Produktiviti buruh negara catat pertumbuhan 4.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini, lebih tinggi daripada sasaran purata pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah berkenaan adalah berdasarkan pertumbuhan mampan Keluaran Dalam Negara Kasar pada kadar 6.2 peratus dan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2 peratus bagi tempoh sama.
Katanya, peningkatan produktiviti buruh berkenaan disumbangkan oleh empat sektor utama iaitu pertanian dengan kenaikan pada kadar 5.2 peratus, pembuatan (5.1 peratus), pembinaan (4.8 peratus) dan 3.7 peratus dalam sektor perkhidmatan.
“Pencapaian produktiviti buruh setakat ini memberangsangkan dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai ekonomi yang didorong oleh produktiviti,” katanya semasa melancarkan Laporan Produktiviti Buruh Suku Tahunan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Produktiviti Negara (MPN) di Bangunan Parlimen, hari ini.
Katanya, MPN juga percaya pencapaian berkenaan dapat dikekalkan untuk menghasilkan kadar pertumbuhan ekonomi yang mampan serta bersifat inklusif yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci