Saturday, 25 November 2017

50% Mahu Beli Rumah Tapi Tidak Mampu



Seba­nyak 50 peratus rakyat Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar yang ingin membeli kediaman pada tahun ini terpaksa melupakan hasrat tersebut di­sebabkan harga rumah yang masih mahal walaupun pasaran hartanah kekal stabil.

Perkara berkenaan didedahkan dalam laporan Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI) yang menunjukkan masalah ketidakmampuan membeli rumah tetap menjadi isu utama dalam negara, walaupun kadar harga permintaan bagi projek perumahan secara keseluruhannya kekal stabil apabila turun 0.2 peratus pada suku ketiga tahun ini berban­ding suku kedua 2017.


Pengurus Negara Pro­per­tyGuru, Sheldon Fernandez berkata, ramai pembeli masih menyuarakan kesulitan membeli hartanah tahun ini kerana merasakan harga kediaman kekal mahal.

“Walaupun terdapat sedikit pemulihan dalam sentimen pengguna dan pelbagai insentif yang diberikan pihak pemaju, namun masalah ketidakmampuan membeli rumah terus menjadi perkara utama dalam kalangan pembeli kediaman di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

PMI adalah indeks yang diambil daripada data menyeluruh PropertyGuru merangkumi harga permintaan daripada lebih 250,000 hartanah kediaman yang disenaraikan dalam laman web PropertyGuru.com.my.

Indeks tersebut merupakan penilaian hartanah secara menyeluruh, termasuk trend harga pasaran harta­nah merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada setiap suku tahun.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, permintaan harga masih tidak menunjukkan kesan positif sehingga menunjukkan penjual hartanah masih bergelut mencari pembeli dan berada dalam tekanan untuk mengurangkan harga bagi menyelesaikan transaksi hartanah.

No comments:

Post a Comment

Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci