728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, 9 November 2017

    'Tuduhan Rasuah Cubaan Ganggu Emosi Pemain'



    KENYATAAN mengaitkan tujuh pemain Kedah menerima songokan RM200,000 seorang pada final Piala Malaysia 2017, Sabtu lalu yang tular di media sosial disifatkan tuduhan tidak berasas kerana tidak disertakan dengan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, pihak yang menyebarkan kenyataan itu perlu membuat laporan jika ada bukti kukuh selain mendakwa mempunyai saksi.

    Menurutnya, beliau percaya usaha itu adalah salah satu cara untuk mencalarkan imej Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) selain menganggu emosi semua pemain Hijau Kuning di saat mereka sedang mempertimbangkan untuk memperbaharui kontrak bersama pasukan itu pada musim hadapan.

    "Apa perasaan pemain jika benar dakwaan ini tidak benar kerana mereka mempunyai hati dan perasaan malah mempunyai keluarga serta anak isteri. Banyak hati dan perasaan yang perlu mereka jaga disebabkan tuduhan ini.

    "Malah secara logiknya kenyataan ia tidak berasas kerana yang tularpun tidak pergi membuat laporan SPRM selepas mendakwa mempunyai bukti dan saksi.

    "Di zaman sekarang ini fitnah cukup berleluasa malah kita sendiri sebagai pemerhati dan penyokong perlu menilai terlebih dahulu semua keadaan sebenarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Mohd Azraai berkata, beliau percaya semua pemain Kedah mempunyai integriti yang tinggi dan perlu membenarkan siasatan dilakukan jika ada laporan dibuat.

    Menurutnya, bekas pasukan kendaliannya, Perak pernah dipalitkan kontroversi sama apabila tewas 6-1 kepada Sarawak pada 2013 namun selepas siasatan dilakukan oleh SPRM jelas tuduhan pemainnya menerima rasuah tidak berasas.

    "Jika kita benar, bersih dari gejala rasuah ini dan berada di pihak yang benar, jangan bimbang kerana kita tidak melakukan kesalahan pun.

    "Cuma saya nak ingatkan kepada yang menyebarkan tuduhan itu tampillah membuat laporan namun jika apa yang dilakukan itu adalah palsu, anda sebenarnya sedang menanggung dosa yang cukup berat," katanya.

    Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyarankan pihak yang mendakwa beberapa pemain Kedah menerima suapan semasa aksi final Piala Malaysia 2017 bertemu JDT Sabtu lalu tampil membuat laporan kepada SPRM.

    Menurutnya, jika benar mereka mempunyai bukti dan saksi, ia secara tidak langsung dapat membantu pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

    "Saya tak tengokpun viral (tular) itu, tapi jika orang yang buat itu ada bukti, dia boleh pergi buat laporan. Itu hak peminat, hak orang ramai untuk buat laporan.

    "Jika ada bukti, ada laporan takkan SPRM nak duk diam, selalunya ada tindakan jika ada buat aduan secara rasmi," katanya.

    Kelmarin tersebar satu dakwaan di media sosial bahawa tujuh pemain Kedah menerima songokan RM200,000 setiap seorang sebelum final Piala Malaysia bertemu JDT, Sabtu lalu.

    Dakwaan itu kini menjadi bualan dalam kalangan penyokong walaupun meragukan namun Ahmad Bashah berkata, KFA tiada masalah jika SPRM mahu melakukan siasatan.

    - Sinar Online

    "Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 Comments:

    Post a Comment

    Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci

    Item Reviewed: 'Tuduhan Rasuah Cubaan Ganggu Emosi Pemain' Rating: 5 Reviewed By: Editor
    Scroll to Top