Pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menaikkan kadar kompaun kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik sahaja kajian terperinci mengenainya selesai dilakukan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, ini penting supaya hukuman baharu dengan kadar kompaun yang lebih tinggi dapat dikuatkuasakan segera.
Katanya, peningkatan kadar tersebut yang masih dalam kajian itu diharap dapat membendung kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit yang semakin menjadi keresahan ramai seperti mana dilaporkan Utusan Malaysia dalam siri laporan khasnya baru-baru ini.
“Kadar kompaun sedia ada RM300 sudah tidak sesuai untuk digunakan pada masa kini kerana ia adalah kadar lama yang tidak pernah dipinda kira-kira 30 tahun.
“Walau bagaimanapun, pindaan dibuat bukan untuk membebankan pemandu tetapi sebagai usaha mendidik mereka agar menjadi pengguna jalan raya yang berhemah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan melihat semula kadar denda yang dikenakan terhadap kesalahan menggunakan telefon ketika memandu.
Malah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menzahirkan kebimbangan berikutan peningkatan kadar kemalangan jalan raya dan akan menambah kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu ke dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) pada tahun depan.
Utusan Malaysia pada Oktober lalu dalam laporan khasnya mendedahkan trend penggunaan telefon bimbit semasa memandu semakin serius malah sikap tersebut boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Wan Ahmad Uzir berkata, pindaan itu perlu dibuat kerana JPJ akan melaksanakan sistem kerja kaedah e-elektronik dan pengubahsuaian undang-undang perlu dilakukan agar selaras dengan pelaksanaan kerja yang lebih moden.
“Pindaan bukan sahaja dibuat untuk akta yang melibatkan kesalahan menggunakan telefon bimbit malah akan melibatkan beberapa kesalahan lain yang kebanyakannya tidak dipinda sejak tahun 1987.
“Namun senarai kesalahan terlibat dalam pindaan ini tidak boleh didedahkan kerana kajian masih dijalankan,” katanya.
Katanya, laporan mengenai kajian itu akan diserahkan kepada menteri berkaitan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci