Pergerakan Hamas dan kumpulan Fatah yang sebelum ini bermusuhan akhirnya menandatangani perjanjian dalam untuk menamatkan permusuhan selama sedekad di Palestin.
Perjanjian bersejarah itu dimeterai di ibu negara Mesir semalam, menurut laporan media antarabangsa, sekali gus turut mengejutkan musuh Palestin, rejim Israel yang sentiasa memastikan dua pihak itu bertelagah.
Di bawah perjanjian damai tersebut, Pihak Berkuasa Palestin yang kini memimpin Fatah di Tebing Barat, akan menguasai sepenuhnya wilayah genting Gaza mulai 1 Disember ini yang kini dikuasai oleh Hamas.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, turut mengalu-alukan perjanjian damai tersebut sebagai “perjanjian muktamad untuk menyelesaikan perpecahan” dalam kalangan rakyat Palestin sendiri sejak sekian lama.
Perjanjian bersejarah tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Hamas, Salah al-Aruri, dan Ketua Delegasi Fatah, Azzam al-Ahmad di Kaherah dalam keadaaan keselamatan yang dikawal ketat.
Dalam ulasan kepada pihak media, Azzam menceritakan arahan diterimanya daripada Mahmoud: “Arahan Presiden Abu Mazen (nama lain Mahmoud) ialah kami tidak boleh balik sehinggalah kami capai satu perjanjian.
“Kita harus menutup bab perpecahan ini selama-lamanya dan menuju ke arah perpaduan. Orang Palestin kini mesti kembali dengan semua kuasanya dan mesti bekerja ke arah ini (perpaduan).
“Fatah dan Hamas… Demi merealisasikan impian Palestin menamatkan penjajahan hina (Israel), dan mencapai penubuhan sebuah negara Palestin diperintah secara bebas, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.”
Pertemuan di Kaherah itu berlangsung di ibu pejabat perkhidmatan perisikan Mesir. Kini, kedua-dua pihak akan mengadakan satu lagi rundingan bagi membentuk sebuah pemerintah campuran.
Pelbagai pergerakan politik Palestin akan diundang menyertai satu lagi mesyuarat di Kaherah pada 21 November ini. Selepas berita baik itu diumumkan, orang ramai di carikan Gaza bersorak kegembiraan.
Para penduduk megah mengibar-ngibar bendera-bendera Palestin, Hamas, Fatah dan Mesir. Media melaporkan manisan-manisan diedarkan dalam sambutan sempena perjanjian itu di kota Gaza.
Ini kerana beberapa sekatan yang dikenakan oleh Penguasa Palestin terhadap Gaza selama ini juga akan ditarik balik, menurut seorang pegawai Fatah yang dihubungi agensi berita antarabangsa AFP.
Di bawah perjanjian itu juga, sekitar 3,000 anggota pasukan polis Penguasa Palestin yang kini berpangkalan di Tebing Barat, akan dikerahkan ke Gaza bagi mengawal keadaan dan ketenteraman awam.
Beberapa bulan lalu, semasa kedua-dua pihak masih bercakaran, Mahmoud menghukum penduduk Gaza dengan mengurangkan bekalan elektrik ke wilayah itu, sehingga menyebabkan bandar itu kegelapan.
Sebelum pemeteraian perjanjian itu, ketua pergerakan Hamas di Palestin, Ismail Haniyeh turut mengumumkan bahawa pihaknya dan pihak Mahmoud berjaya mencapai satu persetujuan damai.
Perkara menggembirakan tersebut dimaklumkan oleh pembantu Ismail sendiri, Taher al-Nouno, dalam satu mesej teks yang dihantar kepada pemberita dari pejabat pentadbirannya di Gaza.
Sungguhpun berita terbaharu ini dijangka disambut baik oleh negara-negara Arab khususnya yang berpecah ekoran krisis diplomatik dengan Qatar, masih ada isu-isu domestik yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Antaranya termasuklah apakah nasib cabang tentera Hamas, iaitu Briged Ezzedine al-Qassam selepas ini? Briged tersebut mempunyai kekuatan 25,000 anggota. – Agensi
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci