Oleh: AZMAN HUSSIN
PILIHAN rakyat Malaysia sebenarnya mudah jika mereka melihat kepada perkara-perkara yang asas untuk memilih parti manakah yang lebih baik dan layak memerintah negara.
Perkara ini jelas jika anda tidak dikaburi dengan isu-isu yang belum tentu sahih dan sulit untuk disahihkan kerana terbatasnya atau kurangnya pengetahuan anda untuk memahaminya. Misalnya 1MDB dan isu-isu rumit lain yang berlegar dalam masyarakat.
Ia akan lebih mudah membuat pilihan jika anda tidak emosional dan bersikap rasional, tahu baik dan buruk, manfaat dan mudarat antara dua pilihan. Tanpa dibayangi persepsi dan prasangka sebelum membuat keputusan, pilihan anda mungkin tidak menjerumuskan anda ke dalam keadaan yang lebih buruk.
Kebanyakan yang bermain dalam minda masyarakat adalah persepsi atau mitos ciptaan ahli-ahli politik. Ramai orang bertindak mengikut sentimen ini sehingga mereka terperdaya dalam membuat pilihan. Ramai yang tidak tahu membezakan antara perkara pokok dan cabang. Kebencian yang dibawa oleh ahli-ahli politik mudah mendapat tempat dalam minda masyarakat berbanding perkara yang baik. Kebencian membuat manusia akan hilang akal rasional dalam membuat keputusan.
Apa yang patut menjadi perhitungan utama mereka telah dikelirukan dengan isu-isu sampingan yang belum tentu kebenarannya, apatah lagi jika ia disampaikan dengan nada menghasut dan berbaur emosi. Isu-isu ini pula di luar ilmu atau kemampuan anda untuk mencari kebenarannya.
Marilah kita berfikir sejenak.
Apakah keutamaan anda dalam membuat pilihan?
Semua orang mahukan parti atau pemerintah yang adil, amanah dan bertanggungjawab walaupun ia adalah suatu utopia dalam dunia hari ini. Dalam dunia hari ini, perkara seperti itu adalah tidak realistik. Lihatlah keadaan masyarakat, anda sendiri boleh membayangkan bagaimana pemerintahnya.
Adil, amanah, bertanggungjawab dan seumpamanya itu berkaitan urusan duniawi. Apakah keutamaan anda sebagai seorang melayu dan Islam jika perkara itu tidak didapatkan daripada pemerintah?
Sudah tentulah keutamaan anda adalah hak untuk menjalankan kewajiban sebagai seorang Islam tidak dihalang.
Apakah ia boleh didapatkan daripada pemerintah sedia ada hari ini?
Walaupun suasana Islam sebenar tidak wujud dan hukum-hukum Islam tidak dapat ditegakkan sepenuhnya, kita tidak dapat menafikan yang orang-orang Islam masih dapat menjalankan kewajibannya. Hal-hal yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam terus ditolak dan ditentang oleh pemerintah. Misalnya dalam isu LGBT atau pluralisme. Liberalisme dan sekularisme juga ditentang. Kalimah Allah tidak dibenarkan kepada penganut agama lain untuk mengelakkan kekeliruan yang boleh membawa kepada pluralisme yang menganggap semua agama adalah sama.
Sistem beraja masih diperkukuhkan di bawah pemerintahan hari ini.
Anda boleh menuduh kerajaan hari ini zalim, korup, rasuah, menyalahgunakan kuasa, mencuri wang rakyat dan sebagainya, tetapi anda seharusnya mengakui kerajaan hari ini masih menentang semua anasir buruk ini dalam masyarakat. Sejahat-jahat mereka, sebagaimana tuduhan anda, mereka tetap mempertahankan negara daripada pemikiran-pemikiran songsang ini secara terbuka dan tegas.
Sebaliknya, di pihak pakatan pembangkang, perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam ini diraikan, malah diterima. Sama ada ia sekadar untuk meraih undi orang-orang bukan Islam, perkara ini termasuk dalam agenda pembangkang, terutamanya DAP.
Bahkan jika ada pemimpin kerajaan bersuara tegas menentang perkara ini, anda akan melihat pemimpin-pemimpin pembangkang akan membela pemikiran-pemikiran sesat ini dengan menggunakan segala putar-belit mereka.
Malah, hak-hak keistimewaan anda sebagai bumiputera akan disamaratakan dengan bangsa-bangsa lain. Hal ini jelas dalam perlembagaan parti DAP yang menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang.
Anda mendakwa sekarang ini kerajaan menindas rakyat, tetapi apakah yang anda dapat harapkan lagi jika hak-hak keistimewaan anda akan dihapuskan? Tentulah keadaan akan menjadi lebih teruk.
Seburuk-buruk pemerintah yang beragama islam, ia lebih baik daripada diperintah oleh pakatan parti yang didominasi oleh orang bukan Islam.
Tetapi, dalam suasana hari ini, pertimbangan ini telah dicampakkan kerana marahnya anda kepada pemerintah Islam yang memerintah kerana pelbagai dakwaan yang dilemparkan pembangkang.
Lebih malang, dakwaan-dakwaan ini pula tidak dapat dibuktikan kebenarannya.
Kita lihat pula pembangkang. Apakah perjuangan mereka? Siapakah di belakang mereka? Siapakah ketua mereka yang akan menjadi Perdana Menteri?
Sepatutnya anda takut memikirkan keadaan pembangkang yang tidak mempunyai ketua yang jelas. Secara logik akal, anda sepatutnya musykil dengan niat mereka. Apa sebab mereka boleh berpakat, sedangkan ideologi mereka berbeza? Anda sepatutnya sampai kepada kesimpulan bahawa mereka hanya berpakat untuk menjatuhkan kerajaan. Seandainya kerajaan ditumbangkan, ketika itulah belang sebenar mereka akan terdedah.
Banyak contoh yang boleh diberikan untuk mempersoal kelayakan pembangkang untuk menjadi pemerintah. Setidak-tidaknya anda perlu tahu siapakah Perdana Menteri Malaysia jika pembangkang memerintah negara ini.
Mengundi, tetapi tidak mengetahui siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri adalah suatu tindakan yang bodoh.
Ringkasnya, seburuk-buruk pemerintah hari ini mereka masih menunjukkan diri mereka masih Islam dan mempertahankan Islam. Sebaliknya pembangkang telah terang-terangan melacurkan agama dan bangsa kepada orang-orang bukan Islam semata-mata untuk meraih sokongan mereka.
Anda boleh bayangkan sendiri bagaimana sebuah negara yang mendapat sokongan orang-orang bukan Islam ini akan ditadbir. Sudah tentulah ia akan mengambil kira kepentingan orang-orang bukan Islam yang menyokong penuh mereka, yang secara tidak langsung akan mengabaikan kepentingan orang-orang Islam. Ini adalah perkara yang sangat mudah difahami. Anda berikan sesuatu, tentulah anda harapkan sesuatu.
Dalam contoh yang mudah, anda sepatutnya faham kenapa majoriti orang-orang bukan Islam menyokong sesebuah pakatan parti itu. Ia tentulah kerana pakatan parti itu memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka. Tidak mungkin mereka menyokong sesebuah pakatan parti itu jika ia tidak mengubah keadaan mereka menjadi lebih baik.
Secara logik akal, apabila kepentingan orang-orang bukan Islam dilebihkan di situ, bermakna kepentingan anda sebagai orang-orang Islam akan berkurangan.
Sepatutnya, perkara ini adalah mudah. Tetapi ia dikelirukan dengan pelbagai pelbagai sampingan yang membuat anda hilang tumpuan kepada persoalan pokok yang perlu menjadi keutamaan anda dalam membuat pilihan.
Apa yang terjadi hari ini, anda disibukkan dengan pelbagai perkara ranting yang tidak anda ketahui hujung-pangkalnya. Anda dikelabui dengan gossip kehilangan wang, rasuah di sana sini dan penyelewengan yang kononnya dilakukan kerajaan, tetapi dalam masa yang sama anda tidak menyedari agenda sebenar pakatan pembangkang yang membawa fahaman-fahaman sesat dalam mengubah pemikiran masyarakat, seterusnya menjadikan negara ini sebuah negara sekular berkiblatkan pluralisme dan liberalisme.
Anda sepatutnya tahu apa keutamaan anda tanpa siapa perlu mengajar anda.
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci