Sah bercerai talak satu dengan Bade di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima enggan mendedahkan punca perpisahan mereka.
Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad, 49, memberitahu, dia menerima perceraian itu dengan hati terbuka.
“Seluruh kehidupan saya sudah diberi kepada seni untuk diketahui masyarakat.
“Justeru, saya mohon urusan rumah tangga dan mati saya, biarlah rahsia saya dengan Allah. Andai ini ketentuanNya, saya sangat reda,” katanya ketika ditemui sejurus prosiding berakhir.
Sementara itu, Bade juga enggan memberi penjelasan lanjut.
“Tiada apa yang perlu diulas” katanya.
Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 53, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pagi tadi.
Bade tiba berasingan, iaitu kira-kira jam 10.30 pagi dengan menunggang motosikal. Erma, 49 yang mengenakan jubah hitam, tiba pada jam 11 pagi ditemani adiknya, Betty Rahmad.
Bade yang juga pengarah filem KL Menjerit dan Berlari Ke Langit, memfailkan permohonan cerai pada 10 Ogos lalu di mahkamah yang sama mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Dua tahun lalu, Erma pernah memfailkan permohonan cerai selepas mendapat tahu Bade berkahwin lain.
Bagaimanapun, pengarah filem Embun ini menarik balik keputusannya itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 30 November 1991 dan mempunyai lima anak angkat.-bharian
"Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan"
0 Comments:
Post a Comment
Tidak menerima sebarang komen yang menghina dan maki caci