipuan pakej umrah yang sering terjadi, namun caj tambahan RM90.10 yang merangkumi caj sistem sebanyak RM45.00, insurans (RM40.00) dan GST (RM5.10) dianggap membebankan, selain mengaut keuntungan mudah dari jemaah umrah. - SP
Admin, x perasan ke Penama yang pertama tu, kalau x salah dia tu adik/kakak kepada Suzana Akmam binti Selamat Amir, Pegawai tugas2 Khas Menteri, cuba tengok betul2 dalam direktori pegawai MOTAC
ReplyDelete